MAJLIS PECAH TANAH PROJEK GURNEY WHARF

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH

PROJEK GURNEY WHARF

 

14 MEI 2022 (SABTU); 8:15 PAGI;

KAWASAN TANAH TAMBAK PROJEK GURNEY WHARF

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak,

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman
Timbalan Ketua Menteri I

YB Prof. Dr. Ramasamy A/L Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri II

YB Tuan Lim Guan Eng

ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan

 

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

 

YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

 

YB Ahli-ahli Parlimen

 

YBhg. Dato’ Mohd. Zakuan bin Haji Zakaria

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)

 

YBhg. Dato’ Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Ketua-ketua Jabatan, rakan-rakan media dan para hadirin sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran atas peluang dan kesempatan yang diberikan ini untuk berkumpul dan bersama-sama di Majlis Pecah Tanah Projek Gurney Wharf pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kerana sudi melapangkan masa untuk hadir ke majlis ini.

Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun bukan sahaja menambahkan seri majlis yang diadakan ini malah juga menyemarakkan lagi semangat kami semua untuk meneruskan usaha-usaha pembangunan di negeri yang tercinta ini.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti mana  yang dimaklumkan oleh YB Jagdeep Singh sebentar tadi, inisiatif pembangunan Gurney Wharf telah dimulakan sejak tahun 2016, bermula dengan sesi libat urus (stakeholders engagement) bersama-sama semua pemegang taruh termasuk penduduk Pulau Pinang bagi mendapatkan pandangan, input dan maklum balas daripada segi keperluan serta komponen kawasan rekreasi yang diperlukan oleh komuniti di negeri ini.

Meskipun tertangguh seketika akibat pandemik COVID-19, namun inilah komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan salah satu daripada 68 janji dalam Manifesto 'Saya ❤️ Pulau Pinang' yang telah kita janjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018.

Dan hari ini, Kerajaan Negeri amat gembira dengan perkembangan semasa yang membolehkan Pulau Pinang berjaya mencapai 90 peratus daripada jumlah manifesto yang dijanjikan kepada rakyat negeri ini secara keseluruhan.

 

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan Visi Penang2030Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara – Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pembangunan projek taman dalam bandar di pesisir pantai buatan yang telah ditambak di Persiaran Gurney ini berada di atas landasan tepat untuk direalisasikan dengan jayanya.

Hasrat utama Kerajaan Negeri adalah supaya projek ini memberi manfaat dan dinikmati oleh penduduk Pulau Pinang daripada pelbagai lapisan peringkat umur untuk melaksanakan aktiviti sosial dan kekeluargaan. Kita berharap dengan adanya projek seperti ini, ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan serta produktiviti penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga mengambil maklum akan perkara-perkara berbangkit, namun saya pasti pihak-pihak berkepentingan dalam projek ini peka dengan situasi yang berlaku termasuk memastikan perlindungan terhadap alam sekitar dan kawasan laut (marin) menjadi aspek utama yang diberi penekanan semasa peringkat perancangan awal projek lagi.

Dengan lantikan perunding dan kontraktor yang berkelayakan, Kerajaan Negeri berharap projek berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan mematuhi spesifikasi ditetapkan. Malah, kita juga telah mengarahkan untuk aliran trafik di kawasan ini dirancang dengan teliti bagi memastikan keselamatan semua orang termasuk pejalan kaki memandangkan kawasan ini menerima aliran trafik yang tinggi sepanjang hari.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,

Kerajaan Negeri juga telah memutuskan supaya pelaksanaan projek ini dilaksanakan secara tender terbuka bagi memberi peluang kepada lebih ramai pihak kontraktor berkelayakan untuk terlibat dan dapat memberikan tawaran harga lebih kompetitif, yang mana lima (5) tender dibuka untuk pelantikan Kontraktor Utama bagi pelaksanaan Main Building Works dan empat (4) Sub Kontraktor Dinamakan (Nominated Sub Contractor) terdiri daripada:

a.   Kerja-kerja Penyediaan Landskap Taman (Soft Landscape);

b.   Kerja-kerja Penyediaan Kawasan Permainan (Skate Park & Playground);

c.    Kerja-kerja Kejuruteraan Pantai (Marine Engineering); dan

d.   Steel Roof Works.

Bagi Kontraktor Utama - Main Building Works, Lembaga Perolehan Negeri yang diterajui oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama YB Pegawai Kewangan Negeri dan ahli Lembaga yang lain telah meneliti serta menilai dengan terperinci tawaran tender tersebut, dan Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melantik TETO Engineering Sdn. Bhd. sebagai Kontraktor Utama bagi Projek Gurney Wharf. Manakala bagi pelantikan sub kontraktor lain ianya akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,

Adalah diharapkan apabila siapnya Projek Pembangunan Gurney Wharf ini, ia akan menjadi salah satu lagi tarikan baharu kepada negeri sekaligus meningkatkan nilai tambah yang berkualiti tinggi terutama dalam memberi kesan spill over economy kepada penduduk di persekitaran Persiaran Gurney dan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dan semua yang terlibat dalam pembangunan projek ini, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun yang cukup prihatin dan sudi memberi pandangan, khidmat nasihat serta pendapat bagi melihat nilai dan kemajuan pembangunan projek ini berada pada tahap yang maksimum.

Di sebalik segala cabaran yang mendatang, kita berharap semoga segala perancangan pembangunan projek ini berjalan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, selaras dengan keutamaan Kerajaan Negeri untuk melihat pembangunan menyeluruh yang mampan serta berkualiti untuk negeri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang