UCAPAN PENGGULUNGAN   MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEEMPAT BELAS

 

UCAPAN PENGGULUNGAN

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEEMPAT BELAS

PADA 3 JUN 2022 (JUMAAT)

OLEH 

YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW,

KETUA MENTERI PULAU PINANG

MERANGKAP

PENGERUSI JAWATANKUASA MMK

PEMBANGUNAN TANAH & EKONOMI DAN KOMUNIKASI

 

 

Selamat Sejahtera dan Salam Penang2030

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Yang Berhormat Dato’ Ketua Pembangkang,

Ahli-Ahli Yang Berhormat dari barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,

Ketua-Ketua Jabatan,

Rakan-Rakan Media, serta

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

PENDAHULUAN

1.     Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul terima kasih atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan ini di Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas pada 27 Mei 2022 (Jumaat). Banyak pandangan bernas dan konstruktif yang diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang dapat membantu Kerajaan Negeri untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di negeri Pulau Pinang ini.

 

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

 

GAMBARAN SITUASI EKONOMI NEGERI PULAU PINANG

 

2.     Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan sejak tahun 2008 di mana KDNK tahunan negeri meningkat secara berterusan melebihi 5% - kecuali pada tahun 2009 dan 2012 disebabkan oleh pertumbuhan yang lemah di peringkat global khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah. Pandemik COVID-19 yang melanda negara kita sejak tahun 2020 telah menjejaskan prestasi ekonomi seluruh negara dan KDNK Pulau Pinang pada tahun tersebut telah menyusut ke paras 2.1%.

3.     Kerajaan Negeri pada 13 Mei 2020 telah menubuhkan Jawatankuasa Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) bagi membincangkan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas. Jawatankuasa PSERCC adalah bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti isu-isu yang timbul yang menghalang perkembangan ekonomi dan seterusnya mencari cadangan penyelesaian. Pelaksanaan Pelan Tindakan Pemulihan PSERCC merangkumi penyelesaian kepada sesuatu isu ekonomi dan dijangkakan aktiviti-aktiviti tersebut akan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi negeri yang berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat. Jawatankuasa ini telah berjaya menyumbang dan memberikan impak yang besar di bawah sektor industri (SMI/SME/PERUNCITAN), Sektor Pasaran Tenaga Kerja, Sektor Perumahan melibatkan pemberian insentif kepada pembeli serta pemaju, Sektor Infrastruktur dan Pengangkutan, Sektor Pelancongan dan juga Sektor Industri Makanan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

4.     Ekonomi Pulau Pinang sejak 50 tahun lalu telah disokong oleh perindustrian Bayan Lepas dan diiktiraf sebagai semikonduktor dan hab E&E bagi rantau ini. Pulau Pinang pada tahun 2021 telah mencapai nilai pelaburan pembuatan tertinggi sebanyak RM76.2 bilion. Jumlah nilai pelaburan pembuatan dari 2019-2021 adalah sebanyak RM107.2 bilion dan mewujudkan lebih 51,000 peluang pekerjaan. Nilai eksport negeri berjumlah RM310 bilion pada 2020, mewakili 32 peratus atau hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia. Pulau Pinang antara negeri terkecil di Malaysia namun mampu menjana RM110 bilion nilai lebihan perdagangan pada 2020.

 5.    Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, Pulau Pinang adalah hab elektrik dan elektronik (E&E) terkemuka negara dengan masing-masing menyumbang lebih 40 peratus dan 50 peratus lebihan dagangan tahunan negara serta eksport E&E sejak 2018. Pulau Pinang juga meraikan ulangtahun ke-50 perindustrian pada tahun ini dan kecemerlangan yang mampan serta ekosistem perindustrian yang mantap menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi tempat perindustrian yang sesuai. Pada tahun 2020, lebih 350 MNC dan lebih 4,000 perusahaan kecil dan sederhana terdapat di negeri ini dengan menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia. Bagi produk litar bersepadu elektronik, Pulau Pinang menyumbang sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas telah berkembang sejak beberapa tahun sebagai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) serantau. Taman Perindustrian Batu Kawan yang menempatkan lebih 160 syarikat, di mana kedua-dua syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tempatan, dengan pengembangan masa depan ke Taman Perindustrian Batu Kawan 2.

6.     Pulau Pinang terus mencatatkan kecemerlangan dengan pelaburan pembuatan mencapai paras tertinggi sebanyak RM76.2 bilion pada tahun 2021 walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19. Rekod Pulau Pinang pada tahun 2021 itu menjangkaui prestasi terdahulunya secara ketara melalui projek penting daripada Intel Electronics dan Ibiden Electronics dan melepasi pelaburan terkumpul dari 2012 hingga 2020 iaitu sebanyak RM73.1 bilion. Walaupun pelaburan pembuatan adalah tertinggi untuk Pulau Pinang, Kerajaan Negeri komited untuk menggunakan strategi berkembar untuk meningkatkan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor E&E dan ekonomi digital.

7.     Dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan dan melaksanakan pembangunan yang mampan, Kerajaan Negeri perlu menangani tiga (3) cabaran utama yang terdiri daripada tanah untuk perindustrian, sumber air bagi menampung keperluan masa hadapan dan isu modal insan. Salah satu pendekatan penting yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani cabaran tersebut adalah melalui Visi Penang2030. Empat (4) tema utama iaitu meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk, mengembangkan saiz ekonomi demi meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil dan pelaburan Kerajaan Negeri dalam pembangunan alam semula jadi agar lebih berdaya tahan dilihat dapat melonjakkan lagi potensi negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan di rantau ini. Untuk itu, pada 7 Jun 2022, Kerajaan Negeri akan melancarkan Dashboard Pemantauan Pencapaian Sasaran Visi Penang2030.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

  1. Kerajaan Negeri bersetuju dengan pandangan ADUN Air Putih yang menyatakan bahawa ekonomi digital adalah salah satu aspek penting yang perlu diberi penekanan untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar. Untuk itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM2.0 juta untuk pelaksanaan pelbagai program di bawah Digital Penang. Daripada jumlah tersebut, peruntukan sejumlah RM1.8 juta telah dikhususkan untuk inisiatif ekonomi digital. Digital Penang telah melaksanakan beberapa insentif seperti Founder’s Grit Seed Program, Penang Co-working, Incubator and Accelerator (PCIA), Creative Digital District (CD2) Sandbox Incentive dan Landing Zone Incentive untuk membantu dan menggalakkan syarikat permulaan dalam menceburi ekonomi digital. Kerajaan Negeri menyambut baik saranan daripada ADUN Batu Uban yang memohon supaya inisiatif ekonomi digital diteruskan untuk membantu lebih ramai rakyat negeri Pulau Pinang. Di samping itu, Digital Penang juga bekerjasama dengan Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk pelaksanaan program seperti MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) dan program insentif untuk menarik pelabur ke Pulau Pinang.

THE FUTURE OF PENANG IS IN SEBERANG PERAI

 

9.     Pentadbiran Kerajaan Negeri sejak tahun 2018 memberikan fokus kepada pembangunan yang seimbang antara kawasan Pulau dan juga Seberang Perai. Kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan lestari yang seimbang di kedua-dua kawasan adalah melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) yang telah diwartakan pada 24 Oktober 2019. RSNPP 2030 ini diterjemahkan oleh Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dalam bentuk peta cadangan guna tanah dan pelan-pelan tindakan terperinci. Tata cara proses penyediaan RT dan RKK telah mengambilkira semua input yang melibatkan data penduduk terkini, keadaan fizikal dan aktiviti semasa guna tanah dan diunjurkan mengikut trend pembangunan semasa sehingga tahun 2030. Selain itu, Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) merupakan salah satu agensi utama yang melaksanakan pembangunan di negeri Pulau Pinang. Antara kaedah yang digunakan oleh PDC untuk pelaksanaan pembangunan adalah seperti berikut:

  1. Pelan Strategik Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) yang memfokus kepada pertumbuhan kawasan pembangunan baharu berorientasikan ‘Bandar Hijau dan Pintar’ dan peningkatan nilai aset serta penggerak bagi inisiatif Kerajaan Negeri yang seimbang;
  2. Pelan Induk Pembangunan Bandar Cassia yang melibatkan kombinasi pembangunan bercampur dan bersepadu melibatkan perumahan, komersial, pendidikan, perubatan dan perindustrian;
  3. Perancangan pembangunan di Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP 3) bagi memastikan penawaran tanah perindustrian kepada pelabur mencukupi untuk “promoted industries” yang terdiri daripada ‘Electrical & Electronics (E&E), Electronics Manufacturing Services (EMS), Light Emitting Diodes (LED), Medical Devices, Aerospace, Semiconductor, Automotive’ dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan;
  4. Kajian pembangunan Penang Science Park South (PSPS) sebagai kawasan untuk industri am dan makanan (hab halal). Pembangunan hab logistik melibatkan sebahagian tanah BKIP 3 dan PSPS; dan
  5. Penekanan kepada konsep Environmental Social Governance (ESG) dan Sustanainable Development Goals (SDG) dalam peringkat perancangan guna tanah di kawasan pembangunan Kerajaan Negeri melalui PDC. Elemen “work, live, learn, and play” serta “green, safe, and smart” di kawasan pembangunan baru bagi memastikan ekosistem, sosial, fasiliti dan peluang pekerjaan mengikut reformasi pasaran dan revolusi pembangunan hartanah seiring dengan konsep di atas.

10.   Batu Kawan yang merupakan salah satu kawasan katalis pertumbuhan pesat Seberang Perai dan sememangnya banyak industri tertumpu di kawasan ini. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang membangunkan kawasan ini sebagai kawasan perindustrian utama. PDC buat masa ini sedang giat membangunkan Taman Perindustrian Batu Kawan, Batu Kawan Timur dan Selatan Penang Science Park.

11.   Walaupun Seberang Perai pesat membangun, Kerajaan Negeri tidak dapat menafikan bahawa masih terdapat beberapa masalah seperti kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa, pencemaran sungai, masalah bekalan air wujud yang menjadi growing pains, dengan izin, di negeri Pulau Pinang. Kita dapat lihat dalam Dewan yang mulia ini, ADUN Bukit Tambun, ADUN Bukit Tengah dan ADUN Jawi yang selalu membangkitkan isu mengenai kekurangan fasiliti dan infrastruktur di kawasan Seberang Perai. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan Seberang Perai menjadi pemangkin pertumbuhan untuk masa depan. Namun, Pulau Pinang memerlukan peruntukan yang banyak untuk menambahbaik kemudahan dan fasiliti.

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN NEGERI VS PERUNTUKAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN

 

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

 

12.   Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM316.13 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan pada tahun 2022.  Peruntukan pembangunan tahun 2022 ini telah mengambil kira keperluan projek-projek kritikal dan berimpak tinggi serta memastikan kesinambungan projek-projek sambungan yang masih dalam pelaksanaan. Kerajaan Negeri sedar bahawa projek pembangunan yang dilaksanakan adalah penting untuk kesejahteraan rakyat dan merancakkan ekonomi negeri. Namun, peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Negeri ini sahaja tidak mencukupi untuk menambahbaik jaringan fasiliti dan keperluan di Seberang Perai. Sebagaimana yang diucapkan oleh Tuan Yang Terutama Yang  di-Pertua Negeri, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting untuk memastikan projek pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan di Pulau Pinang.

  1. Tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan negeri Pulau Pinang bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara serta nilai pelaburan negeri adalah sangat tinggi. Namun, sumbangan dan usaha Kerajaan Negeri ini tidak diberikan ganjaran yang setimpal oleh Kerajaan Persekutuan. Hampir kesemua Yang Berhormat ADUN dalam Dewan yang mulia ini bersetuju dan merasakan negeri Pulau Pinang dianak-tirikan atau marginalized, dengan izin, daripada manfaat pembangunan. Apa yang dimohon oleh Kerajaan Negeri adalah bukan layanan istimewa, tetapi, layanan yang adil supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya.
  1. ADUN Jawi ada membangkitkan mengenai bilangan projek yang dimohon oleh Kerajaan Negeri di bawah RMKe-12 yang masih belum diluluskan. Sebagai makluman kepada Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mengemukakan sejumlah 111 projek di bawah RMKe-12, Rolling Plan Kedua Tahun 2022 dan daripada jumlah tersebut hanya enam (6) projek yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri diluluskan untuk pelaksanaan oleh Kerajaan Persekutuan. Mengambil kira sumbangan nilai ekonomi negeri kepada Malaysia, Pulau Pinang sepatutnya layak dipertimbangkan lebih banyak projek untuk dilaksanakan bagi manfaat rakyat.
  1. Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang bertujuan untuk mengenal pasti isu melibatkan hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk seruan untuk pengagihan sumber yang lebih saksama. Laporan yang disediakan oleh jawatankuasa ini telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri dan Jawatankuasa Penambahbaikan Persekutuan-Negeri di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri berharap agar cadangan yang diberikan tersebut akan mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan negeri Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya.
  2. Walaupun menghadapi kekangan dari segi peruntukan, Kerajaan Negeri masih berusaha untuk menangani isu-isu yang dihadapi di Seberang Perai. Usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di Seberang Perai adalah dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas awam dan menaiktaraf infastruktur jalan. Antara projek atau perkhidmatan yang sedang dilaksanakan adalah seperti berikut:

a. Perkhidmatan bas henti-henti dan perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) KOMTAR di Kepala Batas, Seberang Jaya dan Jawi;

b. Perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) Bridge dari Bayan Baru ke Seberang Jaya;

c. Perkhidmatan feri bot laju untuk penumpang;

d. Projek pembinaan Jambatan Valdor yang menghubungkan Jalan Persekutuan 1 dengan Batu Kawan oleh pihak PDC;

e. Projek pelebaran Jambatan Batu Kawan oleh pihak PDC; dan

f. Projek naiktaraf jalan dari persimpangan Jalan Bukit Tengah dengan Jalan Bukit Minyak 2 hingga persimpangan Jalan Bukit Minyak dengan Jalan Kota Permai oleh pihak PDC.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

  1. Ramai Ahli-ahli Yang Berhormat telah menyentuh mengenai masalah bekalan air khususnya di Seberang Perai Selatan (SPS) dan sememangnya saya mengambil berat pandangan-pandangan yang dikemukakan Untuk makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat, penggunaan air harian Pulau Pinang telah melonjak sebanyak 10.4% dalam tempoh 3 tahun, daripada 843 Juta Liter Sehari (JLH) pada 2019 kepada 931 JLH pada Mei 2022. Meskipun kebanyakan sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi pada 2020 dan 2021 iaitu ketika tempoh pandemik COVID-19, namun penggunaan air masih meningkat di Pulau Pinang berikutan peningkatan penggunaan oleh pengguna domestik. Sebagai perbandingan, data sejarah menunjukkan bahawa penggunaan air meningkat hanya 7.8% dalam tempoh 9 tahun dari 2010 hingga 2019, daripada 782 JLH pada tahun 2010 kepada 843 JLH pada tahun 2019.
  2. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau

Pinang (PBAPP) telah mengenalpasti pelan jangka        pendek, sederhana dan panjang untuk mengurangkan        masalah bekalan air di Seberang Perai Selatan (SPS).

SISTEM E-TANAH PULAU PINANG

  1. ADUN Air Putih dalam perbahasan telah membangkitkan mengenai kepentingan pendigitalan carian tanah selaras dengan perkembangan teknologi masa kini dan usaha ini harus dipercepatkan. Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri perlu mencari kaedah lain untuk melaksanakan pendigitalan sistem pentadbiran tanah memandangkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengambil masa dan akan menelan kos yang tinggi.
  1. Ingin saya maklumkan bahawa Sistem e-Tanah Pulau Pinang telah dibangunkan pada 2005 dan mula digunakan di Pentadbiran Tanah Pulau Pinang pada 2008 sehingga kini. Mengambil kira Sistem e-Tanah semasa yang kurang stabil, perisian yang telah mencapai End Of Life (EOL) dan kadar ralat yang amat tinggi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berpendapat pembangunan baharu Sistem e-Tanah bagi Negeri Pulau Pinang perlu dilaksanakan dengan kadar segera.
  1. Saya sendiri telah menulis surat kepada YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) untuk memohon pembangunan baharu Sistem e-Tanah Fasa 2 di Pulau Pinang dapat disegerakan. Saya juga telah membangkit isu pembangunan Sistem e-Tanah Fasa 2 di Sidang Parlimen pada 5 Oktober 2021 dan telah mendapat respon yang positif dari YB Menteri. Pembangunan Sistem e-Tanah Fasa 2 pada masa kini melibatkan 9 buah negeri di Semenanjung sahaja tidak termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan. Pada masa kini hanya Wilayah Persekutuan dan Perak sahaja yang telah menggunakan Sistem e-Tanah Fasa 2.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Oktober 2021 telah meluluskan permohonan pelaksanaan Sistem e-Tanah Fasa 2 untuk Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.  Pada 4 Mac 2022 sesi taklimat dan lawatan tapak oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan ke PTG Pulau Pinang telah diadakan untuk melihat keadaan semasa sistem e-Tanah Pulau Pinang.
  1. Pelaksanaan pembangunan Sistem e-Tanah Fasa 2 di Pulau Pinang dijangka akan mengambil tempoh antara 2 sehingga 3 tahun (mungkin melebihi 3 tahun). Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil inisiatif dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM2,623,924.00 untuk pembangunan SISTEM PERKHIDMATAN TANAH SETEMPAT ATAS TALIAN PULAU PINANG (PgLAND) yang akan membolehkan permohonan perserahan dalam talian dapat dilaksanakan termasuk carian rasmi dan carian persendirian. Pembangunan sistem ini akan melibatkan PTG dan kesemua Pejabat Daerah dan Tanah. PgLAND dijangka akan mula dibangunkan pada Julai 2022 dan boleh digunakan mulai Januari 2023.

MANIFESTO KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

 

  1. Manifesto Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan salah satu perkara yang banyak dibincangkan dalam sesi persidangan pada kali ini. ADUN Sungai Dua telah menyentuh beberapa isu seperti pencemaran sungai, pelupusan sampah, ternakan khinzir dan sebagainya yang tidak dinyatakan dalam manifesto dan perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Sebagai makluman kepada Yang Berhormat, manifesto yang dirangka oleh Kerajaan Negeri merupakan sasaran yang telah ditetapkan empat (4) tahun dahulu dan melibatkan beberapa perkara penting yang dikenal pasti. Walaupun tidak dimasukkan dalam pencapaian manifesto, Kerajaan Negeri masih memberikan perhatian dan memantau perkara-perkara yang dinyatakan oleh ADUN Sungai Dua.
  1. Selain itu, ADUN Sungai Dua juga menyatakan sebanyak dua (2) kali bahawa, meskipun pencapaian manifesto Kerajaan Negeri adalah sebanyak 90 peratus, beliau bimbang dengan hasil dan impak pencapaian tersebut sama ada ianya adil dan sampai ke semua golongan di negeri ini. Berhubung dengan perkara ini, suka saya maklumkan bahawa manifesto 2018 telah dirangka dengan teliti supaya ianya memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat, termasuk menjaga kepentingan mereka tanpa mengira bangsa, agama, taraf sosial dan sebagainya. Manifesto tersebut juga dirangka dengan matlamat yang jelas demi untuk pembangunan negeri ini.
  1. Berhubung dengan isu seperti pencemaran sungai, pelupusan sampah, ternakan khinzir dan sebagainya yang didakwa tidak dinyatakan dalam manifesto. Ianya tidak benar sama sekali. Isu-isu tersebut sememangnya telah dikenalpasti dan diambil tindakan yang berterusan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2018. Ia juga telah dijadikan sebagai sasaran di bawah Inisiatif Strategik, Visi Penang2030 untuk dicapai oleh Kerajaan Negeri. Semakan mengenai pencapaian sasaran ini boleh dibuat melalui Sistem Dashboard Penang2030 yang sudahpun dimuat naik ke laman sesawang Penang2030. Selain itu, ADUN Sungai Dua juga boleh merujuk kepada booklet Pencapaian Tiga (3) Tahun Visi Penang2030 yang telah dilancarkan pada bulan Januari tahun ini, berhubung usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, selain daripada perkara-perkara yang termaktub dalam manifesto.
  1. ADUN Seberang Jaya, ADUN Penaga dan ADUN Sungai Acheh dalam Dewan yang mulia ini telah mempersoalkan pencapaian Kerajaan Negeri dalam melaksanakan 68 aku janji yang terkandung dalam Manifesto Kerajaan Negeri. Di sini, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah mencapai 90 peratus pelaksanaan dengan 54 janji telah ditepati dan 6 janji telah mencapai perancangan advanced level. Kerajaan Negeri memandang serius akan perkara ini kerana ia melibatkan janji yang telah diberikan kepada rakyat negeri Pulau Pinang. Sememangnya terdapat beberapa janji dalam pelaksanaan dan akan siap dilaksanakan pada masa hadapan, Namun, apa yang saya hendak tegaskan di sini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk mengotakan janji telah dimulakan dan wajar dilaporkan untuk pengetahuan rakyat negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri komited dan akan terus berusaha untuk mencapai janji yang diberikan.

PENUTUP

  1. Dengan berbekalkan hasrat yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha untuk mencapai perkara-perkara seperti berikut:

a. Mencapai baki 10% janji yang telah diberikan dalam Manifesto;

b. Mempercepat pencapaian Visi Penang2030;

c. Memberikan fokus untuk pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19;

d. Mentadbir negeri Pulau Pinang dengan Good Governance, dengan izin atas prinsip Cekap, Akauntibiliti dan Telus (CAT); dan

e. Memastikan serta menjaga kebajikan rakyat negeri Pulau Pinang.

  1. Satu perkara penting yang dilafazkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-empat Belas adalah perpaduan yang menyatapadukan masyarakat Malaysia berbilang kaum, agama dan keturunan. Segala kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri akan menjadi tidak bermakna sekiranya perpaduan yang kita kekalkan selama ini tergugat. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengekalkan perpaduan masyarakat agar keharmonian dapat dinikmati dan diwariskan kepada generasi akan datang.
  1. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada barisan Exco Kerajaan Negeri dan seluruh anggota perkhidmatan awam Negeri Pulau Pinang yang selama ini telah memberikan komitmen yang amat tinggi dalam merealisasikan misi mencapai sasaran di bawah empat (4) Tema dan enam belas (16) Inisiatif Strategik - Visi Penang2030. Sesungguhnya, visi ini akan dijadikan sebagai pegangan dan hala tuju Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini pada masa hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang