PROGRAM KESIHATAN JPWK KADUN PADANG KOTA
UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PROGRAM KESIHATAN JPWK KADUN PADANG KOTA
4 JUN 2022 | SABTU I 945 PAGI
______________________________________
Datin Yeoh Phaik Suan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota
Dr. M. S. Inparathi
Doktor Bersara, Hospital Pulau Pinang
Encik Abdul Wahab bin Shaik Mydin
Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Kedah
Encik Ricky Goh
Group Leader Happy Star Fitness Dance
Encik Tan Eng Chun
Pengarah 99 Optics
Salam Sejahtera dan selamat pagi,
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran para tetamu yang diraikan serta hadirin sekalian kerana sudi melapangkan masa untuk bersama-sama pada Program Kesihatan anjuran JPWK KADUN Padang Kota. Sekalung tahniah dan syabas kepada juawatankuasa penganjur yang telah berusaha keras bagi memastikan program ini berjalan dengan lancarnya.
Umumnya, program kesihatan seperti ini adalah penting dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang penjagaan kesihatan diri optimum dalam kehidupan seharian. Malah, program ini juga adalah sebagai usaha mengubah tingkah laku sekali gus mempertingkatkan penjagaan kesihatan kendiri dalam kalangan komuniti setempat serta sekeliling.
Tidak dinafikan, segelintir daripada kita kurang memberi perhatian terhadap aspek kesihatan sehinggalah berada pada suatu tahap yang sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan. Maka, penganjuran program kesihatan sebegini dengan kerjasama daripada jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) amatlah dialu-alukan sejajar dengan Tema A yang terkandung dalam Visi Penang2030 untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat, khasnya di Pulau Pinang.
Malah, dalam janji manifesto ‘Saya ❤️ Pulau Pinang’ empat tahun lalu, aspek kesihatan turut menjadi salah satu penekanan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesihatan rakyat negeri ini sentiasa terjamin serta terpelihara khususnya melibatkan golongan wanita yang mana program pemeriksaan mamogram percuma untuk mereka berusia 30 tahun dan ke atas telah dilaksanakan. Sejak 2019 hingga Februari 2022, seramai 4,303 wanita telah menerima manfaat dengan menjalani pemeriksaan percuma menerusi program berkaitan. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan rawatan dialisis bersubsidi untuk golongan kurang mampu sebanyak RM30 untuk setiap lawatan membabitkan tiga (3) pusat dialisis Kerajaan Negeri di Balik Pulau, Seberang Jaya dan Masjid At-Taqwa.
Hadirin sekalian,
Era pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini telah memberi impak yang besar baik daripada segi penjagaan kesihatan fizikal sehinggalah penjagaan kesihatan mental.
Laporan media arus perdana juga menunjukkan bahawa kadar kematian akibat COVID-19 di negara ini adalah banyak melibatkan mereka yang mengidap penyakit kronik. Justeru, perubahan sikap dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat adalah amat diperlukan dengan perkara akan perkara berkaitan kesihatan termasuk aspek pemakanan bernutrisi.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan cuba memastikan sistem kesihatan awam di negeri ini berada pada tahap optimum sekali gus berusaha meningkatkan kualiti kesihatan rakyat secara keseluruhan.
Saudara saudari sekalian,
Saya percaya bahawa pihak swasta dan NGO yang ada di negeri ini sedia berganding bahu serta bekerjasama secara aktif dan kolektif untuk membantu melengkapkan keperluan serta kebajikan rakyat di negeri ini sama ada melalui aspek sosial, ekonomi, pendidikan mahupun kesihatan.
Kerajaan Negeri lazimnya berbangga dan menghargai segala sumbangan yang dicurahkan selama ini. Justeru, saya berharap program kerjasama seperti ini dapat dianjurkan secara berkala bagi memastikan rakyat negeri ini sedar serta faham betapa pentingnya penjagaan kesihatan.
Serentak itu, usaha ini juga memerlukan kerjasama daripada semua termasuk tuan-tuan dan puan-puan yang berada di sini hari ini.
Oleh itu, ambillah peluang hari ini untuk menimba pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan kendiri dan sebarkan kepada orang di sekeliling tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kongsikan pengetahuan yang diperoleh kepada anak-anak, cucu cicit, rakan-rakan mahupun jiran di sebelah rumah yang mana kempungkinan suatu hari kelak ilmu-ilmu tersebut berjaya menyelamatkan nyawa seseorang insan daripada risiko menghidap penyakit kronik. Umpama kata pepatah “Mencegah itu lebih baik daripada merawat”, kalau boleh dielakkan adalah lebih baik daripada mendapatkan rawatan.
Akhir kata, saya berharap Program Kesihatan anjuran JPWK KADUN Padang Kota yang berlangsung pada hari ini dapat mencapai sasarannya, dan diteruskan dari masa ke masa dengan lebih ramai pihak untuk tampil dalam menjayakan matlamat bagi memastikan rakyat sedar tentang peri penting penjagaan kesihatan kendiri.
Sekian, terima kasih.