MAJLIS PERASMIAN RUMAH PAM TAMAN IPING, DAERAH BARAT DAYA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN RUMAH PAM
TAMAN IPING, DAERAH BARAT DAYA

9 JUN 2022
RUMAH PAM TAMAN IPING 2
(BERSEBELAHAN AKUATAR)

 

YB Dato' Dr. Ahmad Jailani bin Mohamed Yunus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Zairil Khir Johari
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

YB Dato' Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Batu Maung

YB Dato' Dr. Mohamad Farazi Bin Johari
Pegawai Kewangan Negeri

YB Sim Tze Tzin
Ahli Parlimen Bayan Baru

Yang Berusaha En. Ooi Soon Lee
Timbalan Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Encik Mohd Hafiz Aswad bin Nadzri
Pegawai Daerah, Daerah Barat Daya (DBD)

Ketua-ketua/ Wakil-wakil Jabatan/ Pengurus Utiliti

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dalam memastikan Majlis Perasmian Rumah Pam Taman Iping, Daerah Barat Daya (DBD) dapat dilaksanakan pada pagi ini.

Sepertimana yang dijanjikan di bawah 68 Manifesto 'Saya ❤️ Pulau Pinang' ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, hari ini saya gembira dengan kemajuan yang telah berjaya dicapai hasil komitmen semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan projek tebatan banjir berimpak tinggi ini berjaya direalisasikan.

Meskipun kerja-kerja pembinaan projek ini terganggu akibat pandemik COVID-19, namun pencapaian pada hari ini harus dilihat dari segi ruang lingkup yang luas.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM16.5 juta yang melibatkan pembinaan dua (2) buah rumah pam masing-masing dengan kapasiti 6 meter padu sesaat dan 7 meter padu sesaat, projek yang telah direkabentuk pada tahap perlindungan 20 ARI ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir dan mampu menyelamatkan sehingga 2,000 penduduk di kawasan penempatan, kawasan komersial dan industri di dalam lembangan Sungai Nipah yang berkeluasan 3.2 km persegi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Daripada keseluruhan lapan (8) buah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) merangkumi bahagian Pulau dan Seberang Perai dengan keseluruhan kos sebanyak RM150 juta, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang selaku agensi pelaksana telah pun menyiapkan empat (4) buah projek iaitu RTB Parit 4, RTB Parit 5, RTB Mak Mandin dan yang terkini RTB Taman Iping.

Manakala baki empat (4) buah projek berada dalam beberapa fasa kemajuan yang positif iaitu RTB Bayan Baru yang dijangka siap dalam masa terdekat, dua (2) projek masih dalam fasa pembinaan iaitu Kolam Takungan Alma dan RTB Sungai Tiram di Kg Naran dan yang terakhir RTB Permatang Rawa yang sedang dalam proses reka bentuk semula.

Selain daripada projek-projek yang dinyatakan, terdapat dua (2) buah projek iaitu Projek Tebatan Banjir Van Praagh dan Projek Tebatan Banjir Parit Monsun di Kg Pokok Assam di Daerah Timur Laut (DTL) telah dimulakan di tapak pada 1 Jun 2022.

Manakala Projek Tebatan Banjir Taman Tembikai di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) akan ditender dalam masa terdekat. Ketiga-tiga projek ini menggunakan peruntukan pembangunan negeri dan juga peruntukan amanah caruman peparitan.

Di kesempatan ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, di Daerah Timur Laut (DTL), Rancangan Tebatan Banjir Taman Siakap, di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kecil, di Daerah Seberang Selatan (SPS).

Kerajaan Negeri berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan dan dimulakan pada tahun ini.

Selain itu, masih terdapat beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir yang masih dalam peringkat kajian dan reka bentuk menggunakan peruntukan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri yang sedang dilaksanakan oleh JPS Negeri dan JPS Malaysia, kita berdoa kajian dan reka bentuk ini dapat disiapkan mengikut jadual dan disusuli dengan peringkat pembinaan.

Saya ingin mengulangi komitmen Kerajaan Negeri dan juga JPS Negeri bahawa menjelang tahun 2030, 80% pengurangan kawasan hotspot banjir daripada 63 kawasan yang telah dikenalpasti dapat dicapai dengan pelaksanaan projek yang sedang dilaksana dan juga yang telah dirancang.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh jawatankuasa penganjur dan pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Perasmian Rumah Pam Taman Iping ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Rumah Pam Taman Iping, Daerah Barat Daya.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang