MAJLIS MAKAN MALAM PENANG FOOTBALL CLUB SDN BHD (PENANG FC)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

 YAB CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM

PENANG FOOTBALL CLUB SDN BHD (PENANG FC)

 

17 JUN 2022

HOTEL JEN

 

YB. SOON LIP CHEE
EXCO BELIA DAN SUKAN MERANGKAP PENGERUSI PENANG FC SDN BHD

YB. DATO' DR. AHMAD JAILANI BIN MUHAMED YUNUS
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MERANGKAP AHLI LEMBAGA PENANG FC SDN BHD

 

YB DATO' DR. MOHAMAD FARAZI BIN JOHARI
PEGAWAI KEWANGAN NEGERI MERANGKAP AHLI LEMBAGA PENGARAH PENANG FC SDN BHD

 

YB DATO’ NORAZMI BIN MOHD NARAWI
PENASIHAT UNDANG-UNDANG NEGERI MERANGKAP AHLI LEMBAGA PENGARAH PENANG FC SDN BHD

 

YBHG. DATO' AZHAR BIN HAJI ARSHAD
DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI

 

PN BHARATHI A/P SUPPIAH
TIMBALAN PENGURUS BESAR CHIEF MINISTER INCORPORATED (CMI) MERANGKAP AHLI LEMBAGA PENGARAH PENANG FC SDN BHD

 

RAKAN-RAKAN MEDIA

 

DATO-DATO, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN.

Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas jemputan sempena Majlis Makan Malam Penang Football Club Sdn Bhd (Penang FC) pada malam yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya memuji usaha dan komitmen pihak pengurusan Penang FC dalam menganjurkan majlis yang julung kali diadakan sebagai wadah untuk kita semua memanfaatkan platform ini untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan jalinan muhibah yang sedia terjalin.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Penang FC merupakan sebuah Kelab Bola Sepak yang ditubuhkan sebagai badan korporat di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai Syarikat Milik Kerajaan Negeri (“GLC”) di bawah seliaan Perbadanan Ketua Menteri pada tahun 2020.

Ia diperbadankan sebagai langkah penswastaan dan pengambilalihan pengurusan daripada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi membolehkan penglibatan dalam kejohanan bola sepak seperti Liga Super/Perdana, Piala FA, Piala Malaysia serta kejohanan antarabangsa di peringkat Kelab ASIA.

Sehubungan dengan status Kelab sebagai Syarikat Milik Kerajaan Negeri, pendanaan utama Kelab masih bergantung kepada hasil yang diperoleh melalui penjualan tiket dan merchandise kelab serta geran daripada Kerajaan Negeri dan pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Dan dalam hal ini, saya mengambil kesempatan untuk menggunakan platform ini bagi mengajak lebih ramai NGO untuk terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sama ada dari segi kewangan mahupun sokongan moral bagi memastikan Kelab ini terus berdaya saing dalam memenuhi keperluan dan saingan yang akan datang di mana sasarannya sudah pasti sehingga ke peringkat perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia tahun 2022.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan Penang FC bahawa pasukan Liga Super kita akan bertemu dengan Pasukan PJ City pada malam esok (18 Jun) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Jadi saya berharap semua pemain akan terus fokus dan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dalam misi kita untuk mencapai kemenangan pertama pada musim ini.

“Jika kita menggenggam bara api biarlah sehingga menjadi abu”. Semoga kejayaan menjadi milik kita.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih sekali lagi kepada semua yang telah hadir pada malam ini. Terima kasih juga atas segala khidmat dan sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri sebagai panduan untuk mentadbir negeri ini dengan baik.

Semoga kerjasama seperti ini akan berterusan dalam usaha kita memartabatkan pembangunan sukan bola sepak negeri ini di persada antarabangsa.

“HARIA PENANG HARIA


Sekian, terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang