KARNIVAL KESIHATAN TAHUN 2022 ANJURAN ONE HOPE CHARITY & WELFARE

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA KARNIVAL KESIHATAN TAHUN 2022

ANJURAN ONE HOPE CHARITY & WELFARE

 

18 JUN 2022

JURU AUTO CITY

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity) atas komitmen berterusan yang telah diberikan termasuklah dalam memastikan Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Tahun 2022 pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.

Memasuki tahun ke-20, sesunggguhnya penganjuran program sedemikian sangat signifikan dan melakar sejarah yang tersendiri terutama kepada One Hope Charity sebagai badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan berasaskan kesihatan yang paling aktif dan efisien di negeri ini.

Sepertimana penganjuran pada tahun-tahun sebelum ini, Karnival Kesihatan yang akan berlangsung selama dua hari (hari ini dan esok) menawarkan lebih daripada 20 jenis perkhidmatan pemeriksaan merangkumi pemeriksaan mata hingga ke kaki, serta pemeriksaan luaran hingga ke organ dalaman badan seperti pemeriksaan hati, pemeriksaan jantung dan pelbagai lagi oleh pakar, doktor perubatan serta pasukan perubatan yang bertauliah tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada para pengunjung.

Penganjuran karnival seperti ini menyediakan platform kepada mereka yang kurang berkemampuan terutama dalam membantu mengesan dan mengawal penyakit kerana kita semua percaya konsep ‘mencegah sebelum parah” itu adalah sangat perlu. Kos pemeriksaan kesihatan yang tinggi telah menjadi beban yang berat kepada golongan ini dan lazimnya, ada segelintir mereka yang telah menghidap sesuatu penyakit telah berada pada tahap yang agak serius dan sudah terlambat untuk melakukan rawatan.

Malah, dalam janji manifesto ‘Saya ❤️ Pulau Pinang’ empat (4) tahun lalu, aspek kesihatan turut menjadi salah satu penekanan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesihatan rakyat negeri ini sentiasa terjamin serta terpelihara khususnya melibatkan golongan wanita yang mana program pemeriksaan mamogram percuma untuk mereka berusia 30 tahun dan ke atas telah dilaksanakan. Sejak 2019 hingga Februari 2022, seramai 4,303 wanita telah menerima manfaat dengan menjalani pemeriksaan percuma menerusi program berkaitan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan rawatan dialisis bersubsidi untuk golongan kurang mampu sebanyak RM30 untuk setiap lawatan membabitkan tiga (3) pusat dialisis Kerajaan Negeri di Balik Pulau, Seberang Jaya dan Masjid At-Taqwa.

Dengan peningkatan dan tuntutan kos sara hidup yang semakin tinggi masa kini, inisiatif penganjuran program sedemikian sangat tepat pada masanya untuk menyeru masyarakat agar sentiasa meletakkan penjagaan kesihatan sebagai keutamaan dalam usaha memupuk amalan dan gaya hidup sihat rakyat negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti mana yang sering saya ulangi, Kerajaan Negeri amat menghargai jalinan kerjasama ini dan kita akan terus memberikan sokongan bagi memperkasakan kolaborasi yang telah terjalin sejak tahun 2002, selaras dengan matlamat Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara ke arah meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan dan kesihatan penduduk negeri ini. 

Saya percaya bahawa pihak swasta dan NGO yang ada di negeri ini sedia berganding bahu serta bekerjasama secara aktif dan kolektif untuk membantu melengkapkan keperluan serta kebajikan rakyat di negeri ini sama ada melalui aspek sosial, ekonomi, pendidikan mahupun kesihatan.

Kerajaan Negeri lazimnya berbangga dan menghargai segala sumbangan yang dicurahkan selama ini. Justeru, saya berharap program kerjasama seperti ini dapat dianjurkan secara berkala bagi memastikan rakyat negeri ini sedar serta faham betapa pentingnya penjagaan kesihatan.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh pasukan One Hope Charity dan semua yang terlibat dalam menjayakan Karnival Kesihatan Tahun 2022 ini.

Adalah diharapkan usaha berterusan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama ini terus dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan berintegriti, selari dengan kedudukan One Hope Charity sebagai badan amal yang gah dan amat dikenali.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang