PELANCARAN PROGRAM ANUGERAH CEMERLANG WARISAN SERATUS TAHUN DI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

BAGI PELANCARAN PROGRAM ANUGERAH CEMERLANG

WARISAN SERATUS TAHUN DI PULAU PINANG

20 JULAI 2022

BILIK BUNGA RAYA, TINGKAT 51, KOMTAR

YB Yeoh Soon Hin

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

Yang Berusaha Tuan Rosli bin Haji Nor

Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang

Para Juri

Encik Danny Koay Hock Hsiang 

Pengarah Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Cik Noorhanis binti Noordin 

Pengarah Bangunan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Tpr. Mohd Ridzal bin Abdul

Pengarah Pelancongan, Seni dan Warisan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Dr. Ang Ming Chee

Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI)

Profesor Madya Dr. Premalatha Karupiah 

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Wakil-wakil Jabatan dan Agensi

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Pelancaran Program Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Di Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.

Di bawah Pejabat EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PETACE) sebagai penganjur dan Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang sebagai urusetia, di samping kolaborasi daripada rakan-rakan strategik yang lain, Kerajaan Negeri komited untuk memperkenalkan program ini sebagai tanda penghargaan kepada pihak-pihak yang telah menunjukkan usaha cemerlang dan dedikasi dalam pembangunan Pulau Pinang sepanjang tempoh yang melangkau satu abad. 

Seperti mana yang semua sedia maklum, Pulau Pinang telahpun mempunyai dua (2) khazanah warisan Negeri yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town di bawah kategori Warisan Budaya dan Bukit Bendera Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera di bawah kategori tapak warisan alam semulajadi, selain 11 buah bangunan yang turut telah diwartakan sebagai warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pengiktirafan warisan ini tidak berakhir dengan penerimaan watikah sahaja. Ia memerlukan pengurusan pemuliharaan dan pemeliharaan yang berterusan.

Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi yang telah diberi mandat untuk mengurus tapak-tapak warisan berkenaan sedang menyediakan dan mengemaskini pelan pengurusan bagi memastikan pengekalan tapak yang berterusan agar dapat diwarisi oleh manusia sejagat.

Di sini, Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Penggantian) dan Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera (Penggantian) yang masih dalam peringkat penyediaan merupakan panduan bagi pengurusan kedua-dua tapak warisan berkenaan.

Pewartaan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Peraturan-peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 merupakan langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat dan memulihara khazanah Warisan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

Malah, Pesuruhjaya Warisan Negeri turut dilantik bagi melaksanakan fungsinya dengan mengisytihar sebarang warisan kebudayaan dan warisan semula jadi sebagai Warisan Negeri yang selaras dengan peruntukan di dalam Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang. 

Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi yang berkaitan sentiasa berusaha untuk mengangkat dan memartabatkan warisan negeri dari pelbagai aspek nilai signifikannya. 

Namun begitu, kita percaya terdapat pelbagai warisan kebudayaan negeri lagi yang layak mendapat pengiktirafan bersesuaian dengan sumbangannya kepada pembangunan Negeri dan Negara. 

Justeru, program  Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Di Pulau Pinang ini diperkenalkan bagi mengangkat usaha pelbagai pihak termasuk persatuan, organisasi, perniagaan, institusi serta pelbagai entiti yang telah lama bertapak dan masih aktif dalam pembangunan Negeri yang selama ini begitu komited dalam memelihara dan memulihara warisan negeri ini.

Saya berharap program ini dapat memartabatkan Warisan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dan sebagai galakan kepada semua pihak untuk terus menyumbang kepada pembangunan Negeri.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang