Perasmian Sesi Libat Urus YAB Ketua Menteri Bersama Bersama YB ADUN dan YB Ahli Parlimen Bagi Penyediaan Bajet Tahun 2023
Ucapan YAB Ketua Menteri Sempena Perasmian
Sesi Libat Urus YAB Ketua Menteri Bersama Bersama YB ADUN
dan YB Ahli Parlimen Bagi Penyediaan Bajet Tahun 2023
20 Julai 2022 (Rabu)
Pinang Ball Room, Tingkat 3, Jen Hotel,
George Town, Pulau Pinang
1. Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang,
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri;
2. Yang Berhormat Profesor Dr. P. Ramasamy A/L Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang;
3. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang;
4. Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang;
5. Ketua-Ketua Jabatan, Agensi serta Anak Syarikat Kerajaan Negeri; dan
6. Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang dihormati sekalian.
[Salutasi tertakluk kepada senarai akhir kehadiran]
Pengenalan
Dua tahun telah berlalu sejak pandemik COVID-19 melanda dan dunia terus dicabar dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian pada skala yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah kehidupan manusia. Walaupun semua negara di dunia sama-sama berusaha untuk pulih daripada kesan COVID-19, kini, cabaran baru pula dihadapi iaitu krisis inflasi (hiper-inflasi) susulan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan yang mana kesannya mungkin lebih panjang daripada konflik itu sendiri dan mungkin juga akan memberi kesan serta cabaran terhadap landskap ekonomi dunia.
Ekonomi Negeri Pulau Pinang
Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia melepasi kadar pertumbuhan negara iaitu 5.8 peratus dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM99.0 bilion. Jumlah itu merupakan lonjakan sebanyak 6.8 peratus iaitu daripada -2.1 peratus pada 2020 ketika kita teruk dilanda wabak COVID-19. Kebanyakan industri di negeri ini berkembang seperti sektor perkhidmatan pada kadar 2.1 peratus, pembuatan pada kadar 12.4 peratus dan pembinaan pada 12.9 peratus. Walau bagaimanapun, subsektor perdagangan seperti borong dan runcit, F&B dan subsektor perhotelan mengalami penguncupan.
Pulau Pinang pada tahun 2021 telah mencapai nilai pelaburan pembuatan tertinggi dengan jumlah nilai pelaburan pembuatan dari 2019 hingga 2021 adalah sebanyak RM107.2 bilion dan mewujudkan lebih 51,000 peluang pekerjaan. Di sebalik ketidaktentuan yang berlaku, peranan Kerajaan Negeri dalam konteks masyarakat yang lebih luas masih jelas iaitu, Kerajaan Negeri terus berfungsi sebagai enjin berkesan yang memacu pemulihan ekonomi untuk negeri Pulau Pinang dan seterusnya memastikan pemulihan ekonomi dan masa depan yang lebih terjamin.
Kewangan Negeri Pulau Pinang
Kedudukan kewangan Negeri Pulau Pinang secara dasarnya adalah baik berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang diiktiraf oleh Ketua Audit Negara. Kerajaan Negeri juga telah menerima Sijil Tanpa Teguran 2018 hingga 2020 yang membuktikan prestasi kewangan serta aliran tunai Kerajaan Negeri adalah stabil dan kukuh.
Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat kepada RM1.97 bilion pada tahun 2018. Seterusnya, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan lagi simpanan terkumpul negeri ini kepada RM2.10 bilion. Walau bagaimanapun, prestasi yang membanggakan ini tidak dapat diteruskan pada tahun 2020 kerana Kerajaan Negeri sama seperti Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain terpaksa bergelut dengan cabaran yang sangat hebat untuk berdepan dengan kesan pandemik COVID-19 termasuk perbelanjaan bagi pakej bantuan COVID-19 selain insentif yang melibatkan pengurangan hasil negeri.
Walau bagaimanapun, rizab keseluruhan Kerajaan Negeri di bawah Kumpulan Wang Disatukan telah berjaya ditingkatkan semula kepada RM2.12 bilion pada tahun 2021 berbanding rizab tahun 2020 yang berjumlah RM1.82 bilion. Peningkatan ini disumbang oleh terimaan di bawah Akaun Amanah Disatukan yang telah meningkat daripada RM933.68 juta pada tahun 2020 kepada RM1.27 bilion pada tahun 2021. Walaubagaimanapun, adalah diingatkan terimaan di bawah Akaun Amanah Disatukan hanya boleh digunakan bagi tujuan khusus di bawah akaun amanah berkaitan sahaja.
Bagi prestasi perbelanjaan tahun 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya membuat kutipan hasil tahun 2021 berjumlah RM692.24 juta iaitu peningkatan sebanyak RM186.22 juta atau 36.8 peratus berbanding anggaran tahun 2021. Pecahan hasil tersebut mengikut komponen ialah Hasil Bukan Cukai berjumlah RM474.23 juta atau 68.51 peratus, manakala Hasil Cukai berjumlah RM133.33 juta atau 19.26 peratus dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM84.68 juta atau 12.23 peratus daripada kutipan keseluruhan. Peningkatan hasil ini dan kawalan yang diambil untuk mengurangkan perbelanjaan Kerajaan Negeri telah membantu mengurangkan defisit tahun 2021 daripada RM403.81 juta kepada RM38.66 juta.
Bagi Bajet 2022, dengan jangkaan Hasil Negeri adalah berjumlah RM485.42 juta dan Perbelanjaan Mengurus adalah berjumlah RM935.22 juta, maka Belanjawan 2022 adalah belanjawan defisit berjumlah RM449.80 juta. Anggaran defisit ini akan dibiayai daripada Akaun Hasil Disatukan yang berbaki sebanyak RM848.82 juta pada akhir tahun 2021. Oleh yang demikian, kerjasama semua YB ADUN dan Parlimen perlu membantu Kerajaan Negeri dalam mengawal perbelanjaan yang dilakukan agar amaun defisit tahun 2022 dapat dikurangkan seperti tahun 2021 tetapi pada masa sama perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
Kerajaan Negeri optimis bahawa kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri pada tahun-tahun akan datang.
Dalam usaha untuk memenuhi peranan ini, Kerajaan Negeri tetap komited dalam penyampaian amanahnya serta sentiasa berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi yang amat besar. Kerajaan Negeri percaya bahawa ekonomi negeri akan dapat dipulihkan dengan pengurusan kewangan yang berhemat dan komitmen yang berterusan untuk membangunkan semula rakyat Pulau Pinang atas landasan yang betul.
Di peringkat Kerajaan Negeri, setiap projek/ program/ inisiatif yang dilaksanakan semestinya menjurus ke arah untuk merealisasikan pencapaian Visi Penang2030. Pasca pandemik COVID-19, ini dilihat banyak mengubah ruang lingkup kebiasaan dalam normal seharian kita. Salah satu langkah dalam Pelan Pemulihan Kerajaan Negeri di bawah transformasi Penang2030 adalah agenda untuk ‘Mempercepat Pencapaian Penang2030’ bersandarkan tiga (3) inisiatif utama iaitu;
- Inisiatif Setempat (The Place-Making Initiatives);
- Inisiatif Pembangunan Komuniti (The Community-Building Initiatives); dan
- Inisiatif Libat Urus Industri (The Industry Engegement Initiatives).
Sesi Libat Urus Bersama YB ADUN dan wakil YB Ahli Parlimen Dalam Penyediaan Bajet Tahun 2023
Sesi libat urus ini, yang julung kali diadakan, adalah bersandar kepada Visi Penang2030, Tema C - Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Awam, di bawah Inisiatif Strategik C4: Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi. Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mendapat maklum balas daripada Yang Berhormat ADUN serta Yang Berhormat Ahli Parlimen untuk mencadangkan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing. Cadangan projek-projek tersebut kemudiannya akan dinilai dan diberikan keutamaan pelaksanaan oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri dan Jabatan Kewangan Negeri.
Memandang ke hadapan, perubahan dalam landskap ekonomi akan memberikan cabaran dan peluang pertumbuhan baharu yang mesti kita hadapi dengan minda untuk kemajuan dan inovasi. Dengan sesi libat urus ini, saya yakin dapat menambaik perancangan pembangunan di setiap kawasan di negeri ini secara mampan dan sejajar dengan strategi serta aspirasi Penang2030.
Mengimbas kembali, Kerajaan Negeri telah berjaya menunjukkan keupayaannya untuk bertindak balas dalam situasi kritikal COVID-19 dan berupaya mengekang permasalahan yang timbul bersama-sama dengan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat ADUN, Yang Berhormat Ahli Parlimen serta barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri. Ini membuktikan bahawa barisan kepimpinan negeri berupaya untuk memelihara kualiti kehidupan rakyat serta mewujudkan daya tahan bagi jangka panjang meskipun diduga dengan pelbagai tekanan dalam tempoh tersebut.
Melangkah Ke Hadapan
Tahun 2021 telah membuktikan bahawa kita perlu sentiasa bersedia berubah apabila berhadapan dengan perkara yang tidak dijangka. Cabaran yang belum pernah berlaku pada tahun lalu menawarkan peluang untuk memperbaharui strategi, mempercepatkan transformasi dan mengutamakan risiko kemampanan. Adalah penting untuk kita bangkit daripada tempoh percubaan ini dengan lebih berdaya tahan, lebih tangkas, lebih kukuh dari aspek teknologi dan kewangan.
Rekod pencapaian ekonomi dengan perkembangan sebanyak 5.8 peratus pada 2021, menunjukkan semangat dedikasi serta kekuatan rakyat Pulau Pinang yang disokong dengan asas ekonomi yang kukuh yang memanfaatkan pemulihan ekonomi.
Dengan meneruskan usaha untuk menyampaikan kecemerlangan, Kerajaan Negeri menjalankan pelbagai program dan projek yang memberi manfaat kepada rakyat serta fokus untuk mengekalkan disiplin fiskal, perbelanjaan operasi yang berhemat serta memelihara pelaburan untuk memastikan daya tahan dan prestasi tinggi kewangan negeri. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kadar inflasi yang tinggi, prinsip dan nilai Kerajaan kekal sama iaitu untuk membina kesetiaan, integriti, profesionalisme dan perpaduan dalam negeri ini.
Memandang ke hadapan, pelbagai cabaran akan dihadapi oleh negeri ini dalam aspek perubahan iklim, kekurangan air mentah, tanah dan sumber kewangan terhad. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memikul harapan dan aspirasi rakyat. Kerajaan Negeri serta komuniti harus bergerak bersama-sama untuk mengharungi pergolakan untuk masa depan negeri yang lebih cemerlang. Kita juga perlu mencipta warisan yang mampan untuk generasi akan datang menerusi Visi Penang2030 serta memupuk semangat “Love Penang”.
Saya yakin Sesi Libat Urus Bersama Yang Berhormat ADUN dan Yang Berhormat Ahli Parlimen Dalam Penyediaan Bajet Tahun 2023 ini akan dapat menambahbaik kaedah penyediaan bajet tahunan Kerajaan Negeri demi pembangunan negeri Pulau Pinang yang lebih holistik. Saya juga berharap agar sesi ini akan diteruskan oleh Jabatan Kewangan Negeri dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri pada tahun-tahun yang akan datang.
Saya dengan ini, merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Yang Berhormat ADUN dan Yang Berhormat Ahli Parlimen Dalam Penyediaan Bajet Tahun 2023.
Sekian, terima kasih.