PELANCARAN PROGRAM “KEJOHANAN BOLA KERANJANG PIALA LOVEPENANG” DAN “KEJOHANAN E-SPORT”

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PELANCARAN PROGRAM

“KEJOHANAN BOLA KERANJANG PIALA LOVEPENANG” DAN “KEJOHANAN E-SPORT”

 

22 JULAI 2022; 1130 PAGI;

TINGKAT 28, KOMTAR

__________________________________

 

 

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke sidang media ini bagi berkongsi dua (2) lagi program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kempen ❤️PENANG (LovePENANG).

 

 

KEJOHANAN BOLA KERANJANG PIALA LovePENANG

 

Dengan kerjasama daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang dan Persatuan Bola Keranjang Cawangan Seberang Perai Selatan (SPS), sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menganjurkan Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG sebagai salah satu lagi platform mantap untuk memupuk semangat perpaduan dalam komuniti.

Kejohanan ini dibuka kepada semua warga negeri Pulau Pinang yang berusia 18 tahun dan ke atas bagi Kategori Lelaki, manakala umur 13 tahun dan ke atas bagi Kategori Perempuan.

Majlis perasmian Kejohanan Bola Keranjang LovePENANG akan diadakan pada 26 Julai ini, bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung Perkampungan Jawi. Sebanyak 40 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan ini.

Pusingan awal kejohanan tersebut akan berlangsung antara pasukan dari Zon Seberang Perai di Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung Perkampungan Jawi, manakala Zon Pulau bakal berentap di Stadium Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM). Seterusnya, pasukan yang layak akan memasuki pusingan akhir yang dijangka diadakan di Stadium Han Chiang pada 28 Ogos 2022, jam 8 malam.

Hadiah seperti trofi serta pingat akan diberikan kepada pasukan yang memenangi pusingan awal dan akhir. Hadiah wang tunai dianugerahkan kepada pemenang pusing akhir sahaja.

Diharapkan menerusi platform ini, Pulau Pinang dapat mencungkil lebih ramai bakat muda yang baru, sekaligus melahirkan masyarakat lebih aktif dan sihat daripada segi jasmani, emosi, rohani serta intelek.

Sebarang maklumat dan info lanjut boleh diperoleh menerusi pengarah pertandingan atau pihak penganjur, dan juga melalui aplikasi LovePENANG serta halaman www.lovepg.my.

 

KEJOHANAN E-SPORT

 

Melalui Inisiatif Strategik A4 iaitu mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan dan seni budaya, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Kejohanan e-Sport yang kini mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri dan dianggap sebagai salah satu profesion.

Penganjuran Kejohanan e-Sport ini adalah untuk menyediakan platform kepada golongan yang berminat dalam sukan ini selaras dengan era pendigitalan kini.

Pada kejohanan kali ini, dua jenis permainan e-Sport akan dianjurkan iaitu Mobile Legends Bang Bang dan Tekken 7. Kedua-dua permainan ini adalah sangat kompetitif dengan hadiah terkumpul sebanyak RM10,000. Untuk Mobile Legends Bang Bang, hadiah terkumpul adalah berjumlah RM8,500 manakala Tekken 7 (RM1,500).

Kejohanan e-Sport Piala LovePENANG ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Blackbox Penang, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), ESM Pulau Pinang dan Howei Events.

Pusingan kelayakan untuk Mobile Legends Bang Bang akan berlangsung pada 20 Ogos 2022 secara dalam talian. Peringkat akhir Mobile Legends Bang Bang dan Tekken 7 adalah pada 27 Ogos 2022 di 1st Avenue Penang.

Kejohanan ini terbuka kepada semua termasuk pasukan campuran (lelaki dan wanita). Peringkat kumpulan akan dijalankan menggunakan format Single Round Robin untuk setiap kumpulan, dan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan bermain di pusingan Play-Off.

 

Play-Off merupakan peringkat penyingkiran tunggal. Perlawanan akhir dan perlawanan tempat ketiga serta keempat akan menjadi pasukan terbaik kejohanan.

Rujuk aplikasi LovePENANG dan halaman, www.lovepg.my untuk info lanjut.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang