ISTIADAT PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI

TEKS UCAPAN

YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

 

PADA

ISTIADAT PENGANUGERAHAN

DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN

PINGAT KEHORMATAN NEGERI

 

SEMPENA

SAMBUTAN ULANG TAHUN TUAN YANG TERUTAMA

YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG KE-73 TAHUN 2022

 

PADA 23 JULAI 2022 (SABTU)

BERTEMPAT DI DEWAN SRI PINANG

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak,

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

Yang Berhormat Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Mohaini binti Mohd Saffar

Yang Berhormat Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Puan Kalaiarasi a/p Kolandhavelu

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’ Seri dan Datin Seri-Datin Seri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Kehormat

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

  1. Dengan segala hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan Negeri, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta seluruh rakyat Pulau Pinang mengucapkan Selamat Ulang Tahun yang ke-73 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami semua sentiasa mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga dikurniakan dan dilimpahi rahmat, dilanjutkan usia serta kesihatan yang baik hendaknya.

Tuan Yang Terutama Tun,

  1. Kerajaan Negeri kini sedang giat memulihkan ekonomi negeri Pulau Pinang susulan impak pandemik COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) dan secara tidak langsung telah membataskan aktiviti ekonomi khususnya bagi tempoh dua (2) tahun ini. Usaha pemulihan ekonomi ini turut dibantu oleh rakyat Pulau Pinang yang telah melibatkan diri secara sukarela dengan mengambil suntikan dos vaksin COVID-19, lantas memberi perlindungan daripada mengalami gejala teruk dan juga kes-kes kematian. Dos penggalak juga telah diberikan untuk meningkatkan perlindungan terhadap penyakit COVID-19 ini. Sehingga 13 Julai 2022, sejumlah 1.6 juta penduduk Pulau Pinang telah melengkapkan dua (2) dos vaksin iaitu bersamaan dengan 90.6 peratus, manakala sejumlah 1 juta penduduk negeri ini atau 60.9 peratus telah menerima suntikan dos penggalak. Angka ini menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang amat peka terhadap risiko dan ancaman wabak ini. Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau perkembangan kes-kes jangkitan COVID-19 di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Tuan Yang Terutama Tun,

  1. Dalam pada itu, sukacita saya memaklumkan bahawa ekonomi negeri Pulau Pinang telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Walaupun berlakunya ketidakpastian ekonomi pada peringkat global, Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.8 peratus bagi tahun 2021, iaitu yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Malah, Pulau Pinang juga telah mencatatkan nilai pelaburan pembuatan sebanyak RM76.22 bilion bagi tahun yang sama. Kerajaan Negeri dengan ini akan memastikan kesinambungan kecemerlangan kini dapat diteruskan melalui pelaksanaan projek-projek dan kepelbagaian program berteraskan rakyat supaya manfaat pembangunan dapat dirasai bersama oleh seluruh lapisan masyarakat di negeri ini.
  1. Sektor pelancongan negeri juga telah mula berkembang pesat selaras dengan pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022. Kemasukan pelancong melalui laluan darat, laut dan udara terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah merancakkan kembali aktiviti pelancongan. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 1,039,996. Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan ternyata berkesan dalam membantu penggiat-penggiat industri berkaitan yang seterusnya meningkatkan keyakinan pelancong dengan mewujudkan persekitaran selamat untuk semua. Bagi jangka masa panjang, Kerajaan Negeri akan memberikan lebih tumpuan terhadap peningkatan permintaan perjalanan ke Pulau Pinang dengan meneruskan kempen pemasaran ke luar negeri dan antarabangsa bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala.
  1. Pada 7 Julai 2022, kita telah menyambut Hari Warisan Sedunia UNESCO George Town. Bersempena sambutan tersebut, program George Town Festival telah diadakan dari 9 hingga 24 Julai 2022 untuk berkongsi kekayaan dan kepelbagaian kesenian, kebudayaan serta warisan di Pulau Pinang di mata dunia. Kerajaan Negeri komited untuk memelihara dan memulihara aset-aset pelancongan negeri sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

Tuan Yang Terutama Tun,

  1. Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif memelihara kebajikan rakyat negeri Pulau Pinang, lebih-lebih lagi melalui penglibatan bersama antara Kerajaan dan pihak pertubuhan atau persatuan. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan dimainkan oleh pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dalam mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian hidup untuk golongan kurang bernasib baik di negeri ini. Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan terhadap kawasan-kawasan lapang dan taman rekreasi supaya bukan sahaja pengurusan tanaman pokok dilaksanakan secara teratur, malah juga demi mewujudkan suasana landskap menarik yang moden serta bertaraf antarabangsa.
  1. Pada aspek perumahan, Kerajaan Negeri akan terus membantu rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah pertama. Pelaksanaan rumah mampu milik secara sewa beli atau ‘rent to own’ akan dapat membantu mereka yang sukar untuk mendapatkan pembiayaan bank. Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran penyediaan sebanyak 22,000 unit perumahan sewa beli menjelang tahun 2030. Kini, sebanyak 3,543 unit kediaman sedia dan dalam perancangan bakal ditawarkan di bawah inisiatif berkenaan. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan pihak Kerajaan Persekutuan untuk turut membantu dalam pembangunan perumahan di Pulau Pinang. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lima (5) bidang tanah di kelima-lima daerah untuk dibangunkan perumahan mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat.

Tuan Yang Terutama Tun,

  1. Kerjasama dan toleransi rakyat yang berbilang agama, kaum dan budaya menjadi kunci perpaduan rakyat di negeri Pulau Pinang. Usaha-usaha untuk meningkatkan perpaduan rakyat akan terus dipertingkatkan dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memberi perhatian demi mengekalkan perpaduan serta keharmonian rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan aspirasi untuk merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Sistem Pemantauan Dashboard Penang2030 telah diwujudkan melalui laman web https://penang2030.com bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang memantau sasaran dan pencapaian visi disasarkan. Saya bersama-sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan semua anggota perkhidmatan awam berserta sokongan kuat daripada Tuan Yang Terutama Tun akan terus menggembeleng usaha dan tenaga untuk menyempurnakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan dengan penuh komited bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia.
  1. Sempena hari yang mulia ini, Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai, kakitangan perkhidmatan awam dan rakyat sekalian ingin mengambil peluang ini untuk berikrar akan senantiasa taat setia kepada Tuan Yang Terutama Tun, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan negeri Pulau Pinang serta negara Malaysia yang tercinta. Kami berdoa semoga Tuan Yang Terutama Tun dapat memberi khidmat dengan penuh gigih, adil, bijaksana dan berwibawa demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat. Semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dipanjangkan umur, kesihatan yang terbaik dan sentiasa dalam perlindungan Tuhan Yang Maha Esa.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang