MAJLIS PELANCARAN PENANG HEART SAFE PARK
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
PENANG HEART SAFE PARK
24 JULAI 2022
TAMAN BOTANI PULAU PINANG
YB Yeoh Soon Hin
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
YB Wong Hon Wai
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Puan Nur Syazwani Binti Ismail
Pengarah Jabatan Taman Botani Pulau Pinang
Datuk Dr Luah Lean Wah
Pengerusi Persatuan Pemulihan Jantung Pulau Pinang (PHSS)
Dif-dif jemputan
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan puan-puan
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dalam menyokong dan menjayakan Majlis Pelancaran Penang Heart Safe Park pada pagi hari minggu yang berbahagia ini.
Hari ini, Pulau Pinang mencatat satu lagi peristiwa penting atas pencapaian istimewa menjadi negeri pertama di negara ini yang memperkenalkan Heart Safe Park di Taman Botani Pulau Pinang.
Sebagai antara tempat tumpuan terutama bagi kegiatan sukan dan aktiviti riadah, sudah tentunya Taman Botani Pulau Pinang ini terdedah dan berisiko tinggi.
Bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada merawat”, cadangan pemasangan alat Automated External Defribillator (AED) di sekitar kawasan ini dilihat sebagai satu keperluan dan kelebihan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang mengalami jantung terhenti akibat serangan jantung.
Di bawah inisiatif “Pelancongan Bertanggungjawab” yang dikendalikan oleh YB Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif), lima (5) unit AED telah pun dipasang di sekitar kawasan ini di mana setiap satunya dipasang dalam jarak 500 meter, sebagai ikhtiar dan usaha kita untuk membantu di saat-saat kecemasan berlaku.
Di bawah inisiatif ini juga, saya difahamkan sebanyak 42 unit alat AED telah pun dipasang di seluruh negeri ini (termasuk 5 unit di Taman Botani Pulau Pinang). Dan kita bercadang untuk memperluaskan pemasangan ini di setiap daerah, khususnya di lokasi tumpuan yang kerap dikunjungi oleh orang ramai.
Keperluan untuk meletakkan mesin AED di kawasan “hotspot” dan di semua bangunan pejabat swasta dan kerajaan adalah sangat penting supaya dapat digunakan apabila keadaan memerlukan.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyeru kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan kaedah dan cara penggunaan alatan termasuk juga teknik CPR ini terus diperkasakan dari semasa ke semasa agar tahap kesedaran masyarakat untuk belajar menggunakan peralatan ini dapat dipertingkatkan.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang begitu komited dalam merealisasikan kejayaan cemerlang ini.
Sesungguhnya penglibatan dan komitmen bersama ini adalah sangat bertepatan dan selari dengan usaha untuk merealisasikan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dalam mewujudkan komuniti Pulau Pinang yang lebih sihat dan selamat.
Sekian, terima kasih.