MAJLIS PECAH TANAH BAGI PROJEK PEMBINAAN PUSAT JUALAN HASIL LAUT & GERAI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH BAGI PROJEK PEMBINAAN PUSAT JUALAN HASIL LAUT & GERAI

2 OGOS 2022

JETI NELAYAN CHANGKAT

YB Dr. Norlela binti Ariffin

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB Jason H’ng Mooi Lye

ADUN Jawi

 

Puan Marlia binti Mohd Belia

Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)

Para Nelayan dari Unit Nelayan Changkat

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera dan Salam LovePENANG.

Saya amat bersyukur kerana kita semua dapat berkumpul dalam majlis ringkas namun cukup bermakna ini.

Sepertimana yang semua sedia maklum, saya dalam siri Jelajah Ketua Menteri ke Parlimen Nibong Tebal dan saya berasa amat gembira sekali Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Jualan Hasil Laut dan Gerai di Jeti Nelayan Changkat di Jawi, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ini turut dimasukkan dalam pengisian program.

Syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mengatur dan memastikan kelancaran program pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya, hari ini merupakan antara hari yang cukup istimewa dan bermakna, khususnya kepada Unit Nelayan Changkat kerana tidak lama lagi impian untuk mempunyai sebuah pusat pengoperasian yang lebih selesa dapat direalisasikan.

Melalui permohonan yang telah dibuat kepada Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, kos sebanyak RM800,000.00 telah diluluskan melibatkan skop kerja pembinaan pusat jualan ikan, gerai makanan, tandas, homestay (kontena), stor dan landasan kapal (slipway).

Saya dimaklumkan bahawa status terkini adalah dalam proses lantikan juru ukur, dan saya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang sebagai agensi pelaksana dapat memastikan kemajuan projek ini berada dalam landasan sebagaimana yang dijadualkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan objektif penganjuran Jelajah LovePENANG iaitu untuk menyemarakkan semangat pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, adalah diharapkan melalui pengoperasian pusat ini kelak, ia mampu meningkatkan pendapatan para nelayan sekaligus menaikkan taraf sosio ekonomi para nelayan di sini.

Malah, dengan adanya pusat jualan ini juga, ia dilihat mampu menyelesaikan isu peraih atau orang tengah yang sukar dibendung ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang begitu komited dalam menjayakan majlis ini.

Sama-sama kita nantikan suatu lagi projek yang bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri ini, khususnya di kawasan Seberang Perai.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang