PROGRAM SERAHAN ANAK POKOK KEPADA PENDUDUK SETEMPAT DI KADUN SUNGAI BAKAP

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PROGRAM SERAHAN ANAK POKOK

KEPADA PENDUDUK SETEMPAT DI KADUN SUNGAI BAKAP

2 OGOS 2022

DEWAN MPKK TASEK

YB Dato’ Dr. Amar Pritpal bin Abdullah

Timbalan Yang di-Pertua Dewan merangkap ADUN Sungai Bakap

Puan Marlia binti Mohd Belia

Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS)

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir bagi bersama-sama memeriahkan program pada pagi yang berbahagia ini.

Siri Jelajah LovePENANG ke parlimen seluruh Pulau Pinang hari ini sudah masuk parlimen ke-5 dan saya gembira dengan sambutan yang diterima amat baik sekali.

Pagi ini, saya dibawa ke lokasi pertama iaitu di Kampung Tasek Chempedak, Simpang  Seberang Perai Selatan (SPS) di sini dan mungkin ramai yang belum tahu tentang fakta menarik di sebalik kawasan ini.

Sebelum terkenalnya Balik Pulau dengan duriannya, daerah di sini seperti kawasan Relau, Junjong, Sungai Kechik dan Kampung 300 kaki merupakan antara kawasan yang terkenal dengan durian “black thorn” atau lebih dikenali sebagai duri hitam.

Dan saya gembira hari ini kita turut selitkan Program Serahan Anak Pokok bagi meneruskan legasi durian yang terkenal di sini.

Saya dimaklumkan sebanyak 150 anak pokok kelapa dan 100 anak pokok durian akan diagihkan kepada 50 penerima yang masing-masing akan menerima 3 anak pokok kelapa dan 2 anak pokok durian.

Selain itu, Jabatan Pertanian Negeri juga turut akan memberikan tambahan 50 kit pertanian komuniti untuk diagihkan pada hari ini.  

Terima kasih kepada Jabatan Pertanian Negeri atas sumbangan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,  

Program hari ini mengajak semua lapisan masyarakat kembali melaksanakan kempen menanam pokok yang telah kita lancarkan sejak tahun 2008. Pada saya ini suatu usaha yang baik sekali, bukan sahaja untuk mengoptimumkan baki-baki tanah yang ada tetapi juga mengoptimumkan kelestarian kawasan hijau di negeri kita.

Saya berharap usaha menghijaukan negeri bukan setakat di sini, tetapi sebaliknya diteruskan di pelbagai peringkat selaras dengan Visi Penang2030 yang mengajak rakyat melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang