MAJLIS PERASMIAN MURAL “TOTORO” & MAKERLAB
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
MURAL “TOTORO” & MAKERLAB
13 OGOS 2022 | SABTU
SJK(C) CHUNG HWA 1
________________________________________________
YB Phee Boon Poh
Exco Alam Sekitar dan Kebajikan
YB Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan
En XXXX
Wakil dari JPN
Encik Shahrul AnuarAnuar bin Hashin
Wakil dari PPD Seberang Perai Utara
Puan Boo Cheng Choon
Guru Besar SJK(C) Chung Hwa 1
Encik Goh Kim Han
Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah
Encik Ng Wooi Cheong
YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada
barisan kepimpinan SJK(C) Chung Hwa 1 atas jemputan sempena Majlis Perasmian Mural “Totoro” pada petang yang berbahagia ini.
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Totoro merupakan watak dalam sebuah filem anime fantasi Jepun yang ditulis dan diarahkan oleh Miyazaki Hayao宫崎骏 “My Neighbor Totoro”. Totoro memainkan peranan sebagai pelindung yang menemani dan membantu dua (2) gadis yang melalui kesukaran dalam kehidupan mereka.
Mural Totoro ini dilukis pada bulan Mei 2021 oleh bekas murid sekolah ini iaitu Encik Rockman Tam. Beliau mengambil masa selama 2 minggu untuk menyiapkan mural Totoro ini dan menurut Guru Besar, Puan Boo Cheng Choon, mural sekolah ini telah memberi nafas baharu dan menjadi tarikan baru kepada murid-murid untuk hadir ke sekolah, terutama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya percaya lukisan mural ini bukan sahaja dapat meningkatkan keceriaan dan mengindahkan kawasan sekolah, tetapi ia turut menjadikan suasana sekolah lebih kondusif dalam menarik minat murid untuk hadir ke sekolah, di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid berdasarkan watak Totoro ini.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang cukup komited dalam menjayakan mural ini terutamanya kepada pelukis, warga pendidik sekolah dan juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Pengarah Sekolah (LPS) serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah menaja seluruh perbelanjaan untuk menjayakan projek ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain perasmian mural Totoro, kita akan turut menyaksikan inisiatif MakerLab yang akan dibangunkan di SJK(C) Chung Hwa 1 ini menerusi peruntukan sebanyak RM60,000.00 yang telah diluluskan bagi pembekalan 40 unit komputer dan lain-lain keperluan.
Saya gembira inisiatif ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh para guru dan murid terutama dalam penerapan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik secara optimum sejak ia ditubukan, termasuklah penganjuran pelbagai pertandingan berkaitan.
Antara pertandingan tersebut adalah seperti berikut:
1. Pertandingan Rero Annual Championship (RAC2022) peringkat negeri.
2. Pertandingan Innovation,Robotics and Coding Competition (IRCC2022)
3. Pertandingan Coding Challenge Peringkat Negeri (Anjuran bersama dengan JPN)
4. Pertandingan Coolest Project Malaysia
Saya percaya pertandingan sebegini sememangnya akan menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada warga SJK(C) Chung Hwa 1 yang telah melakar sejarah tersendiri dalam pembangunan dan kemajuan sekolah ini. Semoga dengan usaha ini dapat mendorong lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang.
Sekian, terima kasih.