MAJLIS PENYERAHAN SIJIL PENGIKTIRAFAN “MALAYSIA BOOK OF RECORDS” BERSEMPENA PENGANJURAN KARNIVAL OLIMPIK PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN SIJIL PENGIKTIRAFAN “MALAYSIA BOOK OF RECORDS” BERSEMPENA PENGANJURAN KARNIVAL OLIMPIK PULAU PINANG

 

3 OKTOBER 2022

TINGKAT 28, KOMTAR

 

 

YB Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Dr. Amar Pritpal bin Abdullah

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan merangkap ADUN Sungai Bakap

Barisan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria

Presiden, Majlis Olimpik Malaysia


Yang Berusaha Encik Harry Chai Heng Hua
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio
Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Book of Records

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran semua, terutamanya YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan juga YBhg. Dato’ Seri Dr. Michael Tio, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records atas kesudian untuk hadir bagi menyaksikan Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan “Malaysia Book of Records” pada petang yang berbahagia ini.

Sepertimana yang semua sedia maklum, Pulau Pinang telah diberikan mandat untuk menganjurkan Karnival Olimpik pada tahun 2019 - menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran karnival ini.

Dan pada tahun 2022 ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekali lagi telah memberi peluang kepada Pulau Pinang untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya berprestij ini -  menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Karnival Olimpik untuk dua (2) kali berturut-turut.

Sesungguhnya, kedua-dua pengiktirafan yang akan diterima sebentar nanti dari pihak Malaysia Book of Records kepada Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) merupakan satu kejayaan manis buat negeri ini, selaras dengan visi yang dikongsikan secara bersama dengan pihak Majlis Olimpik Malaysia yang menekankan nilai-nilai “Olympism” untuk menyemarakkan semangat kesukanan di kalangan masyarakat.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan ini. Sesungguhnya pemilihan ini bukan sahaja merupakan salah satu bentuk pengiktiran, sebaliknya ia juga memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada negeri Pulau Pinang terutama dalam usaha kita untuk melahirkan lebih ramai atlet dan bakat-bakat muda. 

Pada hari ini, saya berasa amat bangga bukan sahaja dengan pengiktirafan yang diperolehi daripada Malaysia Book of Record atas penganjuran Karnival Olimpik Pulau Pinang tersebut, tetapi juga dengan hasil daripada kedua-dua penganjuran tersebut, ia telah memberikan satu impak yang positif kepada masyarakat dan komuniti khususnya kepada rakyat Pulau Pinang.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada barisan jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas kerjasama yang telah diberikan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara YB Soon Lip Chee selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dan juga Encik Harry Chai Heng Hua, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) yang telah mengetuai jawatankuasa ini dengan jayanya.

Semoga dengan pengiktiran hari ini dapat membina keyakinan dan mengekalkan momentum kita semua untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang