MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGUATKUASA MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) TAHUN 2022

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGUATKUASA

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) TAHUN 2022

3 OKTOBER 2022 (ISNIN)

JALAN PADANG KOTA LAMA

 

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berbahagia Dato’ Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Barisan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas peluang dan kesempatan yang diberikan ini bagi bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Tahun 2022 pada pagi yang berbahagia ini.

Setelah sekian lama dihentikan, hari ini kita meraikan semula hari yang cukup penting kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan yang selama ini menjadi antara tulang belakang kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dengan keanggotaan keseluruhan seramai 318 orang, saya percaya setiap daripada anda telah memainkan peranan yang cukup penting dalam menjadikan komposisi organisasi ini disegani, terutamanya sepanjang bergelar wira barisan hadapan ketika berdepan tempoh pandemik COVID-19 yang cukup mencabar.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam mendepani cabaran semasa berikutan normal baharu yang ditinggalkan akibat pandemik COVID-19 dan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), gerak kerja warga penguat kuasa juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi.

Pengenalan rangkaian 5G terutama di kawasan bandaraya dan juga penggunaan aplikasi pintar perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Fasiliti dan kemudahan ini seharusnya telah memberikan nilai tambah yang cukup sempurna dalam menangani kesulitan-kesulitan yang timbul sepanjang tempoh perkhidmatan.

Saya percaya evolusi teknologi dari analog ke digital sedikit sebanyak telah meningkatkan daya produktiviti anggota penguat kuasa. Sebagai contoh, dengan peningkatan kapasiti telekomunikasi melalui teknologi 5G ini, keupayaan dalam melaksanakan pemantauan penguatkuasaan melalui CCTV juga telah dapat dipertingkatkan memandangkan teknologi 5G ini lebih pantas dari dimensi wireless yang lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana aspirasi Visi Penang2030, pujian harus diberikan untuk segala komitmen, kerja keras dan pengorbanan, bukan sahaja kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan, tetapi juga kepada keseluruhan institusi MBPP dalam mendepani cabaran tugas yang cukup mencabar, terutama dalam mengadaptasi kepentingan inovasi dengan keperluan semasa.

Meskipun begitu, saya percaya masih ada ruang yang masih perlu diperbaiki sebagai penambahbaikan dalam sistem penyampaian sedia ada kepada rakyat.

Justeru, saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada seluruh warga kerja Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk memanfaatkan ruang yang diberikan ini untuk sentiasa mempersiapkan diri untuk kemajuan bersama, selari dengan fungsi Jabatan Penguatkuasaan yang merupakan tunjang dan tulang belakang kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Semoga kita dapat meneruskan usaha peningkatan prestasi kerja dan menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini dengan baik dan berkesan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Baru-baru ini Kerajaan Negeri telah berjaya menganjurkan World Congress In Innovation And Technology (WCIT) dan Penang Techfest yang mana kita telah membawa IT Talent dari seluruh dunia mengadakan persidangan di negeri Pulau Pinang. Penganjuran ini juga telah membuka peluang dan peningkatan pengetahuan dalam kalangan warga Pulau Pinang.

Populariti Pulau Pinang sebagai pulau pelancongan dan destinasi pelaburan terulung di Malaysia telah meningkatkan kepadatan kapasiti infrastruktur lalu lintas. Kemasukan kenderaan yang tinggi ke kawasan pulau terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am telah menyebabkan beberapa jalan utama menjadi sesak.

MBPP telah membantu PDRM melalui warden trafik di 8 hotspot kesesakan lalu lintas dan berjaya meleraikan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak. Inilah antara semangat Visi Penang2030 yang telah didokong oleh warga kerja MBPP. Syabas dan tahniah diucapkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Saya amat berpuas hati dengan kerjasama serta komitmen yang tinggi dari semua warga kerja MBPP terutamanya Jabatan  Penguatkuasaan dalam membantu menguruskan bandaraya ini demi kepentingan rakyat. Saya percaya sumbangan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan dapat diteruskan di masa hadapan.

Saya berharap dengan semangat kerja  berpasukan ini ia dapat  memupuk azam dan tekad  jati diri anggota berteraskan ‘My City, My Safety, My Responsibility’

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Penguatkuasaan yang telah menjadi  Johan dalam Pertandingan Inovasi antara jabatan di peringkat majlis. Diharapkan kejayaan inovasi yang dicipta ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Yang Berbahagia Datuk Bandar, Setiausaha Bandaraya dan semua yang terlibat dalam menjayakan hari istimewa ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Penguatkuasaan MBPP Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

mbpp

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang