MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGUATKUASA MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) TAHUN 2022

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGUATKUASA

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP) TAHUN 2022

3 OKTOBER 2022 (ISNIN)

JALAN PADANG KOTA LAMA

 

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berbahagia Dato’ Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Barisan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas peluang dan kesempatan yang diberikan ini bagi bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Tahun 2022 pada pagi yang berbahagia ini.

Setelah sekian lama dihentikan, hari ini kita meraikan semula hari yang cukup penting kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan yang selama ini menjadi antara tulang belakang kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dengan keanggotaan keseluruhan seramai 318 orang, saya percaya setiap daripada anda telah memainkan peranan yang cukup penting dalam menjadikan komposisi organisasi ini disegani, terutamanya sepanjang bergelar wira barisan hadapan ketika berdepan tempoh pandemik COVID-19 yang cukup mencabar.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam mendepani cabaran semasa berikutan normal baharu yang ditinggalkan akibat pandemik COVID-19 dan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), gerak kerja warga penguat kuasa juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi.

Pengenalan rangkaian 5G terutama di kawasan bandaraya dan juga penggunaan aplikasi pintar perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Fasiliti dan kemudahan ini seharusnya telah memberikan nilai tambah yang cukup sempurna dalam menangani kesulitan-kesulitan yang timbul sepanjang tempoh perkhidmatan.

Saya percaya evolusi teknologi dari analog ke digital sedikit sebanyak telah meningkatkan daya produktiviti anggota penguat kuasa. Sebagai contoh, dengan peningkatan kapasiti telekomunikasi melalui teknologi 5G ini, keupayaan dalam melaksanakan pemantauan penguatkuasaan melalui CCTV juga telah dapat dipertingkatkan memandangkan teknologi 5G ini lebih pantas dari dimensi wireless yang lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana aspirasi Visi Penang2030, pujian harus diberikan untuk segala komitmen, kerja keras dan pengorbanan, bukan sahaja kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan, tetapi juga kepada keseluruhan institusi MBPP dalam mendepani cabaran tugas yang cukup mencabar, terutama dalam mengadaptasi kepentingan inovasi dengan keperluan semasa.

Meskipun begitu, saya percaya masih ada ruang yang masih perlu diperbaiki sebagai penambahbaikan dalam sistem penyampaian sedia ada kepada rakyat.

Justeru, saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada seluruh warga kerja Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk memanfaatkan ruang yang diberikan ini untuk sentiasa mempersiapkan diri untuk kemajuan bersama, selari dengan fungsi Jabatan Penguatkuasaan yang merupakan tunjang dan tulang belakang kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Semoga kita dapat meneruskan usaha peningkatan prestasi kerja dan menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini dengan baik dan berkesan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Baru-baru ini Kerajaan Negeri telah berjaya menganjurkan World Congress In Innovation And Technology (WCIT) dan Penang Techfest yang mana kita telah membawa IT Talent dari seluruh dunia mengadakan persidangan di negeri Pulau Pinang. Penganjuran ini juga telah membuka peluang dan peningkatan pengetahuan dalam kalangan warga Pulau Pinang.

Populariti Pulau Pinang sebagai pulau pelancongan dan destinasi pelaburan terulung di Malaysia telah meningkatkan kepadatan kapasiti infrastruktur lalu lintas. Kemasukan kenderaan yang tinggi ke kawasan pulau terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am telah menyebabkan beberapa jalan utama menjadi sesak.

MBPP telah membantu PDRM melalui warden trafik di 8 hotspot kesesakan lalu lintas dan berjaya meleraikan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak. Inilah antara semangat Visi Penang2030 yang telah didokong oleh warga kerja MBPP. Syabas dan tahniah diucapkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Saya amat berpuas hati dengan kerjasama serta komitmen yang tinggi dari semua warga kerja MBPP terutamanya Jabatan  Penguatkuasaan dalam membantu menguruskan bandaraya ini demi kepentingan rakyat. Saya percaya sumbangan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan dapat diteruskan di masa hadapan.

Saya berharap dengan semangat kerja  berpasukan ini ia dapat  memupuk azam dan tekad  jati diri anggota berteraskan ‘My City, My Safety, My Responsibility’

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Penguatkuasaan yang telah menjadi  Johan dalam Pertandingan Inovasi antara jabatan di peringkat majlis. Diharapkan kejayaan inovasi yang dicipta ini dapat membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Yang Berbahagia Datuk Bandar, Setiausaha Bandaraya dan semua yang terlibat dalam menjayakan hari istimewa ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Penguatkuasaan MBPP Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN SEBAGAI DATUK BANDAR, MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN

SEBAGAI DATUK BANDAR, MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TAHUN 2023

9 MEI  2023

DEWAN BANDARAYA, JALAN PADANG KOTA LAMA

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

 

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Dihormati Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-ketua Jabatan

Warga Kerja MBPP

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas komitmen dan persediaan rapi yang dibuat bagi memastikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar yang ke-4 pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.
  1. Sesungguhnya majlis pada hari ini cukup istimewa dan sudah tentunya mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, bukan sahaja kepada tuan empunya diri yang dilantik tetapi juga kepada semua yang hadir bagi menyaksikan detik bersejarah ini.
  1. Di kesempatan ini, suka untuk saya merakamkan ucapan tahniah kepada Ybhg. Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony atas pelantikan jawatan sebagai Datuk Bandar MBPP yang baharu dan akan melafazkan ikrar dan menandatangani pengakuan penerimaan jawatan sebentar nanti, bagi menggantikan mantan Datuk Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang yang telah bersara wajib secara rasmi pada 5 Mei 2023.
  1. Bagi pihak Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ybhg. Dato’ Ar. Yew Tung Seang atas perkhidmatan cemerlang, dedikasi serta komitmen yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama majlis.
  1. Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan oleh pentadbiran Datuk Bandar yang baharu ini, dengan corak dan pentadbiran yang mungkin berbeza, tetapi matlamat dan objektifnya masih sama untuk membawa Pulau Pinang sebagai bandaraya yang bertaraf antarabangsa seiring dengan aspirasi Visi Penang2030– Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
  1. Semoga gandingan baharu antara Datuk Bandar, Ahli Majlis serta warga MBPP akan dapat memantapkan pengurusan dan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan MBPP secara keseluruhannya.
  1. Saya menyeru kepada semua barisan Ahli Majlis untuk berganding bahu bersama para pegawai dan kakitangan MBPP untuk membantu Datuk Bandar melaksanakan inspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
  1. Kawasan Pulau telah menjalani proses urbanisasi dan  akan menjadi pusat teras terpenting untuk pertumbuhan ekonomi  masa hadapan bagi negeri Pulau Pinang dengan perancangan masa hadapan pembangunan hartanah di beberapa kawasan. Daya saing bandaraya ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan Pulau Pinang menjadi pilihan utama pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri berteknologi tinggi dan ekonomi kreatif yang lain.  
  1. Dengan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh Ybhg. Dato’ Ir. Rajendran, saya yakin dan menyokong beliau untuk menerajui MBPP untuk terus kekal sebagai sebuah organisasi yang mesra kepada semua pemegang taruh dengan strategi untuk menambah baik mutu penyampaian termasuk menaik taraf infrastruktur dan mobiliti.
  1. Dalam konteks ini, warga MBPP juga harus mengekalkan profesionalisme untuk bertindak pantas sebagai tindak balas ke atas aduan, idea, kritikan dan perkongsian pengetahuan oleh pemegang taruh.
  1. Sebentar tadi, Dato’ Ir. Rajendran telah memaklumkan mengenai Transformasi Digital yang telah dirancang oleh MBPP dengan memberi impak yang besar kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan MBPP. Saya amat berharap dengan Projek Berimpak Tinggi ini mampu melonjakan Pulau Pinang di kedudukan terbaik dunia dalam senarai lokasi pelaburan yang kompetatif.
  1. Produk yang dihasilkan oleh MBPP iaitu Virtual Island Penang, Pearl ‘One touch Penang’ dan uLesen perlu menjadi pemangkin pembangunan Negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan awam ini seharusnya menjadi ikon dan memudahkan urusan orang awam dalam berurusan dengan MBPP.
  1. Saya amat yakin suatu hari nanti permohonan lesen dapat dilakukan melalui telefon bimbit dan mendapatkan kelulusan dalam tempoh 24 jam dari permohonan lesen dikemukakan. Inilah cabaran saya untuk MBPP meningkatkan prestasi kerja dalam memenuhi kehendak pemegang taruh.
  1. Satu lagi isu penting yang harus diberikan perhatian pada masa kini sudah tentunya adalah berkaitan perubahan iklim. Terdapat keperluan segera untuk kita semua mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikan sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan.
  1. Justeru, saya ingin mengingatkan kepada semua untuk sentiasa peka dan bersiap siaga dalam berdepan segala kemungkinan ini. Melalui pendekatan Nature Base Project yang diamalkan oleh MBPP, saya percaya bandaraya ini masih mampu mengurangkan impak krisis iklim. Berdasarkan kepada situasi sedia ada saya dapat lihat Skuad Pantas MBPP telah memberikan respon yang pantas ketika menerima aduan berkaitan kejadian banjir, pokok tumbang dan halangan lalu lintas melalui aplikasi group whatapps dan juga eaduan hotline 24 jam MBPP.  
  1. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Skuad Pantas yang bekerja secara syif 24 jam dalam memberikan perkhidmatan cemerlang semasa berlakunya bencana alam.
  1. Saya juga amat tertarik dengan pendirian MBPP yang peka dengan isu berkaitan Aging Society di Negeri Pulau Pinang. Baru-baru ini MBPP dengan kerjasama PWDC telah mengemukakan permohonan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pelaksanaan Age Friendly City yang menetapkan 8 tonggak utama dalam memastikan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mendapat manfaat di setiap pembangunan yang ada di kawasan pulau.
  1. Saya berharap MBPP akan menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di Malaysia mendapatkan pengiktirafan dari institusi yang berprestij ini.
  1. Dari semua aspek kita dapati bahawa MBPP telah mempunyai platform dan juga infrastruktur yang bertaraf dunia. Namum perlu diberikan perhatian ke atas budaya penyelenggaraan agar setiap kemudahan yang disediakan selamat digunakan oleh orang awam. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan baru-baru ini telah memberikan cabaran kepada semua PBT di Malaysia untuk memastikan semua tandas awam mencapai status BMW Iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.
  1. Justeru itu saya ingin melihat semua tandas awam di negeri Pulau Pinang diberikan penyelenggaraan khusus agar kita dapat memenuhi kriteria mencapai status berkenaan sekaligus merealisasikan hasrat bersama ini.
  1. Pulau Pinang adalah merupakan satu negeri yang menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa. Bagi memastikan kelestarian Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan, adalah menjadi tanggungjawab PBT dalam memelihara dan memulihara bangunan-bangunan warisan yang terdapat di dalam Tapak Warisan Dunia Unesco George Town.
  1. Kebersihan dan pengurusan sisa pepejal juga perlu setanding dengan perkhidmatan yang bertaraf antarabangsa. Kualiti dan prestasi kutipan sisa pepejal adalah merupakan satu indicator penting dalam memastikan kesejahteraan Bandar dinikmati oleh semua pihak. Saya berharap dengan kepimpinan sedia ada, isu-isu asas ini tidak timbul lagi pada masa hadapan.
  1. Akhir kata, saya dengan ini mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang baru iaitu YBhg. Dato’ Ir Rajendran a/l P. Anthony. Selamat bertugas dengan amanah dan tanggungjawab yang besar bagi mencapai aspirasi Penang 2030

Sekian, terima kasih.

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI EMAS TAMAN BANDARAYA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW  

BERSEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN

JUBLI EMAS TAMAN BANDARAYA

31 DISEMBER 2023 (AHAD) | 720 PAGI

PENTAS TERBUKA, TAMAN BANDARAYA,

PERSIARAN KUARI

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P.Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Yang Berusaha Sr. Cheong Chee Hong

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Ahli Majlis-Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Ketua-Ketua Jabatan; Rakan-Rakan Media; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Selamat pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana sentiasa komited mengekalkan keindahan dan keceriaan Taman Bandaraya sehingga ke hari ini.

Saya difahamkan bahawa Taman Bandaraya yang pada asalnya dikenali sebagai Taman Belia Pulau Pinang mula dibuka buat pertama kali kepada orang ramai pada 26 Februari 1972. Dengan ini, pada tarikh 26 Februari 2022, secara tidak langsung, Taman Bandaraya ini telah mencapai usia jubli emas iaitu 50 tahun pembukaannya.

Banyak perubahan serta penambahbaikan dari segi kemudahan rekreasi, landskap, papan tanda arah, laluan pejalan kaki, astaka, tandas dan taman permainan telah dilaksanakan sebagaimana yang kita dapat lihat sekarang ini. Serentak itu, MBPP juga telah menambah daya tarikan di taman ini dengan memastikan pembangunannya diseimbangkan dengan kehijauan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung. Sebagai perkongsian bersama, sebanyak RM700,000 setahun dibelanjakan oleh MBPP untuk tujuan penyelenggaraan Taman Bandaraya demi keselesaan semua. Sebagai tambahan, pada tahun 2024, Taman Bandaraya bakal dilengkapi dengan trek kereta kawalan jauh dengan anggaran kos berjumlah RM80,000.

Oleh itu, bagi mengekalkan dan meningkatkan kawasan hijau di sini, saya percaya tanggungjawab tersebut tidak hanya terletak di bahu MBPP semata-mata, sebaliknya turut melibatkan semua pihak untuk sama-sama memelihara, melindungi dan menguruskan taman ini secara mampan ke arah persekitaran yang kondusif dan menyegarkan.

Hadirin sekalian,

Dalam tempoh 50 tahun ini, saya difahamkan oleh MBPP bahawa purata pengunjung harian ke Taman Bandaraya adalah antara 1,500 – 3,000 orang setiap hari tanpa mengira pengunjung tempatan mahupun luar negeri. Tahniah diucapkan kepada MBPP di atas pencapaian ini.

Sejajar dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, MBPP sehingga kini telah berjaya mentransformasikan 213 buah taman kejiranan dan 69 taman poket dengan membabitkan peruntukan berjumlah anggaran RM14 juta bermula dari 2002 hingga 2023 demi menyediakan sebuah kehidupan yang liveable kepada seluruh rakyat negeri ini.

Menerusi inisiatif-inisiatif berkaitan, ia terbukti bahawa MBPP bergerak seiringan dengan Tema D Visi Penang2030 iaitu melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan dan adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memastikan pembangunan fizikal serta kehijauan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Malah, pada aspek keselamatan, pemasangan peranti defibrillator luaran automatik (AED) dan penambahan pencahayaan di dalam taman ini juga dilihat sebagai aset tambahan kepada para pengunjung yang bertandang.

Saudara dan saudari sekalian,

Mengambil kesempatan ini, saya sekali lagi ingin menyeru kepada para pengunjung untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti vandalism yang boleh merosakkan kemudahan serta tanaman landskap di sini. Bersama-samalah kita menjaga kemudahan yang disediakan ini supaya ia dapat dinikmati serta kekal terpelihara untuk tempoh 50 tahun akan datang lagi untuk generasi akan datang.

Nescaya, kepelbagaian aktiviti yang diadakan bersama-sama keluarga di sini telah mengukir banyak memori indah kepada kita tanpa mengira latar belakang, bangsa dan juga peringkat umur khasnya rakyat negeri ini.

Sebagai penutup kata, sekali lagi, syabas diucapkan kepada ahli jawatankuasa majlis dan khasnya kepada MBPP atas kejayaan sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya pada hari ini. Mengambil peluang ini juga, saya ucapkan selamat menyambut kedatatangan tahun baru 2024 kepada semua, khasnya rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi sekalian.

Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Taman Bandaraya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang