MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN SEBAGAI DATUK BANDAR, MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN
SEBAGAI DATUK BANDAR, MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)
TAHUN 2023
9 MEI 2023
DEWAN BANDARAYA, JALAN PADANG KOTA LAMA
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Perancangan Bandar & Desa
Yang Dihormati Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ketua-ketua Jabatan
Warga Kerja MBPP
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
- Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas komitmen dan persediaan rapi yang dibuat bagi memastikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar yang ke-4 pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.
- Sesungguhnya majlis pada hari ini cukup istimewa dan sudah tentunya mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, bukan sahaja kepada tuan empunya diri yang dilantik tetapi juga kepada semua yang hadir bagi menyaksikan detik bersejarah ini.
- Di kesempatan ini, suka untuk saya merakamkan ucapan tahniah kepada Ybhg. Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony atas pelantikan jawatan sebagai Datuk Bandar MBPP yang baharu dan akan melafazkan ikrar dan menandatangani pengakuan penerimaan jawatan sebentar nanti, bagi menggantikan mantan Datuk Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang yang telah bersara wajib secara rasmi pada 5 Mei 2023.
- Bagi pihak Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ybhg. Dato’ Ar. Yew Tung Seang atas perkhidmatan cemerlang, dedikasi serta komitmen yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama majlis.
- Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan oleh pentadbiran Datuk Bandar yang baharu ini, dengan corak dan pentadbiran yang mungkin berbeza, tetapi matlamat dan objektifnya masih sama untuk membawa Pulau Pinang sebagai bandaraya yang bertaraf antarabangsa seiring dengan aspirasi Visi Penang2030– Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
- Semoga gandingan baharu antara Datuk Bandar, Ahli Majlis serta warga MBPP akan dapat memantapkan pengurusan dan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan MBPP secara keseluruhannya.
- Saya menyeru kepada semua barisan Ahli Majlis untuk berganding bahu bersama para pegawai dan kakitangan MBPP untuk membantu Datuk Bandar melaksanakan inspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
- Kawasan Pulau telah menjalani proses urbanisasi dan akan menjadi pusat teras terpenting untuk pertumbuhan ekonomi masa hadapan bagi negeri Pulau Pinang dengan perancangan masa hadapan pembangunan hartanah di beberapa kawasan. Daya saing bandaraya ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan Pulau Pinang menjadi pilihan utama pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri berteknologi tinggi dan ekonomi kreatif yang lain.
- Dengan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh Ybhg. Dato’ Ir. Rajendran, saya yakin dan menyokong beliau untuk menerajui MBPP untuk terus kekal sebagai sebuah organisasi yang mesra kepada semua pemegang taruh dengan strategi untuk menambah baik mutu penyampaian termasuk menaik taraf infrastruktur dan mobiliti.
- Dalam konteks ini, warga MBPP juga harus mengekalkan profesionalisme untuk bertindak pantas sebagai tindak balas ke atas aduan, idea, kritikan dan perkongsian pengetahuan oleh pemegang taruh.
- Sebentar tadi, Dato’ Ir. Rajendran telah memaklumkan mengenai Transformasi Digital yang telah dirancang oleh MBPP dengan memberi impak yang besar kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan MBPP. Saya amat berharap dengan Projek Berimpak Tinggi ini mampu melonjakan Pulau Pinang di kedudukan terbaik dunia dalam senarai lokasi pelaburan yang kompetatif.
- Produk yang dihasilkan oleh MBPP iaitu Virtual Island Penang, Pearl ‘One touch Penang’ dan uLesen perlu menjadi pemangkin pembangunan Negeri Pulau Pinang. Pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan awam ini seharusnya menjadi ikon dan memudahkan urusan orang awam dalam berurusan dengan MBPP.
- Saya amat yakin suatu hari nanti permohonan lesen dapat dilakukan melalui telefon bimbit dan mendapatkan kelulusan dalam tempoh 24 jam dari permohonan lesen dikemukakan. Inilah cabaran saya untuk MBPP meningkatkan prestasi kerja dalam memenuhi kehendak pemegang taruh.
- Satu lagi isu penting yang harus diberikan perhatian pada masa kini sudah tentunya adalah berkaitan perubahan iklim. Terdapat keperluan segera untuk kita semua mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikan sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan.
- Justeru, saya ingin mengingatkan kepada semua untuk sentiasa peka dan bersiap siaga dalam berdepan segala kemungkinan ini. Melalui pendekatan Nature Base Project yang diamalkan oleh MBPP, saya percaya bandaraya ini masih mampu mengurangkan impak krisis iklim. Berdasarkan kepada situasi sedia ada saya dapat lihat Skuad Pantas MBPP telah memberikan respon yang pantas ketika menerima aduan berkaitan kejadian banjir, pokok tumbang dan halangan lalu lintas melalui aplikasi group whatapps dan juga eaduan hotline 24 jam MBPP.
- Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Skuad Pantas yang bekerja secara syif 24 jam dalam memberikan perkhidmatan cemerlang semasa berlakunya bencana alam.
- Saya juga amat tertarik dengan pendirian MBPP yang peka dengan isu berkaitan Aging Society di Negeri Pulau Pinang. Baru-baru ini MBPP dengan kerjasama PWDC telah mengemukakan permohonan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pelaksanaan Age Friendly City yang menetapkan 8 tonggak utama dalam memastikan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mendapat manfaat di setiap pembangunan yang ada di kawasan pulau.
- Saya berharap MBPP akan menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di Malaysia mendapatkan pengiktirafan dari institusi yang berprestij ini.
- Dari semua aspek kita dapati bahawa MBPP telah mempunyai platform dan juga infrastruktur yang bertaraf dunia. Namum perlu diberikan perhatian ke atas budaya penyelenggaraan agar setiap kemudahan yang disediakan selamat digunakan oleh orang awam. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan baru-baru ini telah memberikan cabaran kepada semua PBT di Malaysia untuk memastikan semua tandas awam mencapai status BMW Iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.
- Justeru itu saya ingin melihat semua tandas awam di negeri Pulau Pinang diberikan penyelenggaraan khusus agar kita dapat memenuhi kriteria mencapai status berkenaan sekaligus merealisasikan hasrat bersama ini.
- Pulau Pinang adalah merupakan satu negeri yang menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa. Bagi memastikan kelestarian Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan, adalah menjadi tanggungjawab PBT dalam memelihara dan memulihara bangunan-bangunan warisan yang terdapat di dalam Tapak Warisan Dunia Unesco George Town.
- Kebersihan dan pengurusan sisa pepejal juga perlu setanding dengan perkhidmatan yang bertaraf antarabangsa. Kualiti dan prestasi kutipan sisa pepejal adalah merupakan satu indicator penting dalam memastikan kesejahteraan Bandar dinikmati oleh semua pihak. Saya berharap dengan kepimpinan sedia ada, isu-isu asas ini tidak timbul lagi pada masa hadapan.
- Akhir kata, saya dengan ini mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang baru iaitu YBhg. Dato’ Ir Rajendran a/l P. Anthony. Selamat bertugas dengan amanah dan tanggungjawab yang besar bagi mencapai aspirasi Penang 2030
Sekian, terima kasih.