MAJLIS PERHIMPUNAN PENGANJUR-PENGANJUR KEMPEN DERMA DARAH PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN PENGANJUR-PENGANJUR

KEMPEN DERMA DARAH PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

8 MEI 2023 (ISNIN)

BUTTERWORTH ARENA

 

 

YB Phee Boon Poh

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri Pulau Pinang

YB Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato' Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah,

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan)

Yang Berbahagia Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Para Tetamu Kehormat

Wakil-Wakil Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO)-

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Phee Boon Poh, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan serta pasukan atas inisiatif penganjuran Majlis Perhimpunan Penganjur-Penganjur Kempen Derma Darah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.

Sesungguhnya majlis yang julung kali diadakan pada hari ini amat bermakna kerana kita telah berjaya menghimpunkan seramai 20 buah institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam menjayakan kempen yang cukup mulia ini. Terima kasih sekali lagi kepada semua atas kolaborasi, dedikasi dan komitmen cemerlang yag ditunjukkan selama ini.

Semoga platform ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kita memperkasakan sistem dan jalinan kerjasama yang sedia terjalin ini agar keseluruhan kempen derma darah yang diadakan dari semasa ke semasa menjadi lebih teratur dan sistematik.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di Pulau Pinang, kita bersyukur kerana sentiasa mendapat perhatian dan sokongan berterusan untuk semua perkara yang memberikan manfaat kepada komuniti dan negeri ini.

Ini termasuklah penganjuran kempen dan program derma darah yang giat diadakan sepanjang tahun mengikut jadual bulanan, melibatkan penglibatan tabung darah hospital kerajaan dan swasta bersama NGO yang aktif dan komited  dalam menjalankan kempen ini.

Pada suatu masa dahulu, sikap masyarakat amatlah negatif dan skeptikal dengan memberikan pelbagai alasan bagi mengelak daripada menderma darah.

Namun, hari ini kita bersyukur dengan pelbagai promosi dan kempen kesedaran secara  berterusan daripada semua pihak, masyarakat hari ini mula sedar akan tanggungjawab dalam membantu menyumbangkan sesuatu kepada golongan yang memerlukan.

Mengikut rekod Tabung Darah Hospital Pulau Pinang, jumlah penderma darah pada tahun 2022 adalah seramai 44,160 orang, berbanding 42,325 orang dicatatkan pada tahun 2020.

Manakala, untuk penganjuran Kempen Derma Darah Bergerak (Mobile) yang direkodkan melalui hospital kerajaan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2022 adalah sebanyak 743 program dengan kutipan sehingga 31,123 beg darah iaitu sebanyak 70.5 peratus kutipan beg darah pada tahun tersebut berbanding tahun 2020 dengan 27,936 beg darah iaitu sebanyak 66.0 peratus kutipan beg darah melalui 659 program derma darah bergerak.

Malah, 90 peratus daripada program derma darah bergerak ini dilaksanakan oleh kumpulan derma darah bergerak dari Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya dengan kerjasama pelbagai pihak NGO.

Mengikut rekod Tabung Darah Negeri Pulau Pinang juga, sepanjang tempoh tahun 2020 sehingga Mei 2023, seramai 126,668 individu yang telah menderma darah dan sekiranya kita melibatkan rekod tabung darah di hospital-hospital kerajaan dan swasta serta persatuan-persatuan yang lain, saya yakin bahawa bilangan penderma darah adalah melebihi jumlah yang direkodkan oleh pihak Tabung Darah Negeri Pulau Pinang.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Menyedari hakikat ini, saya ingin menegaskan bahawa menderma darah seharusnya menjadi tanggungjawab sosial setiap anggota masyarakat. Tanpa sokongan dari komuniti adalah mustahil untuk tabung darah di seluruh Negeri Pulau Pinang dapat menyediakan darah yang secukupnya bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.

Setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada para penderma darah dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam penganjuran kempen derma darah di seluruh Negeri Pulau Pinang.

Anda sememangnya wira negara atas pengorbanan menderma darah secara sukarela bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat.

Saya percaya bahawa usaha aktif yang diambil oleh pihak hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada majlis hari ini akan meningkatkan kesedaran orang awam tentang kebaikan menderma darah serta menanam sifat keprihatinan terhadap penderitaan insan yang memerlukan pendermaan darah.

Sehubungan dengan itu, kempen-kempen dan sebarang bentuk galakan menderma darah ini sangat dialu-alukan dalam membentuk insan yang berpekerti mulia di kalangan masyarakat.

Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, agenda memperkasakan rakyat melalui penyertaan masyarakat dalam platform sebegini telah meletakkan Pulau Pinang di landasan yang tepat dalam merealisasikan aspirasi bersama ini.

Kerajaan Negeri amat berbangga dan berterima kasih kepada semua pihak khususnya badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak terlibat dalam menjalankan jelajah aktiviti derma darah seperti Persatuan Ugama Buddha Butterworth, Pertubuhan Hui Yin Seh, Persatuan Penderma Darah Seberang Perai Utara, St John Ambulans Malaysia Pulau Pinang, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan lain-lain lagi.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Diharapkan kempen-kempen derma darah akan terus dipergiatkan agar dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk memulakan langkah pertama dan menjadikan amalan menderma darah ini sebagai amalan gaya hidup sihat.

Sekian, terima kasih.

KEMPEN DERMA DARAH

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang