SIDANG MEDIA PENGUMUMAN PEMENANG PERTANDINGAN PELAN INDUK STESEN PERTANIAN RELAU & BANTUAN BAYARAN SARA HIDUP KEPADA PESAWAH

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA SIDANG MEDIA PENGUMUMAN PEMENANG PERTANDINGAN PELAN INDUK STESEN PERTANIAN RELAU & BANTUAN BAYARAN SARA HIDUP KEPADA PESAWAH

6 Oktober 2022

Bilik Gerakan, Tingkat 28 KOMTAR

 

YB Dr. Hajah Norlela binti Ariffin

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan,  Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan

YB Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Dato’ Mohd Zakuan bin Haji Zakaria

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Encik Mohd Muhaimin bin Ibrahim

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang

 

Encik Zuhair Jamaludin

Setiausaha, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN)

Encik Muhamad Husni bin Mahmud

Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Pembangunan)

Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN)

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Sidang Media pada petang ini bagi mengumumkan dua (2) perkara iaitu pemenang Pertandingan Pelan Induk Stesen Pertanian Relau dan juga Bantuan Bayaran Sara Hidup Kepada Pesawah.

Melalui portfolio Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Kerajaan Negeri telah bercadang untuk membangun dan mentransformasikan kawasan Stesen Pertanian Relau sebagai sebuah Lembah Silikon Pertanian di Pulau Pinang.

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Pertandingan Pelan Induk Stesen Pertanian Relau sejak Mei lalu sebagai platform untuk memperolehi idea-idea terbaik untuk pelan induk tersebut.

Selain Jabatan Pertanian Pulau Pinang yang juga pemilik tanah, pertandingan ini turut diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan Kerajaan & badan bukan kerajaan (NGO).

Daripada keseluruhan 20 penyertaan dan selepas menjalani dua (2) sesi penjurian yang berakhir pada 3 Oktober lalu, dengan ini sukacita diumumkan para pemenang bagi pertandingan ini.

Tempat Pertama     : Kumpulan Sedusun Tech Valley

Tempat Kedua        : Qhawarizmi Architect

Tempat Ketiga        : SMOA-ANGKASALAB

Kerajaan Negeri berbesar hati untuk menyalurkan hadiah berupa tunai RM30,000 kepada pemenang tempat pertama, RM 15,000 kepada pemenang tempat kedua, RM 7,000 kepada pemenang tempat ketiga serta memberikan hadiah saguhati bernilai RM 2,000 kepada lima (5) peserta yang berjaya memasuki peringkat akhir pertandingan ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada para pemenang dan juga semua peserta yang menyertai pertandingan ini.

Sesungguhnya saya amat bangga dan teruja dengan idea-idea yang dikemukakan, selari dengan matlamat Kerajaan Negeri yang sememangnya menumpukan kepada agenda pembangunan negeri berteraskan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sebentar nanti kita akan melihat perbentangan daripada pemenang dan saya yakin, ada semua akan turut teruja dengan cadangan-cadangan pembangunan ini.

Semoga dengan inisiatif ini,  kita bukan sahaja dapat membantu menyediakan lokasi yang progresif untuk sektor pertanian dan keselamatan makanan yang mampan pada masa akan datang, tetapi juga merealisasikan hasrat bersama untuk menjadikan Stesen Pertanian di Relau sebagai taman perniagaan eko pelancongan bersepadu dan agroteknologi di negeri dan negara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Bantuan Bayaran Sara Hidup Kepada Pesawah

Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang tidak asing lagi di dalam menyumbangkan pengeluaran makanan asasi iaitu beras untuk negara kita.

Keluasan tanaman padi di negeri Pulau Pinang adalah seluas 12,105.59 hektar dengan bilangan pesawah seramai 5,262 orang.

Walaupun keluasan bertanam padi tidak luas seperti negeri lain, namun data perangkaan pengeluaran padi negara tahun 2020 menunjukkan hasil purata padi di negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 4.831 matriks tan sehektar.

Ini melepasi purata untuk Malaysia iaitu 4.039 matriks tan sehektar. Bagi purata hasil luar musim 2021, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 5.595 matriks tan  sehektar, menunjukkan peningkatan hasil padi di negeri adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran padi di negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang telah menunjukkan pencapaian ketiga tertinggi untuk tahun 2020 dan menyumbang kepada 61.44 % keperluan sara diri (SSL) di Pulau Pinang.

Sungguhpun begitu, pelbagai cabaran dan halangan terpaksa dihadapi oleh para pesawah di dalam pengeluaran beras untuk keperluan negeri dan negara. Di antara cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi ialah ketidaktentuan cuaca serta peningkatan kos bahan input seperti baja kimia dan agrokimia untuk tanaman.

Faktor pandemik COVID-19 dan peperangan antara Russia dan Ukraine juga turut menjadi penyumbang utama kepada perkara ini.

Justeru, di atas keprihatinan kepada masalah rakyat dan kepekaan terhadap keselamatan makanan di negeri ini, Kerajaan Negeri dengan sukacitanya akan menyalurkan Bantuan Bayaran Sara Hidup Kepada Pesawah sebanyak RM500.00 secara one off kepada seramai 5,262 pesawah di Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Pemberian bantuan ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM2,631,000.00.

Kerajaan Negeri berharap agar pemberian bantuan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh para pesawah padi, seterusnya dapat memberi rangsangan kepada pesawah untuk mengekalkan Negeri Pulau Pinang di dalam senarai teratas pengeluar padi di Malaysia. 

Sekian, terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang