MAJLIS PENYERAHAN KUNCI UNIT RUMAH TAMAN KALIDONIA INDAH FASA 1  

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,YAB CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN KUNCI UNIT RUMAH

TAMAN KALIDONIA INDAH FASA 1

 

8 OKTOBER 2022 (SABTU)

DEWAN KUIL SRI MAHA MARIAMMAN, LADANG KALIDONIA

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

YB H'ng Mooi Lye

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi

 

YB Satees a/l Muniandy

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi

 

Yang Berbahagia Datin Bharathi a/p Suppiah

Timbalan Pengurus Besar, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu

Ketua Pegawai Eksekutif, Eco World Group Berhad

Yang Berbahagia Dato’ Chan Soo How

Pengurus Besar Bahagian Pulau Pinang, Eco World Group Berhad

Para Penduduk Ladang Kalidonia

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali marilah kita semua memanjatkan rasa syukur kerana dengan izinnya, kita dapat bersama-sama berkumpul sempena Majlis Penyerahan Unit Kunci Rumah Taman Kalidonia Indah Fasa 1 pada pagi yang berbahagia ini.

Setelah lebih 30 tahun memperjuangkan untuk sebuah kehidupan yang lebih baik, hari ini sejarah baru dicipta. Inilah saat-saat yang dinantikan dan saya percaya ia merupakan ‘hadiah’ paling bermakna kepada penduduk Ladang Kalidonia terutamanya menjelang sambutan Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi.

Sepertimana yang dinyatakan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bertekad untuk menyediakan tempat tinggal yang kondusif kepada penduduk Ladang Kalidonia sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008.

Justeru, Kerajaan Negeri telah memberi milik tanah ini seluas 15.106 ekar di PT2195, Mukim 11, Seberang Perai Selatan (SPS) yang bernilai RM15 juta kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) untuk membangunkan 272 unit Rumah Mampu Milik Jenis A kepada penduduk sedia ada di Ladang Kalidonia secara percuma.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya kepada Eco Horizon Sendirian Berhad yang begitu komited dalam melunaskan tanggungjawab untuk membangunkan projek ini selaras dengan syarat  pembangunan Rumah Mampu Milik yang perlu dipatuhi bagi projek sendiri di Batu Kawan.  Syabas dan tahniah kepada semua.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pada 24 Oktober 2020, saya telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi  Projek Pembangunan Taman Kalidonia Indah dan seperti yang dijanjikan bahawa dalam tempoh dua (2) tahun rumah akan disiapkan, Majlis Cabutan Undi Tawaran Unit Rumah Kos Rendah Taman Kalidonia Indah telahpun diadakan pada 26 September 2022.

Pada hari ini, saya gembira untuk kembali semula ke sini bagi meraikan detik manis dalam majlis ringkas tetapi cukup bermakna ini bagi menyerahkan kunci rumah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang saya sayangi.

Penawaran unit rumah secara pajakan 60 tahun ini adalah secara percuma, dan penduduk Ladang Kalidonia hanya perlu membayar RM50.00 sebulan sebagai kos pengurusan dan penyelenggaraan (Maintenance Fee) bagi menikmati segala jenis perkhidmatan yang disediakan di kawasan perumahan. Kerajaan Negeri akan mencari mekanisme untuk membuat kutipan Maintenance Fee tersebut.

Dalam masa yang terdekat juga, penerima tawaran unit rumah akan diberikan Dokumen Perjanjian Pajakan Rumah untuk dilengkapi dan disempurnakan oleh setiap penerima. Segala syarat penawaran pajakan akan dinyatakan dalam dokumen perjanjian tersebut untuk dipersetujui oleh penerima unit rumah.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut mengambil maklum bahawa terdapat beberapa keluarga yang masih menduduki di Ladang Kalidonia secara sewaan dan Kerajaan Negeri akan memastikan keluarga-keluarga yang layak tersebut, ditawarkan unit rumah setelah Fasa 2 disempurnakan.

Saya akan memberikan tanggungjawab ini kepada YB Exco Perumahan yang selalu menjadi champion untuk perumahan mampu milik agar dapat memastikan keluarga yang terlibat ini ditawarkan rumah secara sewaan sementara di lokasi berhampiran. Saya berharap para penduduk yang terlibat dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan kerja-kerja projek Fasa 2 dapat disegerakan dan disaipkan dalam tempoh yang ditetapkan.  

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Eco World Group Berhad serta semua pihak dan agensi yang terlibat yang telah membantu dalam pelaksanaan Projek Peruamahan Taman Kalidonia Indah Fasa 1.

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Kalidonia Indah Fasa 1.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang