MAJLIS PERASMIAN PESTA PULAU PINANG 2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,  YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA PULAU PINANG 2022

13 DISEMBER 2022, SELASA | 8.20 MALAM  

TAPAK PESTA, SUNGAI NIBONG

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dan isteri,

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang dan isteri,

Yang Berbahagia Datin Hajah Mohaini binti Mohd Saffar

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Dihormati Bapak H.Mahyeldi

Gabenur Provinsi Sumatera Barat

Yang Dihormati Bapak Bambang Suharto

Konsul Jeneral Repulik Indonesia di Pulau Pinang

Yang Berbahagia Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah binti Samat

Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Malam dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa induk yang terlibat dalam memastikan Majlis Pelancaran Pesta Pulau Pinang Tahun 2022 pada malam ini dapat diadakan dengan jayanya.

Memasuki edisi yang ke-54, saya amat gembira salah satu produk utama pelancongan negeri ini yang sememangnya sudah tidak asing kembali meriah, setelah dua (2) tahun sepi berikutan pandemik COVID-19.

Dengan masih mengekalkan tagline popularnya “Jom Pi Pesta”, penganjuran kali ini akan berlangsung selama 36 hari, bermula pada 26 November sehingga 31 Disember 2022, dengan hasrat dapat meneruskan kembali kegemilangan acara tahunan berprestij ini.

Setakat 11 Disember (Ahad), seramai 166,150 pengunjung telah mengunjungi Pesta Pulau Pinang dengan kutipan tiket berjumlah RM774,223.00. Kita yakin angka ini akan terus meningkat menjelang musim cuti persekolahan kini, sekaligus mencapai sasaran 600,000 orang pengunjung yang disasarkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan hampir RM3 juta bagi tujuan pembaikan lot-lot perniagaan, infrastruktur dan pencahayaan di tapak ini.

Pelbagai produk dan tarikan ditawarkan kepada pengunjung antaranya gerai-gerai jualan pelbagai aneka barangan serta pakaian, permaidani, permainan, pameran, gerai makanan serta konsert artis-artis popular.

Sambutan yang diterima dalam kalangan para usahawan adalah sangat menggalakkan, dengan kesemua 162 lot perniagaan telah dipenuhi golongan berkaitan dari dalam dan luar negeri, yang mana tawaran lot dibuat sama ada secara cabutan undi, sebut harga dan request for proposal (RFP).

Selain daripada pelbagai tarikan seperti persembahan artis tempatan, siri pertandingan menguji bakat, pameran dan pertunjukan, pesta kali ini turut menjemput

Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengadakan pameran berkaitan sains (Sains @Pesta), selain penerokaan angkasa lepas di planetarium yang turut disediakan di Arena 2.

Ini antara kelainan dan tarikan baharu yang cuba diketengahkan. Di samping kita berhibur, sedikit sebanyak pengetahuan dan ilmu mengenai alam semesta melalui perspektif sains dapat dikongsi dengan para pengunjung.

Pada tahun ini juga, pencahayaan pesta turut ditambah baik  dengan pemasangan pokok-pokok lampu seperti pokok pinang, pokok bunga ros, pokok tulips, pokok dendalion dan beberapa lagi flora yang bertemakan lampu LED di sekitar kawasan ini.

Seperti pada tahun-tahun lepas, Jawatankuasa Pesta Pulau Pinang  turut menjemput penyertaan daripada Pavilion Sumatera Barat dan Acheh daripada Indonesia dan Pavilion Thai daripada Thailand. Diharapkan melalui kolaborasi tersebut, kita dapat memperkukuhkan jalinan hubungan diplomatik yang sedia terjalin ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pesta Pulau Pinang kekal relevan sebagai platform yang merangkumi aspek perdagangan, pelancongan, kebudayaan dan fiesta yang cukup sesuai untuk penglibatan seisi keluarga secara menyeluruh, selari dengan hasrat Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Kerajaan Negeri ingin mengajak seluruh warga Pulau Pinang dan semua pelancong yang ingin berkunjung ke Pulau Pinang untuk bersama-sama menikmati kepelbagaian yang disediakan di Pesta Pulau Pinang. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, saya menyeru kepada semua yang masih belum datang ke Pesta Pulau Pinang untuk sama-sama datang melihat  dengan sendiri keunikan yang disediakan oleh penganjur pada tahun ini.

Akhir kata, sekali lagi tahniah diucapkan kepada Jabatan Kewangan Negeri sebagai agensi bertanggungjawab, serta semua yang terlibat dalam memastikan Pesta Pulau Pinang Tahun 2022 dapat diadakan dengan jayanya. Jom  Pi  Pesta!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang