MAJLIS PERASMIAN PESTA PULAU PINANG 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA PULAU PINANG 2022
13 DISEMBER 2022, SELASA | 8.20 MALAM
TAPAK PESTA, SUNGAI NIBONG
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Law Choo Kiang
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dan isteri,
Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang dan isteri,
Yang Berbahagia Datin Hajah Mohaini binti Mohd Saffar
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Yang Dihormati Bapak H.Mahyeldi
Gabenur Provinsi Sumatera Barat
Yang Dihormati Bapak Bambang Suharto
Konsul Jeneral Repulik Indonesia di Pulau Pinang
Yang Berbahagia Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah binti Samat
Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Malam dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa induk yang terlibat dalam memastikan Majlis Pelancaran Pesta Pulau Pinang Tahun 2022 pada malam ini dapat diadakan dengan jayanya.
Memasuki edisi yang ke-54, saya amat gembira salah satu produk utama pelancongan negeri ini yang sememangnya sudah tidak asing kembali meriah, setelah dua (2) tahun sepi berikutan pandemik COVID-19.
Dengan masih mengekalkan tagline popularnya “Jom Pi Pesta”, penganjuran kali ini akan berlangsung selama 36 hari, bermula pada 26 November sehingga 31 Disember 2022, dengan hasrat dapat meneruskan kembali kegemilangan acara tahunan berprestij ini.
Setakat 11 Disember (Ahad), seramai 166,150 pengunjung telah mengunjungi Pesta Pulau Pinang dengan kutipan tiket berjumlah RM774,223.00. Kita yakin angka ini akan terus meningkat menjelang musim cuti persekolahan kini, sekaligus mencapai sasaran 600,000 orang pengunjung yang disasarkan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan hampir RM3 juta bagi tujuan pembaikan lot-lot perniagaan, infrastruktur dan pencahayaan di tapak ini.
Pelbagai produk dan tarikan ditawarkan kepada pengunjung antaranya gerai-gerai jualan pelbagai aneka barangan serta pakaian, permaidani, permainan, pameran, gerai makanan serta konsert artis-artis popular.
Sambutan yang diterima dalam kalangan para usahawan adalah sangat menggalakkan, dengan kesemua 162 lot perniagaan telah dipenuhi golongan berkaitan dari dalam dan luar negeri, yang mana tawaran lot dibuat sama ada secara cabutan undi, sebut harga dan request for proposal (RFP).
Selain daripada pelbagai tarikan seperti persembahan artis tempatan, siri pertandingan menguji bakat, pameran dan pertunjukan, pesta kali ini turut menjemput
Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengadakan pameran berkaitan sains (Sains @Pesta), selain penerokaan angkasa lepas di planetarium yang turut disediakan di Arena 2.
Ini antara kelainan dan tarikan baharu yang cuba diketengahkan. Di samping kita berhibur, sedikit sebanyak pengetahuan dan ilmu mengenai alam semesta melalui perspektif sains dapat dikongsi dengan para pengunjung.
Pada tahun ini juga, pencahayaan pesta turut ditambah baik dengan pemasangan pokok-pokok lampu seperti pokok pinang, pokok bunga ros, pokok tulips, pokok dendalion dan beberapa lagi flora yang bertemakan lampu LED di sekitar kawasan ini.
Seperti pada tahun-tahun lepas, Jawatankuasa Pesta Pulau Pinang turut menjemput penyertaan daripada Pavilion Sumatera Barat dan Acheh daripada Indonesia dan Pavilion Thai daripada Thailand. Diharapkan melalui kolaborasi tersebut, kita dapat memperkukuhkan jalinan hubungan diplomatik yang sedia terjalin ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pesta Pulau Pinang kekal relevan sebagai platform yang merangkumi aspek perdagangan, pelancongan, kebudayaan dan fiesta yang cukup sesuai untuk penglibatan seisi keluarga secara menyeluruh, selari dengan hasrat Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kerajaan Negeri ingin mengajak seluruh warga Pulau Pinang dan semua pelancong yang ingin berkunjung ke Pulau Pinang untuk bersama-sama menikmati kepelbagaian yang disediakan di Pesta Pulau Pinang. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, saya menyeru kepada semua yang masih belum datang ke Pesta Pulau Pinang untuk sama-sama datang melihat dengan sendiri keunikan yang disediakan oleh penganjur pada tahun ini.
Akhir kata, sekali lagi tahniah diucapkan kepada Jabatan Kewangan Negeri sebagai agensi bertanggungjawab, serta semua yang terlibat dalam memastikan Pesta Pulau Pinang Tahun 2022 dapat diadakan dengan jayanya. Jom Pi Pesta!
Sekian, terima kasih.