MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH CEMERLANG WARISAN 100 TAHUN PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH CEMERLANG
WARISAN 100 TAHUN PULAU PINANG
5 JANUARI 2023
HOTEL EASTERN & ORIENTAL, LEBUH FARQUHAR
YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Yeoh Soon Hin
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE)
YB Dr. Norlela binti Ariffin
EXCO Agro Teknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar Dan Kesihatan
Yang Berusaha Encik Rosli bin Haji Nor
Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Dato' Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Para Juri
Para Penerima Anugerah
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur daripada Pejabat EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) dan Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang yang telah mengaturkan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun Pulau Pinang pada petang ini dengan jayanya.
Saya kira majlis yang julung kali diadakan ini adalah merupakan permulaan kepada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan khazanah dan aset negeri yang tidak ternilai ini demi warisan Pulau Pinang pada masa hadapan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi pada hari ini tidak datang begitu sahaja. Sebaliknya ia adalah hasil titik peluh, usaha dan kecintaan para peneroka yang mengabdikan diri untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan hidup masing-masing.
Setiap perkumpulan masyarakat, baik daripada pemilik perniagaan, wakil persatuan, institusi pendidikan dan rumah ibadat mempunyai lakaran dan pengkisahan masing-masing. Sudah tentunya, di sepanjang perjalanan ini, pelbagai rintangan dan transformasi telah dilalui dalam meneruskan legasi ini dengan jayanya, sekaligus menyumbang kepada pembangunan negeri.
Oleh itu, setiap sumbangan mereka ini perlu diberi penghargaan dan direkodkan sebagai rujukan dan panduan kepada generasi akan datang untuk kemajuan yang lebih baik di masa hadapan.
Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada 112 penerima kumpulan pertama Anugerah Cemerlang Warisan Negeri yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan negeri ini selama lebih 100 tahun, malah ada juga yang melangkaui masa melebihi 200 tahun dalam bidang masing-masing dari segi kemasyarakatan, keagamaan, pendidikan, perniagaan, perubatan, keselamatan dan kemudahan perkhidmatan.
Turut tidak dilupakan kepada barisan juri yang terdiri daripada kumpulan profesional yang daripada pelbagai latar belakang seperti arkitek, perancang bandar, sosiologi dan sains politik atas komitmen yang diberikan dalam melunaskan tanggungjawab ini dengan jayanya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seiring dengan permulaan ini juga, kita di peringkat Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Warisan Negeri sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 yang bertanggungjawab menasihati Pihak Berkuasa Negeri bagi apa-apa perkara berhubungan dengan pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan warisan kebudayaan atau warisan semula jadi, dan perkara yang berhubungan dengan pelaksanaan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang.
Untuk itu, saya menyeru mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengangkat status khazanah mereka sebagai Warisan Negeri bolehlah mengemukakan cadangan kepada Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri yang bertindak sebagai urusetia Majlis Warisan Negeri.
Kerajaan Negeri bersama Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri sentiasa berusaha memartabatkan warisan sejarah khususnya warisan seni kebudayaan rakyat negeri Pulau Pinang. Ini kerana warisan negeri adalah jati diri setiap rakyat dan merupakan suatu kebanggaan bagi keluarga atau organisasi masing-masing.
Manifestasi warisan tidak terhad hanya kepada seni persembahan, sebaliknya ia merangkumi semua aspek kehidupan kita. Maka Anugerah Warisan 100 tahun ini adalah aset warisan pelbagai bidang yang telah dicapai oleh semua rakyat negeri Pulau Pinang melalui perkumpulan sosial, perniagaan keluarga, perdagangan, pembuatan dan perkhidmatan.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada petang ini. Semoga pengiktirafan dan penghargaan ini menjadi pendorong kepada generasi pelapis untuk meneruskan usaha yang telah diterokai oleh generasi terdahulu.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.