MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP) TAHUN 2023

UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP)

TAHUN 2023

 

6 JANUARI 2023 (JUMAAT)

DEWAN KENANGA, MENARA BANDARAYA, MBSP

 

 

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

 

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

 

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

YB Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Amar Pritpal bin Abdullah

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB ADUN/ Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Dihormati Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berusaha Puan Nur’Aishah bt Md Norodin

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan

 

Yang Berusaha Haji Baderul Amin Bin Abdul Hamid

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

 

Selamat Petang, Salam Sejahtera & Salam Tahun Baharu 2023.

Pertama sekali, marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan untuk bersama kembali dalam upacara Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Penggal 2023 pada petang yang berbahagia ini.

Sepertimana yang dimaklumkan, gabungan kali ini melibatkan pelantikan semula 23 Ahli Majlis MBSP sedia ada dan satu (1) muka baharu yang akan dilantik secara rasmi dan menerima watikah sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), dengan perkhidmatan bermula 1 Januari sehingga 31 Ogos 2023.

Dengan pelantikan ini, kita menyaksikan keseluruhan 48 Ahli Majlis daripada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, masing-masing empat (4) muka baharu di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan satu (1) daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), yang akan membawa aspirasi Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tahun 2022 telah melabuhkan tirainya. Sama ada kita telah mengisinya dengan baik ataupun tidak, ia telah berlalu dan menjadi sejarah untuk dijadikan pengalaman dan rujukan bersama.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Ahli Majlis atas komitmen dan kerjasama cemerlang yang diberikan, bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda dan matlamat untuk mentransformasikan Seberang Perai sebagai nadi pembangunan utama negeri ini.

Tahun 2022 juga merupakan tahun mencabar buat MBSP apabila berlakunya bencana kebakaran dan kesesakan yang tidak dijangka di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. Namun, saya kira MBSP telah berjaya mengatasi masalah dengan baik dan mengambil inisiatif yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah berbangkit di lokasi tersebut.

Memasuki tahun baharu 2023, sudah tentunya bersama tekad dan semangat baru untuk memacu lebih banyak kecemerlangan dan kegemilangan sejajar dengan tekad untuk mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Kerajaan Negeri memberikan sokongan, kepercayaan serta keyakinan penuh kepada semua untuk menggerakkan tata kelola organisasi masing-masing, selagi ia selari dengan matlamat dan dasar semasa.

Justeru, Kerajaan Negeri ingin menyeru kepada semua Ahli Majlis yang bertindak sebagai penghubung di antara rakyat dan kerajaan ini, untuk menyokong dan memberikan kerjasama rapat kepada Datuk Bandar dan warga kerja MBSP dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan responsif kepada kehendak komuniti Seberang Perai.

Dengan anggaran peruntukan sejumlah RM357.13 juta pada tahun 2023 di bawah tema “Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat’, Kerajaan Negeri berharap segala gerak kerja, pelan dan tindakan dapat berjalan lancar dan memenuhi 10 keutamaan teras yang menjadi panduan MBSP.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada kesemua 24 Ahli Majlis yang telah dipilih dan dilantik untuk menggalas tanggungjawab ini. Semoga aspirasi mentransformasikan Seberang Perai sebagai nadi pembangunan masa depan negeri ini dapat diterjemahkan demi negeri dan negara yang makmur, harmoni serta sejahtera.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang