MAJLIS PENYAMPAIAN SKIM PELAN PENGURUSAN IMPAK SOSIAL (SIMP) DAN PELAKSANAAN PELAN INDUK PENGIMBANGAN EKOLOGI PSR (PEOM)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SKIM PELAN PENGURUSAN IMPAK SOSIAL (SIMP) DAN PELAKSANAAN PELAN INDUK PENGIMBANGAN EKOLOGI PSR (PEOM)

12 JANUARI 2023

PUSAT PERKHIDMATAN SETEMPAT NELAYAN SUNGAI BATU

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato Lim Hock Seng

Ketua Seksyen Pengangkutan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN)

Yang Berbahagia Dato’ Seri Farizan bin Darus

Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC)

 

Encik Szeto Wai Loong

Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd

Encik Azmi bin Mohamad

Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd.

Para Nelayan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya gembira dapat kembali di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Sungai Batu yang telah saya lancarkan pada Disember 2021. Masa berlalu dengan pantas sekali dan kita sudah pun memasuki tahun baharu 2023.  

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sejak dirasmikan, PPSN Sungai Batu telah memainkan peranan yang amat penting, bukan sahaja dalam memberikan perkhidmatan kepada agensi dan jabatan kerajaan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai projek Penang South Islands (PSI) tetapi juga telah memanfaatkan para nelayan setempat.

Walaupun kerja penambakan masih belum bermula, Kerajaan Negeri gembira dengan perkembangan positif di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) yang dilaksanakan secara berfasa.

Mengikut rancangan asal, skim SIMP sepatutnya hanya dilaksanakan selepas projek PSI mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum memulakan kerja tambakan.

Namun begitu, berikutan tempoh kelulusan EIA dan EMP yang mengambil masa yang terlalu lama telah menyebabkan nelayan turut terpaksa menunggu lama untuk merasai manfaat SIMP.

Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan SIMP secara berfasa agar para nelayan dapat menikmati beberapa manfaat yang dijanjikan terlebih dahulu.

Kerajaan juga bersetuju untuk mempercepatkan bantuan kepada nelayan terkesan kerana selain daripada ia merupakan satu tanggungjawab, kerajaan juga berusaha untuk memastikan nelayan dapat ke laut dengan bot yang lebih besar dan selamat serta dapat memastikan tangkapan yang lebih daripada bot sebelum ini yang lebih kecil dengan kuasa kuda enjin yang lebih rendah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang disebut oleh YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin, Timbalan Ketua Menteri 1 sebentar tadi, Kerajaan Negeri telah mula memberi bot dan enjin baru, mengaturkan kursus jurumudi, dan program sokongan pendidikan untuk anak-anak nelayan yang masih di bangku sekolah sejak tahun lepas.

Saya gembira mendengar para nelayan seperti Encik Haris yang tinggal dekat sini telah mendapat bot dan enjin baru, sekaligus membolehkan beliau keluar mencari rezeki dengan lebih selesa dan selamat sekarang, selain dapat pergi lebih jauh untuk menangkap lebih banyak ikan.

Saya juga kagum nelayan seperti Puan Fajinah yang sanggup kembali ke bilik darjah untuk mengikuti kursus dan mengambil ujian untuk menjadi jurumudi. Perkara ini tidak mudah apabila usia kita sudah lanjut. Namun, semangat ingin belajar dan mendapatkan sijil adalah sesuatu yang harus kita contohi.

Saya juga seronok mendengar anak-anak nelayan sedang memanfaatkan kelas pemulihan, tuisyen dan program intensif SPM yang diadakan di bawah skim SIMP. Sekiranya anak-anak ini dapat belajar dengan baik dan mendapat pencapaian akademik yang membanggakan, mereka akan mempunyai banyak peluang pekerjaan dan masa depan yang cerah. Mungkin mereka akan menjadi sebahagian daripada golongan profesional yang bekerja di PSI.

Sehubungan dengan program pendidikan yang telah diterajui oleh Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) bersama Universiti Sains Malaysia (USM), didapati anak-anak nelayan dari tingkatan 5 yang terpilih mengikuti kursus berkenaan mempunyai potensi untuk berjaya. Namun, kerjasama, sokongan dan dorongan ibu bapa amat diperlukan untuk kejayaan mereka.

Justeru itu, saya berharap semua ibu bapa dapat meluangkan masa yang bersesuaian bagi memberi perhatian yang serius terhadap pendidikan anak-anak mereka bagi menjamin masa depan mereka serta mendapat peluang pekerjaan dari pembangunan PSI nanti. 

Pada masa ini, Kerajaan Negeri dan SRS Consortium juga sedang berusaha melaksanakan projek penambahbaikan jeti sementara untuk unit nelayan Permatang Tepi Laut agar nelayan di sana mempunyai kemudahan yang lebih selamat dan selesa.

Projek ini juga dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab kerajaan terhadap nelayan kerana ia tetap dilaksanakan sebelum kelulusan EIA dan EMP. Projek ini akan membolehkan nelayan dari kawasan Permatang Tepi Laut mendapat stor nelayan berserta kemudahan jeti yang jauh lebih selesa daripada yang sedia ada sekarang.

Malah, pembinaan kemudahan jeti akan dibuat oleh Kerajaan Negeri tanpa mengaitkannya dengan projek PSI.

Kontraktor utama dalam projek ini adalah Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd (KKPPSB) yang ditubuhkan untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat, khasnya nelayan. KKPPSB akan menjadi pemain utama dalam pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk menyokong pembangunan PSI. Aktiviti KKPPSB akan menjana pendapatan dan memberi pulangan serta faedah kepada ahli-ahlinya yang terdiri daripada penduduk setempat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

SIMP ini adalah satu skim yang menyeluruh sehingga mengambil kira masa depan keluarga nelayan, termasuk anak-anak mereka. Kerajaan Negeri tidak mungkin dapat merangka skim ini tanpa cadangan dan maklum balas daripada nelayan sendiri dan agensi berkaitan.

Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menganggap semua nelayan membantah PSI dan mahu projek ini dibatalkan. Persepsi ini tidak betul sama sekali kerana nelayan juga mahukan pembangunan demi masa depan anak cucu mereka.

Selaras dengan itu, SIMP memberi nelayan banyak pilihan. Mereka yang mahu terus menangkap ikan ditawarkan bot dan enjin serta kemudahan jeti yang lebih baik. Mereka yang mahu mencuba pekerjaan lain ditawarkan peluang mengikuti latihan kemahiran seperti kursus jurumudi agar mereka dapat mencari sumber pendapatan lain. SIMP juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan menerusi aktiviti KKPPSB selain skim pemilikan perumahan.

Malah Kerajaan Negeri juga sedang merancang untuk memperbanyakkan lagi program latihan yang ada kaitan dengan nelayan termasuk membaiki bot dan enjin serta lain-lain kursus.

Pada hari ini, Kerajaan Negeri juga secara rasmi memulakan pelaksanaan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) dengan menandatangani memorandum persefahaman dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang untuk menanam pokok bakau dan spesies lain yang bersesuaian di lokasi-lokasi tertentu, termasuk di PSI.

Kerajaan Negeri juga melantik Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan penyelidikan pelabuhan tukun tiruan dan unjam serta pelepasan benih ikan dan udang yang akan memanfaatkan sektor perikanan dan nelayan tempatan.

Saya berasa tidak perlu untuk saya mengulangi kepentingan pembangunan PSI kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Saya berasa sudah cukup jelas bahawa pembangunan PSI bukan sahaja merangkumi penambakan pulau untuk tujuan aktiviti industri, depoh LRT dan lain-lain, tetapi juga melibatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat dan pemeliharaan alam sekitar.

Kerajaan Negeri percaya pelaksanaan PSI yang termasuk SIMP dan PEOM mampu menjadi model  dan contoh yang baik untuk pembangunan mampan yang melibatkan penambakan di tempat lain di seluruh negara pada masa depan.

Pada masa ini, kelulusan PSI masih tertakluk kepada keputusan JAS yang sedang meneliti Laporan EIA yang dikemas kini baru-baru ini. Saya berharap JAS akan memberi maklum balas yang positif dalam masa terdekat dengan mengambil kira manfaat projek ini kepada rakyat, khususnya komuniti nelayan.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memainkan peranan untuk menjayakan pelaksanaan SIMP dan PEOM serta menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk menjamin masa depan Pulau Pinang dengan pembangunan PSI.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang