MAJLIS PELANCARAN PROJEK PEMBINAAN PASAR AWAM DAN PENJAJA DI BANDAR CASSIA
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
PROJEK PEMBINAAN PASAR AWAM DAN PENJAJA DI BANDAR CASSIA
13 JANUARI 2023 (JUMAAT)
LOT 282 (LOT LAMA 274), ZON 1, BANDAR CASSIA, MUKIM 13, BATU KAWAN
(BERHADAPAN TAMAN CRESCENTIA)
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa
YB Goh Choon Aik
ADUN Bukit Tambun
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berbahagia Dato’ Aziz bin Bakar
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)
Yang Berusaha Ir. Ahmad Nadzri bin Abdul Majid
Pengarah Kerja Raya Pulau Pinang
Supritendan Tuan Lee Chong Chern
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)
Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC
Ketua-ketua Bahagian PDC
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang telah bekerja keras dalam memastikan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Pasar Awam dan Penjaja yang pertama di Bandar Cassia pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.
Saya pasti inilah berita gembira yang amat dinanti-nantikan oleh para penduduk sekitar terutama yang tinggal berhampiran di kedua-dua daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan juga Seberang Perai Selatan (SPS).
Projek ini merupakan salah satu tunai syarat oleh pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi Pembangunan Pangsapuri Suria 1 Batu Kawan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain komitmen dan aspirasi Kerajaan Negeri untuk melengkapkan komponen utama pembangunan di Bandar Cassia yang meliputi perumahan, komersial, pembangunan bercampur, perindustrian, rekreasi, infrastruktur dan lain-lain kemudahan awam, projek ini juga sebenarnya telah mencatatkan satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan dan kemajuan negeri ini.
Justeru, Kerajaan Negeri yakin dengan siapnya projek pembangunan infrastruktur ini kelak, ia dapat memberi nilai tambah di kawasan ini, sekaligus membolehkan rakyat dapat menjana peluang pendapatan dan menikmati kehidupan yang lebih baik.
Di atas tanah dengan keluasan 7.69 ekar, PDC sebagai agensi pembangunan yang menerajui pembangunan negeri ini telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan projek ini.
Dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM68.7 juta di lokasi yang cukup strategik iaitu berdekatan dengan beberapa kawasan perumahan dan hanya 3km ke Jeti Batu Musang, projek pembangunan ini merangkumi beberapa komponen utama, antaranya adalah seperti sebuah pasar awam yang mempunyai 82 lot penjaja, sebuah kompleks makanan yang boleh menempatkan 32 unit gerai, 20 unit gerai tertutup, 78 petak ruang penjaja terbuka, 753 pakir kenderaan dan lain-lain kemudahan.
Dan sebagaimana dimaklumkan, pembinaan projek ini terbahagi kepada dua (2) fasa iaitu Fasa Pertama yang melibatkan kerja tanah dan rawatan tanah manakala Fasa Kedua pula adalah merangkumi pembinaan bangunan dan infrastruktur.
Fasa Pertama yang melibatkan kerja tanah dan rawatan tanah telah bermula pada 7 November 2022 dan dijangka siap pada 6 Januari 2024. Dan selepas itu, fasa kedua akan menyusul dengan pembinaan bangunan dan infrastruktur, dijangka bermula pada suku pertama tahun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025.
Justeru, Kerajaan Negeri berharap kerja-kerja pembinaan ini dapat berjalan dengan lancar dan disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan
Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pasukan PDC atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memberikan kemudahan yang berkualiti sebagai pelengkap kepada jaringan pembangunan infrastruktur sedia ada dan seterusnya melonjakkan lagi impak sosioekonomi di sekitar kawasan ini.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Pasar Awam dan Penjaja di Bandar Cassia.
Sekian, terima kasih.