PESTA PONGGAL TAHUN 2023 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PESTA PONGGAL TAHUN 2023
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
29 JANUARI 2023
PEJABAT LEMBAGA WAKAF HINDU
NEGERI PULAU PINANG
Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy A/L Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangn Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen
Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian
Selamat Petang, Vanakkam dan Ponggal Nal Valthukal.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur daripada Pejabat Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang yang telah memastikan sambutan Pesta Ponggal Tahun 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.
Meskipun sedikit lewat, tetapi saya pasti kemeriahan sambutan Pesta Ponggal ini masih dapat dirasai oleh semua yang hadir pada hari ini.
Diraikan bermula hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil bersempena musim menuai, hari ini Pesta Ponggal yang diraikan telah menjadi saksi kepada kekuatan dan keunikan negeri Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhannya.
Dengan pelbagai acara kebudayaan dan permainan tradisi masyarakat Tamil yang diatur pada hari ini seperti acara memasak ponggal, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta tarian-tarian tradisi India, ia memberi peluang kepada kita semua untuk memahami dengan lebih dekat keunikan budaya rakan-rakan kita yang menyambut perayaan ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana terjemahan perayaan Ponggal yang selalu dikaitkan dengan rezeki yang melimpah ruah, saya yakin ini juga harapan, tekad dan keazaman kita semua dalam menempuhi perjalanan tahun baharu 2023 ini.
Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengajak anda semua untuk berganding bahu bersama pentadbiran Kerajaan Negeri ke arah kestabilan ekonomi dan sosioekonomi secara menyeluruh.
Kerajaan Negeri komited untuk mengukuhkan perpaduan rakyat negeri ini dan akan terus berusaha membantu serta bekerjasama dengan semua lapisan rakyat, selaras dengan usaha kita ke arah merealisasikan Visi Penang2030.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Di kesempatan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Profesor Dr. P. Ramasamy dan seluruh pasukan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan kebajikan masyakarat India terus diperkasakan.
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang bagi membolehkan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan.
Kerajaan Negeri menyambut baik dan akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada jawatankuasa Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang yang cukup prihatin dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit seperti pembinaan kemudahan seperti dewan serbaguna, penyediaan lebih banyak tempat penyimpanan mayat dan tempat upacara yang dikenali sebagai ‘karumakiriyai’ khusus bagi masyarakat berketurunan India di negeri ini.
Malah, pada bulan Disember 2022, saya telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah untuk sebuah Bangunan Penyimpanan Mayat India baru di Padang Tembak, Air Itam di mana Kerajaan Negeri telah meluluskan Lesen Pendudukan Sementara dengan keluasan 1873 kaki persegi bagi Bangunan Penyimpanan Mayat tersebut dengan kadar sewa yang nominal.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukan tanah seluas lima (5) ekar bersebelahan dengan Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru, Perai kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang di mana tapak tersebut akan dinaiktaraf dan digunakan sebagai tempat letak kereta bagi Kuil Sri Muniswarar.
Malah, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan tapak hampir 5,000 kaki persegi di Jalan Mohad Saad, Butterworth kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri untuk tujuan penempatan semula Kuil Sri Maha Kaliamman.
Kerajaan Negeri berharap semua bantuan yang telah dihulurkan melalui pelbagai program akan membantu masyarakat India untuk berada di landasan yang betul ke arah mencapai kemakmuran sekaligus meningkatkan keberdayatahanan komuniti India di negeri ini.
Akhir kata, semoga sambutan Ponggal ini terus memupuk nilai perpaduan yang menjadi tunjang penting kepada pembangunan serta kesejahteraan kepada Pulau Pinang dan rakyatnya secara keseluruhan.
Sekian, terima kasih. Nandri. Ponggal Nal Valthukal.