MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2023

 

7 FEBRUARI 2023

ATRIUM PDC

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen

 

Yang Berbahagia Dato’ Seri Lee Kah Choon

Ahli Lembaga PDC

 

Yang Berbahagia Dato’ Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif PDC

Yang Berbahagia Dato’ Loo Lee Lian

Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang

Yang Berusaha Puan Kathy Cheong

Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2023

Pihak Pengurusan dan Kakitangan PDC

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Anak-Anak Syarikat PDC

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

 

Selamat Tengah Hari dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2023 yang telah memastikan majis pada hari ini dapat diadakan dengan jayanya.

Saya kira inilah antara acara tradisi yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh warga kerja PDC.

Sepertimana kelazimannya, jawatankuasa terlibat dalam kalangan warga kerja PDC bukan sahaja diamanahkan untuk menjayakan majlis, tetapi juga turut terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Dan sepertimana yang dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2023, Puan Kathy Cheong sebentar tadi, tiga (3) buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penang Fo Yi Haemodialysis Society, Persatuan Syukur Penyayang Pulau Pinang dan Persatuan Rumah Sinar Bukit Mertajam Pulau Pinang telah dipilih untuk menerima bantuan daripada PDC sempena perayaan kali ini.

Semoga dengan bantuan ini dapat memberikan sedikit keceriaan dan sinar kebahagiaan dan secara tidak langsung juga meringankan beban golongan berkaitan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai sebuah organisasi yang mempunyai kepelbagaian latar belakang kaum dan agama, keunikan melalui penganjuran acara tradisi inilah sebenarnya yang menjadi kekuatan PDC untuk terus kekal relevan sehingga hari ini.

Saya berharap budaya dan tradisi unik ini akan terus dikekalkan sebagai medium dan platform bukan sahaja untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain tetapi juga mengekalkan suasana harmoni dan muhibah dalam kalangan warga PDC.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagaimana signifikasi Tahun Baru Cina yang melambangkan titik permulaan nasib baharu dalam kehidupan, begitu jua tekad dan keazaman kita semua dalam menempuhi tahun baharu 2023 ini.

Meskipun senario ekonomi dunia kian mencabar yang menuntut untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan, namun kita bersyukur proses pemulihan dan kelangsungan ekonomi di negeri ini berjalan dengan baik sekali.

Dengan jalinan kerjasama yang baik antara semua agensi terutama PDC yang merupakan agensi pembangunan sosio-ekonomi terpenting di negeri ini, Kerajaan Negeri yakin Pulau Pinang berada di atas landasan yang betul untuk terus memacu pembangunan yang berkualiti demi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat Pulau Pinang, selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Saya percaya PDC kini sedang melaksanakan strategi baru terutamanya dalam pembangunan sektor perindustrian bagi memenuhi keperluan para pelabur di samping menambahbaik kawasan-kawasan pembangunan sedia ada untuk diteliti sebagai usaha tambahan untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti prasarana bagi kemudahan dan keselesaan warga negeri ini secara umumnya.

Tahun 2022 telah dilalui dengan pencapaian keseluruhan projek strategik PDC yang amat memuaskan di mana fokus PDC adalah lebih kepada projek-projek pembangunan yang memberi impak yang besar kepada PDC dan sudah tentunya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Untuk tahun 2022 juga, pencapaian sebenar Bajet Aliran Tunai PDC adalah sebanyak 99% untuk penerimaan manakala prestasi perbelanjaan sebanyak 68%, yang demikian menyebabkan surplus sebanyak RM244 juta berikutan prestasi cemerlang penerimaan.

Sehubungan dengan itu, PDC telah membuat penyelesaian awal pinjaman berjangka sejumlah RM68 juta dan pinjaman Kerajaan Negeri sebanyak RM14 juta, tindakan ini memberi penjimatan faedah sejumlah RM2.6 juta. Syabas diucapkan!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi tahun 2023, tumpuan PDC adalah bagi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi dan menceburi peluang perniagaan yang baru yang mana dapat meningkatkan pendapatan PDC secara berterusan serta keyakinan pihak pelabur kepada keupayaan PDC sebagai ‘Project Manager’ dan rakan niaga yang dinamik. Antara projek-projek berimpak tinggi yang sedang diteliti untuk diceburi adalah Pembangunan Taman Perindustrian Baru, Linear Waterfront, Distribution Park, projek rumah pekerja, Eco-Tourism, Medical Hub, dan sebagainya.

Dengan Pelan Strategik PDC yang telah digariskan ini, saya yakin dan percaya tindakan susulan ini mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini. Semoga penganjuran majlis pada hari ini menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk memperbaharui semangat dan komitmen demi daya tahan dan kejayaan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang