MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, TADIKA DI SEKOLAH TAMIL DAN SEKOLAH PUNJABI TAHUN 2023

UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, TADIKA DI SEKOLAH TAMIL DAN SEKOLAH PUNJABI

TAHUN 2023

 

9 FEBRUARI 2023

AUDITORIUM A, KOMTAR

YB Tuan Prof. Dr. P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

YB Soon Lip Chee

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Dato' Dr. K. Anbalakan

Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang

Barisan guru besar, guru-guru, para guru tadika, pengerusi-pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Tamil Pulau Pinang;

Wakil-wakil sekolah-sekolah Punjabi Pulau Pinang;

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan  ini untuk mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Penyampaian Cek Bantuan kepada Sekolah-Sekolah Tamil, Tadika Di Sekolah Tamil dan Sekolah Punjabi Tahun 2023 yang telah diatur pada pagi yang berbahagia ini.

Dua (2) hari lepas kita telah pun menyelesaikan pemberian bantuan kewangan tahunan ini kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Cina Persendirian, dan hari ini pula tibalah giliran 50 buah sekolah di bawah aliran Tamil.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, sebanyak RM2,390,000.00 telah diperuntukkan dengan pecahan adalah seperti berikut:-

(i) 28 Sekolah Tamil                  : RM2,000,000.00

(ii) 19 Tadika di Sekolah Tamil  : RM150,000.00

(iii) 3 Sekolah Punjabi                : RM90,000.00

(iv) Peruntukan Tabung Khas

     Jawatankuasa Khas

     Sekolah Tamil                     :RM150,000.00

Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penyelaras atas komitmen yang telah diberikan bagi memastikan kelancaran proses ini, dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil, guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Masa berlalu pantas, dan ini bermakna sudah 15 tahun kita telah berkolaborasi bagi memastikan pengurusan peruntukan serta proses penilaian dan penyampaian tugasan tahunan ini berjalan dengan baik sekali. Tahniah dan syabas kepada semua!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sama seperti yang telah disampaikan pada majlis dua (2) hari yang lepas, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa bantuan yang diberikan ini hanyalah berupa peruntukan tambahan daripada peruntukan utama yang sudah tentunya daripada Kerajaan Persekutuan.

Meskipun jumlahnya mungkin tidak banyak, tetapi inilah komitmen Kerajaan Negeri supaya kita sama-sama dapat menggerakkan yang terbaik dari segi penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang optimum demi keselesaan serta suasana Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang lebih kondusif dan terjamin.

Hari ini, kita boleh berbangga dengan transformasi yang telah berjaya dilaksanakan di mana sekolah-sekolah Tamil di negeri Pulau Pinang adalah antara sekolah Tamil yang terbaik di negara ini dari segi kemudahan asas dan infrastruktur fizikal.

Ini bermakna usaha kita selama ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak sekolah, termasuklah menyokong penekanan ke arah meningkatkan kemudahan ICT di sekolah-sekolah Tamil sejak beberapa tahun yang lepas di mana sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang telah dibekalkan dengan kemudahan ICT termoden seperti Computers, LCD Projectors, vizualizer, SWIPE dan 21st Century Smart Boards dan tidak lagi bergantung kepada chalk and talk sahaja.

Malah, saya difahamkan pihak guru-guru juga telah diberi latihan untuk menggunakan kemudahan ini dengan lebih efektif.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya amat berbesar hati untuk mengumumkan satu berita baik khas yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan sebidang tanah seluas empat (4) ekar di Taman Bagan, Butterworth untuk sekolah Tamil ke-29 di Pulau Pinang.

Tapak sekolah ini terletak di Taman Bagan, Seberang Perai Utara (SPU), bersebelahan Lot 5083 dan 5084, Seksyen 3, Bandar Butterworth.

Saya kira inilah berita yang amat dinantikan dan kita berharap dengan kelulusan tanah yang telah dimuktamadkan ini membolehkan proses penempatan semula SJKT Ladang Badenoch dari Kuala Ketil, Kedah ke Taman Bagan, Pulau Pinang akan dimulakan dengan segera. 

Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan majlis ini.

Semoga apa yang dilakukan pada hari ini dapat memberi manfaat untuk masa hadapan yang lebih baik kepada anak-anak pelajar kita, sekaligus menjadi langkah permulaan untuk pelaburan modal insan yang baik kepada negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang