MAJLIS ANUGERAH MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK) TERBAIK PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG PENGGAL 2021/ 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK) TERBAIK PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
PENGGAL 2021/ 2022
10 FEBRUARI 2023
HOTEL CITITEL, GEORGETOWN
YB Dato’ Ir. Haji Zakiyuddin bin Abd Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh
Ahli Parlimen Bukit Gelugor
Merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang
Pegawai-Pegawai Daerah
Para Pengerusi, Setiausaha & Ahli-Ahli MPKK Negeri Pulau Pinang
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir ke Majlis Anugerah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang Penggal 2021/2022 pada malam yang berbahagia ini.
Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur dan urus setia dari Pejabat Timbalan Ketua Menteri (I) dan Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan kelancaran majlis ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana yang semua sedia maklum, Majlis Anugerah yang diadakan pada setiap dua (2) tahun sekali ini adalah sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan oleh pasukan MPKK ini di peringkat komuniti.
Berperanan sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri, anda semua merupakan jentera barisan hadapan yang sangat penting dalam menyalurkan maklumat dan dasar serta mendapatkan input keperluan pembangunan dan aduan berkaitan bagi kawasan seliaan masing-masing untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.
Justeru, Kerajaan Negeri amat menghargai kerja keras dan kesediaan kesemua 375 pasukan MPKK yang ada di negeri ini dalam memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan berpaksikan kepada komitmen dan kesungguhan yang tinggi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini, perkhidmatan MPKK Penggal 2021/2022 yang telah tamat pada 31 Disember 2022 yang lalu, akan dilanjutkan sehingga 30 September 2023 bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan MPKK seiring dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum dibubarkan.
Dengan ini, adalah diharapkan anggota MPKK dapat memanfaatkan tempoh pelanjutan ini untuk terus menyantuni komuniti di kawasan masing-masing dengan pelbagai program yang bermanfaat untuk penduduk kawasan masing-masing.
Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa sentiasa menghargai peranan yang dilaksanakan oleh pihak MPKK melalui pelbagai inisiatif termasuk kenaikan Elaun Kehadiran Mesyuarat (EKM) daripada RM50.00 kepada RM100.00 dan pemberian Elaun Bendahari sebanyak RM300.00 setiap bulan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Melalui Pertandingan MPKK Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang ini, kita dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak MPKK yang mempunyai pasukan yang sangat ideal dan sentiasa bekerjasama secara kolektif demi menjadikan MPKK masing-masing tersusun dalam aspek pengurusan dan operasi, sekaligus memberi impak dari segi perkhidmatan kepada penduduk kawasan masing-masing.
Walaupun dengan adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah, namun pertandingan ini telah menunjukkan pengurusan dan operasi setiap MPKK telah mencapai satu tahap yang lebih baik dalam pengurusan organisasi.
Adalah diharapkan dengan dengan segala bentuk penghargaan dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini, ia dapat meningkatkan lagi semangat Anggota MPKK dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komited, berintegriti dan adil kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, keturunan dan pegangan agama.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada para pemenang yang akan diumumkan sebentar nanti. Semoga semangat yang ditunjukkan semasa pertandingan ini diteruskan dan menjadi pemangkin semangat untuk pasukan MPKK lain dalam mencipta kejayaan pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.