PROGRAM MINI KARNIVAL OKU PERTUBUHAN PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK) PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PROGRAM MINI KARNIVAL OKU PERTUBUHAN PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK) PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

18 FEBRUARI 2023 (SABTU)

ROBINA ECO PARK, TELUK AIR TAWAR

YB Phee Boon Poh

Exco Kebajikan dan Alam Sekitar

YB Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

 

YB Puan Aiman Athirah Binti Sabu

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

 

YB Dato' Mustafa Kamal Bin Ahmad

Adun Teluk Air Tawar

YB Dato' Muhammad Bakhtiar Bin Wan Chik

Ahli Parlimen Balik Pulau

Ybrs. Puan Rosmahwati Binti Ishak

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

Encik Zakaria Bin Taib

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan, Peringkat Negeri dan Persekutuan

Pegawai-Pegawai Kanan, Peringkat Negeri dan Persekutuan

Pengerusi-Pengerusi, Para Penyelia dan Petugas, Pertubuhan Dalam Komuniti (PPDK)

Pelatih-Pelatih PPDK bersama keluarga yang diraikan

Para hadirin yang saya hormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang yang telah menganjurkan Program Mini Karnival OKU Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Peringkat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.

Setelah dua (2) tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, hari ini kita semua berpeluang untuk kembali memeriahkan acara tahunan yang penuh bermakna ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selain penyertaan dan penglibatan daripada keseluruhan 24 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) beserta pelatih dan ahli keluarga, saya gembira program pada hari ini turut mendapat perhatian dan kerjasama yang cukup baik daripada sektor-sektor korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada di negeri ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong agenda pembangunan OKU, sekaligus memastikan tidak istilah dipinggir atau terpinggir dalam kalangan mereka yang cukup teristimewa ini.

Saya pasti dan percaya dengan kolaborasi dan jalinan kerjasama inilah sebenarnya yang menjadi asas dalam membentuk keunikan dan kekuatan ikatan perpaduan yang ada di negeri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Meskipun dilihat mempunyai kekurangan secara fizikalnya, namun ini bukan alasan untuk kita meminggirkan kelompok OKU ini.

Sehingga Februari 2023, statistik menunjukkan bahawa Pulau Pinang mempunyai seramai 34,445 Orang Kurang Upaya (OKU) yang telah berdaftar.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada masyarakat di luar yang mempunyai kenalan atau ahli keluarga dalam kalangan OKU untuk mendaftar kerana pendaftaran ini amat penting bagi kita mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU, sekaligus membolehkan kita merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan yang bersesuaian dengan mereka ini.

Kita tidak mahu golongan ini tercicir kerana mereka juga berhak untuk mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Saya pasti pelbagai program dan inisiatif berkaitan ada pada masa kini, termasuklah pemberian insentif kepada golongan OKU melalui Program Bantuan I-Sejahtera yang telah diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi.

Pada peringkat permulaan, nilai sumbangan sebanyak RM100 setahun diberikan kepada pemegang kad OKU yang bermastautin di negeri ini. Bermula pada tahun 2018, nilai sumbangan telah ditingkatkan kepada RM130, kemudian RM150 dan mulai 2022, nilai sumbangan adalah sebanyak RM200 setahun.

Sehingga 14 Februari 2023, jumlah penerima Program Bantuan OKU I-Sejahtera adalah seramai 109,344 orang penerima di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM14.04 juta bagi tujuan tersebut.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Suka untuk saya menarik perhatian semua ketika Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang berlangsung di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Putrajaya pada 3 Disember yang lalu, Puan Rosidah binti Abu Bakar yang merupakan Penyelia di PDK Permata Intan telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah JOB Coach Unggul.

Tahniah dan syabas sekali lagi kepada Puan Rosidah binti Abu Bakar.

Sesungguhnya kejayaan manis ini bukan sahaja mengharumkan nama baik PDK di negeri ini, tetapi juga telah membuktikan penyelia-penyelia di PDK negeri ini adalah daripada mereka yang cukup berkaliber, berpengalaman dan profesional sekali dalam mengendalikan hal-hal ehwal PDK.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Mini Karnival OKU PDK Negeri Pulau Pinang ini.

Semoga dengan komitmen, kerjasama dan jalinan ini mampu memberikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan kepada golongan OKU dalam usaha membangunkan OKU untuk lebih produktif dalam kehidupan.

Dengan ini saya merasmikan Program Mini Karnival OKU PDK Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang