PENGANJURAN KARNIVAL MADANI KITA BERSAMA KADUN BUKIT TENGAH

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA PENGANJURAN KARNIVAL MADANI KITA BERSAMA KADUN BUKIT TENGAH

25 FEBRUARI 2023 | 12 TENGAH HARI |

DEWAN MPKK BUKIT MINYAK

________________________________________________

YB Gooi Hsiao-Leung

ADUN Bukit Tengah

Chew Chin Ewo

Pengerusi MPKK Bukit Minyak

Lim Lai Kim

Pengerusi MPKK Kampung Baru Juru

Wakil-wakil yang bersama menjayakan penganjuran pada hari ini:-

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Tengah

Penang Digital

Perbadanan Pembang;unan Wanita Pulau Pinang (PWDC)

Perpustakaan bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang

Zakat Pulau Pinang

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seberang Perai Tengah

Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah

Klinik Kesihatan Bukit Minyak

Pejabat PERKESO Negeri Pulau Pinang

Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang

Barisan media dan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Selamat tengah hari dan salam sejahtera,

Sebagai pembuka kata, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Gooi Hsiao-Leung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah dan sekalung penghargaan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak, MPKK Kampung Baru Juru dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) KADUN Bukit Tengah atas jemputan ke Karnival Madani Kita Bersama KADUN Bukit Tengah pada hari yang berbahagia ini.

Saya dimaklumkan bahawa karnival ini bakal berlangsung selama empat (4) minggu berturut-turut iaitu pada setiap hari Sabtu membabitkan lokasi yang berbeza seluruh KADUN ini. Sebelum ini, karnival berkaitan telah berlangsung serta dilancarkan pada minggu lalu di Kampung Sungai Semilang, diikuti minggu ini iaitu hari ini di Bukit Minyak, dan seterusnya adalah di Taman Mangga dan Bukit Tengah.

Melalui pelbagai program yang telah diatur termasuk usaha sama 17 agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam menjayakan sesi pameran serta kaunter pelanggan, ia secara tidak langsung telah memudahcarakan komuniti setempat dalam mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat terperinci berhubung pelbagai perkhidmatan ditawarkan.

Saudara dan saudari sekalian,

Umumnya, penganjuran sebegini sememangnya merupakan instrumen terbaik untuk menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah. Malah, adalah menjadi harapan kita di sini agar pendekatan-pendekatan berkenaan dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya khususnya dalam ikatan kerjasama negeri Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan.

Mengambil peluang ini, sebagaimana saya bahaskan di Dewan Rakyat Selasa lalu, sekali lagi saya ingin tekankan bahawa berlandaskan prestasi sama ada pada aspek pelaburan domestik serta asing, pengeksportan, jumlah kutipan cukai, rekod pembayaran hutang negeri, laporan audit negara dan lain-lain berkaitan, Pulau Pinang merupakan antara yang terbaik.

Dalam pada itu, kita juga berjaya mengekalkan kedudukan tersebut walaupun dalam tempoh pandemik dan jua di kala dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Justeru, adalah wajar sekiranya Pulau Pinang memohon supaya Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian kepada negeri kita ini.

Lazimnya, Pulau Pinang tidak pernah menafikan bahawa usaha pemulihan pembangunan ekonomi dalam pasca endemik adalah memerlukan suntikan serta sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan, justeru, perhatian dan juga kerjasama dalam meningkatkan keperluan serta jaringan infrastruktur serta projek-projek mega yang tergendala sebelum ini adalah amat diperlukan demi pembangunan masa depan negeri dan secara tidak langsung negara Malaysia.

Hadirin sekalian,

Sebagai penutup kata, saya juga ingin berterima kasih atas komitmen penuh yang dicurahkan oleh pasukan MPKK setempat yang sentiasa memainkan peranan sebagai pengantara antara rakyat dan juga Kerajaan Negeri. Tanpa komitmen anda, Kerajaan Negeri tidak mampu mencapai kedudukan hari ini. Tahniah juga atas usaha menjayakan outreach pada hari ini demi mendekati lagi komuniti setempat.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Madani Kita Bersama KADUN Bukit Tengah.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang