SAMBUTAN HARI BUMI 2023

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA SAMBUTAN HARI BUMI 2023

 

25 MAC 2023

STRAITS QUAY

 

YB. Tuan Phee Boon Poh

EXCO Alam Sekitar dan Kebajikan merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council

 

YBrs. Puan Josephine Tan Mei Ling

Pengurus Besar Penang Green Council

YBrs. Puan Christine Choo

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Earth Day 2023

YBrs. Puan Peggy Teh

Presiden Pertubuhan Junior Chamber International United Penang

Lembaga Pengarah Penang Green Council

Penganjur Bersama, Para Penaja dan Rakan Sokongan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Penang Green Council (PGC) yang telah menggerakkan program Sambutan Hari Bumi 2023 pada petang yang berbahagia ini.

Meskipun diadakan lebih awal daripada tarikh sebenar sambutan ini yang lazimnya diraikan pada 22 April, namun mesej yang cuba disampaikan sangat jelas, lebih-lebih lagi seiringan dengan krisis perubahan iklim yang amat ketara sejak kebelakangan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Setiap daripada kita mempunyai tugas dan peranan yang amat penting bagi menyemai rasa cinta dan tanggungjawab untuk melindungi bumi dan alam sekitar.

Justeru, selaras dengan tema tahun ini iaitu Invest In Our Planet!, saya berharap semua yang hadir pada hari ini dapat menjadi role model bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga dan orang sekeliling yang terdekat ke arah alam sekitar yang lebih lestari.

Kita membuat pelaburan dan simpanan kewangan sebagai persiapan untuk persaraan kelak bagi memastikan hari tua kita terjaga dengan baik dan sebagai investment atau pelaburan kepada alam sekitar, inilah masanya untuk kita menelusuri apa yang telah terjadi kepada alam sekitar kita yang diakibatkan oleh perubahan iklim.

Baru-baru ini, Auckland telah mengalami 'peristiwa iklim terbesar' dalam sejarah apabila New Zealand menerima hujan lebat selama beberapa hari sehingga menyebabkan banjir di jalan-jalan utama dan lapangan terbang.

Tanah runtuh dan lubang benam yang berlaku di sekitar bandar telah mengakibatkan berlakunya kerosakan kepada kenderaan, kediaman dan menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal.

Krisis iklim seperti ini bukan sahaja menjejaskan kelangsungan hidup rakyat, tetapi juga keadaan ekonomi seperti kenaikan harga untuk makanan segar, kadar sewa, pengangkutan, tenaga buruh dan sektor pembinaan.

Kita berharap pengalaman ini dapat membuka mata semua agar mengatasi masalah global sementara ia belum berada di tahap kritikal, berbanding daripada mengatasinya semasa ia sudah terlambat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di Pulau Pinang, aspek penghijauan negeri sentiasa menjadi agenda utama dan selaras dengan tema Hari Bumi 2023 ini juga, Kerajaan Negeri telah membuat 'pelaburan' melalui Visi Penang2030 yang saya perkenalkan pada tahun 2018 dan juga melalui Agenda Hijau Pulau Pinang 2030.

Kedua-dua dasar ini menyentuh isu-isu utama alam sekitar yang sangat penting, sebagai manifestasi untuk mewujudkan negeri yang hijau dan pintar yang dapat dijadikan sebagai inspirasi kepada negara dengan harapan ianya dapat menzahirkan penyelesaian kepada masalah sedia ada.

Bersesuaian dengan tema D – dengan melabur dalam persekitaran terbina seperti yang terkandung dalam Visi Penang2030, kita dapat meningkatkan daya tahan Pulau Pinang untuk menghadapi cabaran mendatang yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Tema D4 ini juga adalah tepat pada sasaran iaitu bagi melaksanakan langkah-langkah bertepatan untuk menangani apabila Pulau Pinang berdepan dengan dua (2) ancaman utama iaitu tekanan haba serta banjir yang berpunca daripada hujan terlalu lebat.

Melalui rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha ke arah melestarikan negeri, termasuklah aktiviti penghijauan di mana sebanyak 500,364 pokok telah ditanam iaitu 250 peratus melebihi daripada sasaran, iaitu  sebanyak 200,000 pokok di Pulau Pinang menjelang tahun 2030.

Justeru, Kerajaan Negeri berharap semangat bagi Hari Bumi ini bukan setakat hari ini tetapi akan terus dikekalkan secara berterusan sehingga ia menjadi gaya hidup rakyat untuk lebih prihatin terhadap alam sekitar, sekaligus merealisasikan hasrat dan impian bersama ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, acara simbolik hari istimewa ini  sudah tentulah aktiviti switch off semua lampu selama 60 minit iaitu bermula dari jam 8.30 sehingga 9.30 malam, di mana akan turut disertai oleh 75 premis di seluruh Pulau Pinang, termasuk Straits Quay pada malam ini sebagai sebahagian daripada gerakan kolektif PGC dalam menyatukan kita semua di bawah  satu tujuan yang baik.

Oleh itu, saya ingin mengajak anda semua warga negeri khususnya untuk bersama-sama menyambut Hari Bumi dengan cara dan mengikut kesesuaian masa sendiri sama ada di tempat kerja mahupun di kediaman masing-masing. 

Walaupun Kerajaan Negeri sentiasa memberi pendidikan awam dan melaksanakan pelbagai inisiatif hijau yang sewajarnya kepada umum, namun tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah secara semua. Rakyat, khasnya, perlu lebih sedar dan bertanggungjawab dalam semua perkara agar memberi kesan positif dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Penang Green Council (PGC), JCI dan rakan-rakan kerjasama yang telah terlibat dalam menjayakan program pada hari ini.

Semoga Sambutan Hari Bumi ini akan terus memberikan impak yang signifikan untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran alam sekitar, di samping menjadikan kita lebih prihatin, lebih bertanggungjawab dan lebih menyayangi Bumi yang diduduki ini.  

Selamat Hari Bumi 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang