MAJLIS PERASMIAN BAZAR RAMADAN PRANGIN MALL 2023
UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BAZAR RAMADAN PRANGIN MALL 2023
24 MAC 2023
PRANGIN MALL
YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan
YB Teh Lai Heng
ADUN KOMTAR
YBhg. Dato' Ar. Yew Tuang Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Dato H’ng Ban Choon
Pengerusi Penganjur Prangin Mall - JMB Bazar Ramadan Terbesar di George Town 2023
Dato’ Jaafar bin Abdul Ghani
Pengurus Besar ADABI
Encik Fazil Irwan Som
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International Sdn Bhd
Rakan-rakan media
Para Peniaga Bazar Ramadan Prangin Mall
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang, Salam Sejahtera & Salam Ramadan kepada semua.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Prangin Mall – JMB atas jemputan sempena Majlis Perasmian Bazar Ramadan 2023 pada petang yang berbahagia ini.
Sebagai penganjur utama, saya ingin ucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi Penganjur, Yang Berusaha Dato’ H’ng Ban Choon dan pasukannya atas segala komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan bagi memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran bazar Ramadan yang terbesar di George Town buat tahun kedua ini.
Selepas kejayaan penganjuran pada tahun lepas, tahun ini sambutan yang diterima masih menggalakkan, di mana kesemua 80 tapak bazar yang disediakan di Landskap A, Prangin Mall ini telah pun penuh dengan pelbagai aktiviti perniagaan.
Saya kira keadaan ini secara tidak langsung memberikan sedikit kelegaan dan juga gambaran positif kepada para peniaga sebagai ruang untuk bangkit semula bagi menyemarakkan kegiatan ekonomi masing-masing.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kemeriahan bazar Ramadan sememangnya adalah antara aktiviti yang ditunggu-tunggu menjelang ketibaan bulan Ramadan. Ia merupakan program yang amat unik bukan sahaja di kalangan orang Islam, tetapi juga turut menarik orang bukan Islam untuk tidak melepaskan peluang bagi mengunjungi bazar ini.
Memandangkan lokasi penganjuran bazar ini sangat strategik dan merupakan antara kawasan tumpuan utama, saya kira ia mampu memberikan sedikit kelebihan kepada para peniaga.
Justeru, saya ingin menyeru kepada pihak penganjur dan juga para peniaga untuk memastikan aspek keselamatan dan kebersihan sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini sehingga boleh menggangu pengoperasian bazar ini secara keseluruhannya.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah sekali lagi kepada pihak pengurusan Prangin Mall – JMB dan semua yang telah terlibat dalam menjayakan bazar Ramadan ini.
Sekian, terima kasih.