MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PERARAKAN PERAYAAN CHINGAY, TARIAN SINGA DAN NAGA 2023

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PERARAKAN PERAYAAN CHINGAY,

TARIAN SINGA DAN NAGA 2023

 

11 MAC 2023

 

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

YB Yeoh Soon Hin

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE)

Konsul Jeneral – Konsul Jeneral

Konsul Kehormat – Konsul Kehormat

Para Jemputan

Para Peserta

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berkumpul di majlis yang penuh warna-warni dan meriah ini bagi menyaksikan Perarakan Chingay, Tarian Singa dan Naga 2023.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, suka untuk saya merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada YB Yeoh Soon Hin, selaku Exco bertanggungjawab bersama pasukan PETACE yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan majlis ini dapat berlangsung dengan jayanya.

Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kerana sudi melapangkan masa bagi bersama-sama menyaksikan kemeriahan acara yang cukup unik di negeri kita.  

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana yang semua sedia maklum, acara ini sepatutnya diadakan menjelang ambang tahun baharu 2023 yang lalu, namun begitu terpaksa ditangguhkan bagi menghormati keadaan semasa negara yang dilanda musibah banjir besar.  

Meskipun begitu, hari ini saya gembira melihat komitmen dan dedikasi semua pihak, terutama para peserta yang terdiri daripada 12 pasukan Chingay, 15 pasukan tarian singa dan 6 pasukan tarian naga yang beraksi dengan cukup bersemangat dan bertenaga sekali.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin yang dihormati sekalian,

Chingay adalah salah satu seni budaya masyarakat Cina yang sangat unik dan mempunyai tarikan serta keunikannya yang tersendiri. Begitu juga dengan warisan dan budaya dalam tarian singa dan naga yang tidak kurang hebatnya sehingga telah menarik minat kaum lain untuk turut menyertainya.

Sebagai negeri yang berbilang kaum, kita amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan yang membuktikan negeri Pulau Pinang bukan sahaja kaya dengan khazanah alam tetapi juga dengan kebudayaan dan kesenian. 

Dalam konteks kita di negeri Pulau Pinang, walaupun kita berbeza dalam budaya dan kepercayaan, kita kena rasa bangga kerana dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan saling menghormati.

Inilah matlamat tersirat yang diperolehi melalui penganjuran acara pada malam ini.

Diharapkan dengan penganjuran program sedemikian, kita dapat meningkatkan kesedaran akan kepentingan perpaduan sesama kita yang telah menjadi teras kepada kestabilan dan kelangsungan politik, ekonomi dan sosial negara.

Marilah kita bersama-sama menghayati nilai-nilai perpaduan, kepelbagaian, dan kreativiti semasa kita menyaksikan perarakan ini menggunakan nilai-nilai ini sebagai pemangkin kepada perubahan positif dalam komuniti kita.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pejabat PETACE dan semua yang telah menyumbang tenaga, masa dan idea dalam menganjurkan perayaan ini. Semoga kita semua dapat terus bersama-sama untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa depan.

Dengan ini, saya merasmikan Majlis Perarakan Perayaan Chingay, Tarian Singa dan Naga 2023.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang