MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN MASJID MENGKUANG TITI, BUKIT MERTAJAM OLEH YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA

TEKS UCAPAN

 

YAB TUAN CHOW KON YEOW

 KETUA MENTERI PULAU PINANG

 

BERSEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN MASJID MENGKUANG TITI, BUKIT MERTAJAM OLEH

YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

                   14 APRIL 2023, JUMAAT       

                 MENGKUANG TITI

Terima kasih saudara/saudari pengacara majlis.

(SALUTASI)

 

 

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang dapat bersama-sama dalam Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi pada pagi yang berbahagia ini.

Mengambil peluang ini, saya mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang dan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri mengucapkan selamat datang dan selamat kembali kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke Pulau Mutiara.

Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada YAB Dato’ Seri atas kesudian menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada pagi ini walaupun terikat dengan jadual harian yang agak padat.

Dalam pada itu, tahniah dan syabas diucapkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang  (MAINPP) atas usaha merealisasikan pembinaan masjid ini yang pastinya memberi manfaat kepada umat Islam di Daerah SPT, khususnya penduduk Mengkuang Titi, Bukit Mertajam.

YAB Dato’ Seri, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian,

Sebagai makluman, khariah Mengkuang Titi asalnya merupakan sebahagian daripada khariah Mengkuang Semarak dengan keseluruhan penduduk dianggarkan berjumlah 6,000 orang dan meliputi kawasan yang amat luas.

Terdapat empat (4) institusi pembelajaran di kawasan ini yang terdiri daripada sekolah rendah serta madrasah, malah kawasannya turut meliputi  beberapa buah kampung  dan taman iaitu Kampung Mengkuang Titi, Taman Malwira, Taman Mengkuang Indah serta Taman Seri Akasia, dan sehingga kini, tiada masjid didirikan di kawasan ini.

Justeru, mewakili penduduk di sini dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, kami amat bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas kelulusan YAB Perdana Menteri berhubung pembinaan masjid ini, yang mana ia akan diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (ICU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Secara dasarnya, ICU, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MAINPP merupakan pihak-pihak yang bertanggungjawab menguruskan pembangunan masjid ini yang dijangka bermula pada awal 2024 dan dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun.

Dengan reka bentuk bangunan dua (2) tingkat, Masjid Mengkuang Titi dijangka mampu menampung sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Terletak di atas tanah berkeluasan 3.2 ekar milik MAINPP, diharapkan masjid ini akan diimarahkan sebaiknya oleh penduduk setempat dengan program-program keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli khariah.

YAB Dato’ Seri, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Sejajar dengan Visi Penang2030 yang digagaskan ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, adalah menjadi pegangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus memperkasakan rakyat negeri ini dengan meningkatkan penyertaan masyarakat setempat.

Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memartabatkan agama Islam dengan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.08 juta iaitu yang tertinggi berbanding sebelum ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan; pembaikan dan naik taraf masjid; surau dan sekolah agama; bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama; bayaran guru KAFA dan pegawai masjid; peruntukan mengurus jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam; peruntukan bagi pelaksanaan program dan majlis agama serta lain-lain berkaitan.

Malah, di samping penganjuran pelbagai majlis rasmi berkaitan agama Islam pada peringkat negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berasa bertuah kerana telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023.

Secara keseluruhan, di pihak Kerajaan Negeri, selain masjid-masjid yang sedang dalam pembinaan sekarang, turut dalam perancangan bagi tahun 2022 sehingga tahun 2025 adalah pembangunan tujuh (7) buah masjid iaitu Masjid Papan di Seberang Jaya; Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth; Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia; Masjid Lama Sungai Bakap dan Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam dengan jumlah pembiayaan oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM18.00 juta.

Semoga dengan segala perancangan yang telah dan sedang dilaksanakan ini akan memberi impak yang baik untuk kesejahteraan kehidupan umat Islam di negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.

YAB Dato’ Seri dan hadirin sekalian,

Di peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita komited untuk meneruskan agenda-agenda pemerkasaan dan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini sebagaimana digagaskan pada peringkat Persekutuan berlandaskan enam (6) rukun Malaysia Madani.

Adalah ditegaskan juga bahawa kita di Pulau Pinang yakin panduan dan ikhtiar secara bersepadu serta holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi Malaysia Madani bakal membina semula ekonomi secara keseluruhan, menjamin kesejahteraan insan, mereformasi institusi demokrasi serta perundangan dan seterusnya mwewujudkan pentadbiran beramanah. 

Malah, kerangka Malaysia Madani yang menyuntik sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban bakal menjadi pemacu kepada kewujudan masyarakat maju serta bertamadun berasaskan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.

Kita di Pulau Pinang akan terus mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat dan melindungi nilai-nilai perpaduan yang sedia terbentuk demi pembangunan negeri secara berterusan. Bak kata pepatah,  ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Sebagai penutup kata, sekali lagi saya ucapkan sekalung penghargaan kepada YAB Dato’ Seri atas kesudian merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, Bukit Mertajam pada hari ini. Pulau Pinang sentiasa bersedia memberikan kerjasama utuh khasnya dengan Kerajaan Persekutuan untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan dan juga demi kebaikan serta kebajikan rakyat negeri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang