MAJLIS PERHIMPUNAN AMANAT PERDANA MENTERI BERSAMA PENJAWAT AWAM  PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN AMANAT PERDANA MENTERI BERSAMA PENJAWAT AWAM 

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

 

14 APRIL 2023 | JUMAAT

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM),

CAWANGAN PULAU PINANG,

KAMPUS PERMATANG PAUH

___________________________________________

 

YAB Dato‘ Seri Anwar bin Ibrahim

Perdana Menteri Malaysia

 

YB Lim Guan Eng

ADUN Air Putih Merangkap Ahli Parlimen Bagan

YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail

Menteri Dalam Negeri

YB Dato' Law Choo Kiang

Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/ Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali

Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Dato' Dr. Zulkapli bin Mohamed

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

YB Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian

Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam Ramadan dan Salam Malaysia Madani kepada semua.

  1. Sebagai pembuka kata, saya ingin memanjatkan rasa syukur atas kesempatan bersama YAB Perdana Menteri Malaysia bagi mendengar amanat yang akan disampaikan kepada Penjawat Awam Negeri dan Penjawat Awam Persekutuan di Negeri Pulau Pinang.
  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang kita kasihi, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim atas kesudian dan kelapangan untuk bersama-sama dengan kami pada petang yang berbahagia ini.
  1. Sesungguhnya, kehadiran Yang Amat Berhormat adalah detik yang amat bermakna untuk kami di negeri ini, bukan sahaja bagi menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih komitmen, disiplin dan berintegriti tetapi juga sebagai platform untuk memperbaharui tekad dan meninggikan iltizam ke arah memperbaiki lagi prestasi dan ruang-ruang kelemahan yang wujud.

YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Mendepani situasi semasa, saya sebagai ketua yang mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah polisi pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) berpandukan kepada Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara akan terus komited mendukung gagasan Malaysia Madani cetusan YAB Perdana Menteri.
  1. Justeru, saya berharap semua penjawat awam yang hadir dapat memanfaatkan platform ini untuk mendengar dan meneliti dengan tekun bait-bait amanat yang akan disampaikan sebentar nanti untuk diaplikasikan dalam penugasan harian.
  1. Sememangnya, kita di Pulau Pinang bertuah kerana berada dalam kepimpinan dan landasan yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, dan saya berkeyakinan penuh bahawa dengan jalinan kerjasama yang lebih utuh ini, kita mampu mencipta lebih banyak kejayaan yang membanggakan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Keprihatinan kerajaan tidak seharusnya dipandang remeh dan dianggap retorik, sebaliknya perlu disambut dengan hati terbuka agar segala dasar dan polisi yang digariskan akan menjadi panduan bersama ke arah penyampaian perkhidmatan yang efektif, telus dan berkualiti kepada rakyat.
  1. Sebuah kerajaan yang progresif, responsif serta bergerak pantas semestinya didukung oleh penjawat awam yang sentiasa meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan lain. Penjawat awam yang berpengetahuan dan sentiasa meningkatkan pengetahuan merupakan aset yang paling penting dalam sesebuah organisasi.
  1. Untuk sampai ke tahap ini, tuan-tuan dan puan-puan adalah diseru untuk mencari dan mengelola ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan waktu. Sesungguhnya, cabaran yang dihadapi oleh kerajaan sentiasa bersifat dinamik dan memerlukan kaedah yang bersesuaian dan inovatif untuk mengatasi cabaran mendatang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

  1. Sebagaimana ketegasan dan keseriusan oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri berkaitan isu rasuah, suka untuk saya ingatkan kepada semua yang ada di sini untuk mentafsirkan mesej ini dengan jelas sepanjang melaksanakan tugasan harian. Budaya dan nilai integriti perlu sentiasa disemai dalam diri masing-masing supaya tidak ada siapa pun dalam kalangan kita yang tergelincir ke dalam kancah rasuah ini.
  1. Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan prihatin dengan kebajikan penjawat awam dan sentiasa menyokong dasar-dasar yang membantu mengurangkan bebanan penjawat awam. Pelbagai inisiatif telah diambil sewajarnya mengikut kemampuan di pihak kerajaan.
  1. Kita akui tidak semua perkara dapat diselesaikan serentak, ianya memerlukan perancangan yang teliti, namun komitmen kerajaan tidak pernah luntur. Pandangan serta buah fikiran tuan-tuan dan puan-puan adalah sangat diperlukan dan juga akan sentiasa didengar dan dihargai kerana kekuatan kerajaan adalah ditunjangi oleh perkhidmatan awam yang berkualiti.
  1. Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Perdana Menteri dan semua yang terlibat dalam merealisasikan majlis ini.
  1. Saya tidak mahu mengambil masa yang lama lagi bagi membolehkan kita sama-sama dapat mendengar amanat dan harapan YAB Perdana Menteri yang akan disampaikan sebentar nanti. Semoga apa yang disampaikan nanti dapat menjadi pedoman dan panduan kepada kita semua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang