PROGRAM CERIA KE SEKOLAH (CKS) TNB PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PROGRAM CERIA KE SEKOLAH (CKS) TNB PULAU PINANG

 

16 APRIL 2023 (AHAD)

DEWAN LEE SIH CHONG SOO

 

Yang Berusaha Tuan Haji Ismail Lathifi

Pengurus Besar Negeri, State Stakeholder Affairs Pulau Pinang

Para Pengurusan TNB

Para Ibu Bapa/Waris dan murid yang diraikan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan rasanya tidak terlewat untuk saya ucapkan Salam Ramadan kepada rakan-rakan yang beragama Islam.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah meneruskan inisiatif bantuan persekolahan melalui Program Ceria ke Sekolah (PCK) di negeri Pulau Pinang, khususnya KADUN Padang Kota pada pagi yang berbahagia ini.

Ini merupakan lokasi kedua yang dipilih oleh TNB, selepas majlis sama telah diadakan di Sekolah Rendah Pengkalan Jaya, Tasek Gelugor.

Sesungguhnya kami di Pulau Pinang amat berbesar hati dan gembira dengan tawaran penganjuran program sebegini, sebagai salah satu bentuk bantuan secara terus bagi menyantuni anak-anak yang memerlukan.

Saya percaya bentuk bantuan ini juga adalah satu cerminan budaya korporat TNB yang sentiasa prihatin dan bersedia dalam berkongsi kemakmuran dengan masyarakat, tambahan lagi selepas melalui suatu fasa yang cukup sukar selepas fasa pandemik COVID-19.

Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana yang dimaklumkan, Program Ceria ke Sekolah (CKS) ini telahpun menjadi sebahagian daripada acara tahunan TNB sejak diperkenalkan pada tahun 2013 dan sehingga tahun 2022, seramai 72,115 buah keluarga dari 445 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah dibantu dengan melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM11.5 juta. 

Manakala, untuk tahun ini, sebanyak  RM500,000 telah diperuntukkan bagi membantu lebih 2500 orang murid daripada golongan kurang berkemampuan khususnya di kawasan luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan isi rumah terendah (B40) dalam menyediakan persiapan persekolahan untuk penggal persekolahan tahun 2023.

Pulau Pinang menjadi negeri kedua, selepas Selangor dan di majlis ini, sebanyak RM20,000 telah diperuntukkan bagi membantu 91 buah keluarga di sekitar KADUN Padang Kota akan menerima sumbangan berbentuk baucar pasaraya Mydin bagi membeli barangan persekolahan, antara seperti pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg dan alat tulis. 

Saya berharap dengan sedikit bantuan ini akan meringankan bebanan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa/waris dan memberikan keceriaan kepada anak-anak ini.

Diharapkan juga dengan usaha ini akan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar menghadapi penggal persekolahan 2023 dengan penuh ceria dan bersemangat, dan juga membuka peluang pendidikan yang lebih baik bagi memperolehi kejayaan kelak yang boleh dinikmati bersama oleh seisi keluarga. 

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TNB dan semua yang terlibat dalam menjayakan program hari ini.  

Semoga kerjasama erat yang sedia terjalin di antara TNB dan masyarakat dalam kejiranannya ini akan terus kukuh, mesra dan terpelihara.

Sekian, terima kasih. 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang