MAJLIS IFTAR PERDANA ❤️PENANG DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA ASNAF DI SEBERANG PERAI TENGAH (SPT)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS IFTAR PERDANA ❤️PENANG

DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA ASNAF DI SEBERANG PERAI TENGAH (SPT)

 

16 APRIL 2023

MASJID DAERAH SPT, BANDAR BARU PERDA

________________________________

 

YB Ahli-Ahli  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Ramadan kepada semua.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan rasa syukur atas kesempatan diberikan untuk bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan di hari Ramadan ke-25 sempena Majlis Iftar Perdana ❤️PENANG (LovePENANG) pada petang yang berbahagia ini.  

Meskipun sudah menghampiri penghujung bulan Ramadan, saya gembira dengan sambutan yang diberikan cukup baik sekali. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat dan hadir dalam menjayakan program anjuran Kerajaan Negeri ini.

Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan amat besar ertinya kepada saya dan seluruh jentera kepimpinan Kerajaan Negeri.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sama seperti majlis-majlis berbuka puasa atau iftar yang saya berpeluang hadir sepanjang bulan Ramadan ini, majlis pada hari ini mungkin sedikit istimewa kerana turut dimasukkan konsep LovePENANG yang menjadi platform penyatuan rakyat di negeri ini.

Sepertimana yang semua sedia maklum, kempen LovePENANG telah dilancarkan pada Jun 2022 sebagai salah satu suntikan semangat perpaduan untuk bangkit kembali kepada rakyat negeri ini yang telah diuji serta diduga ketika dilanda pandemik COVID-19.

Pelbagai aktiviti serta inisiatif telah dan sedang direncanakan, di mana elemen-elemen yang bersesuaian dimasukkan agar dapat menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat dan juga membangunkan Pulau Pinang ke suatu tahap yang lebih baik.  

Hadirin yang dihormati sekalian,

Hari ini, kita mensasarkan seramai 1,000 jemputan, dengan beberapa aktiviti telah disusun termasuklah meraikan seramai 50 asnaf di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ini bagi menerima sedikit sumbangan berbentuk bantuan hamper bernilai RM375 setiap seorang yang telah diuruskan oleh Pejabat Zakat and Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT). Saya juga telah dimaklumkan sebagai tambahan, para asnaf juga telah menerima RM600 bantuan zakat setiap seorang pada 10 April 2023.

Semoga dengan perkongsian bantuan ini ia dapat menyemai sifat kasih-sayang dan menerapkan nilai kesederhanaan dalam diri diri setiap daripada kita semua di samping dapat mengembirakan mereka yang menerima bantuan ini.

Lazimnya, saya gembira dengan komitmen serta tanggungjawab yang dimainkan oleh semua pihak yang sentiasa prihatin khususnya kepada golongan kurang berkemampuan demi semangat kekitaan dan juga pengekalan nilai-nilai keharmonian yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan negeri Pulau Pinang yang kita cintai ini.

Tahniah dan syabas kepada semua.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita amat bertuah kerana kerja berpasukan ini telah menjadi tunjang serta kekuatan kepada negeri ini dalam mewujudkan suasana harmoni dan melahirkan komuniti hebat yang sentiasa menyokong aspirasi Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Seperti yang selalu saya tekankan, Pulau Pinang berada atas landasan yang tepat dari aspek pembangunan ekonomi terutama dalam mendepani fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19.

Meskipun begitu, pembangunan sosial adalah sebaliknya yang mana memerlukan lebih banyak perhatian kerana sudah pastinya pelbagai isu sosial wujud dan harus ditangani dengan sewajarnya demi kesejahteraan semua di sini.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan keseimbangan ini dapat dicapai melalui dasar-dasar yang diperkenalkan, termasuklah dengan bantuan ruang usahasama ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Umumnya, penganjuran majlis iftar sebegini sememangnya merupakan instrumen terbaik untuk menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

Malah, adalah menjadi harapan kita di sini agar pendekatan-pendekatan berkenaan dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya khususnya dalam ikatan kerjasama negeri Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan.

Dalam mendepani cabaran yang sukar pada masa kini, komitmen Kerajaan Negeri masih kekal sama untuk memastikan prestasi perkhidmatan yang baik kepada rakyat, termasuklah dalam aspek Hal Ehwal Agama Islam di mana untuk tahun ini, sebanyak RM75.08 juta telah diperuntukkan untuk memperkasakan pembangunan agama Islam.

Peruntukan ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama, bayaran guru KAFA dan pegawai masjid.

Malah, saban tahun pelbagai majlis rasmi agama Islam peringkat negeri Pulau Pinang telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) seperti Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran, Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan Festival Nasyid.

Akhir kata, terima kasih kepada semua yang terlibat dan hadir dalam menjayakan majlis ini. Semoga gerak kerja amal dan semangat kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

          Pahlawan hebat sangat perkasa,

          Jiwanya setia membela bangsa,

          Selamat menunaikan Ibadah Puasa,

          Semoga Pulau Pinang aman Sentosa.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang