MAJLIS BUKA PUASA BERSAMA KANAK-KANAK ISTIMEWA DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN AIDILFITRI ANJURAN PERTUBUHAN KEBAJIKAN IHSAN MUDA NEGERI PULAU PINANG

MAJLIS BUKA PUASA

BERSAMA KANAK-KANAK ISTIMEWA DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN AIDILFITRI

ANJURAN PERTUBUHAN KEBAJIKAN IHSAN MUDA NEGERI PULAU PINANG

 

18 APRIL 2023

DEWAN BALAI RAKYAT BATU LANCANG

Selamat Petang, Salam Sejahtera & Salam Ramadan kepada semua.

  • Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Negeri Pulau Pinang atas undangan ke Majlis Berbuka Puasa yang telah diaturkan pada petang yang berbahagia ini.

 

  • Saya dimaklumkan ini merupakan tahun kedua Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Negeri Pulau Pinang menganjurkan acara berbuka puasa sempena kedatangan bulan Ramadan bersama dengan anak-anak istimewa ini.

 

  • Selain majlis berbuka puasa, 40 anak-anak istimewa yang hadir ini turut akan menerima sedikit sumbangan berbentuk “goody bag” dan duit raya.
  • Semoga bantuan ini dapat memberikan sinar kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak ini.

 

  • Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden, Saudara Arshad dan pasukan yang begitu aktif dan giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berbentuk kebajikan bagi membantu komuniti setempat.

 

  • Di pihak Kerajaan Negeri, kita amat menghargai usaha dan komitmen ini kerana penglibatan dan penyertaan anda semua dalam kalangan belia bagi menjayakan aktiviti kemasyarakatan adalah sangat diperlukan, terutama dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030 melalui pelbagai dasar dan polisi yang berteraskan kebajikan rakyat.

 

  • Semoga gerak kerja amal ini dapat memberikan manfaat kepada semua, terutama kepada golongan sasaran.
  • Selaras dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, adalah menjadi hasrat dan komitmen Kerajaan Negeri agar melalui penglibatan dan penyertaan aktif daripada semua kelompok ini membolehkan segala perancangan dan perincian berkaitan dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan jayanya di samping menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
  • Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Negeri Pulau Pinang dan juga para penyumbang yang telah memberikan komitmen dan juga sokongan yang baik dalam menjayakan majlis ini.
  • Semoga hubungan yang terjalin pada hari ini dapat terus dikekalkan demi pengukuhan ikatan masyarakat dan negeri yang dicintai ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang