KARNIVAL KEBUDAYAAN DAN MAKANAN TRADISI SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2023 PERINGKAT PARLIMEN KEPALA BATAS

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA

KARNIVAL KEBUDAYAAN DAN MAKANAN TRADISI SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2023 PERINGKAT PARLIMEN

KEPALA BATAS

 

PUSAT EKOPELANCONGAN SEBERANG PERAI UTARA, PINANG TUNGGAL

27 APRIL 2023

______________________________________

 

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

 

YB Yeoh Soon Hin

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE)

Yang Berusaha En. Lay Hock Peng

Pengerusi Majlis Merangkap Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri

Wakil-wakil Jabatan dari Agensi Kerajaan Negeri

 

Ahli-ahli Kelab Veteran DAP

Ahli-ahli Persatuan Sukan & Kebudayan Tiong Hua Kepala Batas dan Persatuan Kemajuan Eko Pelancongan SPU Pulau Pinang

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat petang dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di bawah pimpinan Saudara Lay Hock Peng atas penganjuran Karnival Kebudayaan dan Makanan Tradisi Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Peringkat Parlimen Kepala Batas pada petang yang berbahagia ini.

Syukur, atas komitmen bersama semua pihak, karnival serupa yang berjaya dianjurkan buat tahun kedua ini menyaksikan lebih daripada 30 gerai mengambil bahagian bertujuan mempromosi serta mengetengahkan makanan tradisi, produk dan hasil pertanian penduduk tempatan.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sangat terkenal dengan penghasilan produk pertanian yang terdiri daripada pelbagai tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bermutu tinggi, bukan sahaja untuk dijual kepada penduduk tempatan malah juga untuk pasaran ke seluruh Malaysia, sehingga diberi jolokan nama “Cameron Tanah Rata”.

Justeru, dengan penganjuran karnival sebegini, ia dapat dijadikan platform untuk mempromosikan makanan tradisi serta hasil pertanian sekali gus merealisasikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sebagai pusat agropelancongan bukan hanya dalam negeri malah juga pada peringkat antarabangsa kelak.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Walaupun dikenali dengan nama jolokan sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang tidak pernah sesekali menafikan sumbangan sektor pertanian kepada pembangunan negeri ini.

Pertanian mampan merupakan hala tuju Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian sekali gus bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di negeri ini. Malah, serentak itu juga, ia adalah bagi membolehkan penggiat sektor pertanian seperti petani, penternak dan agroprenuer muda setempat menjana pendapatan yang kukuh dan menguntungkan.

Antara hala tuju tersebut termasuk menyediakan khidmat pengembangan teknologi pertanian, pembangunan dan naik taraf pusat kecemerlangan teknologi pertanian, pembangunan tanaman padi, buah-buahan dan sayuran, pembangunan industri pemprosesan makanan serta lain-lain inisiatif berkaitan bagi memastikan industri pertanian di negeri ini dapat berkembang sebagai antara penyumbang penting ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

Malah, selaras dengan itu juga, pembangunan sektor pertanian terus dipacu oleh Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2030 yang mana objektif pembangunan subsektor agromakanan adalah memastikan bekalan bahan asas makanan mencukupi, tersedia dan selamat dimakan. Justeru, bagi mengukuhkan rantaian nilai bekalan makanan sedia ada, terdapat perancangan bagi menambah kawasan tumpuan pengeluaran tanaman makanan seperti yang telah dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Ara Kuda dan Mayfield serta di Taman Pertanian Permatang Pauh dan Batu Kawan.

Perancangan berkaitan memberi penekanan kepada pembangunan pertanian moden menggunakan aplikasi teknologi agromakanan, seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai TKPM 2 Ara Kuda, seluas 147 ekar.

Umumnya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti produk melalui program-program pengembangan dan projek pembangunan pertanian. Momentum pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada beberapa faktor seperti sosioekonomi dan perkembangan teknologi pertanian ke arah mereaslisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu sebagai sebuah Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri telah menerima peruntukan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM6.25 juta bagi 16 projek dan program pembangunan pertanian dengan 14 daripadanya telah memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar iaitu para petani, usahawan Industri Asas Tani (IAT) dan belia tani.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebagai negeri berkebajikan yang sentiasa memastikan segala manfaat dinikmati secara bersama, pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri telah diperuntukan sebanyak RM1.50 juta secara one-off bagi pelaksanaan Program Farmers To Farmers yang memanfaatkan 230 golongan sasar.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian berjumlah RM2.63 juta bagi tujuan bayaran bantuan one-off berjumlah RM500 seorang kepada 5,262 pesawah di negeri Pulau Pinang. Bantuan one-off berkaitan adalah untuk meringankan beban pesawah setelah mengambil kira pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi seperti ketidaktentuan cuaca, peningkatan kos bahan input baja kimia dan agrokimia serta lain-lain cabaran.

Apa yang membanggakan adalah Pulau Pinang turut menyumbang kepada pengeluaran hasil akuakultur negara berjumlah RM429.47 juta pada tahun 2022. Dalam pada itu, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan produk akuakultur selamat untuk dimakan, Jabatan Perikanan Negeri juga telah memperkenalkan etika amalan yang bertanggungjawab dan mesra alam kepada pengusaha akuakultur. Melalui pensijilan myGAP, sejumlah 50 syarikat akuakultur dan premis ikan hiasan di negeri ini telah dianugerahkan dengan sijil myGAP (Akuakultur) pada tahun 2022.

Umumnya, usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah demi mencambahkan lagi sektor pertanian, akuakultur, penternakan dan juga perikanan negeri ini. Ia adalah salah satu sektor penting yang wajar bergerak seiringan dengan pembangunan negeri dan juga ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan pada peringkat Persekutuan yang mana antara program pengisiannya adalah Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah dan lain-lain yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri serta negara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai penutup kata, saya yakin bahawa penganjuran karnival ini merupakan permulaan yang amat baik sebagai platform bagi memasarkan produk serta hasil tanaman tempatan ke peringkat yang lebih tinggi. Malah, mengambil peluang ini juga, saya amat berterima kasih kepada beberapa pekebun dan pengusaha yang mengambil bahagian dan telah menawarkan pelbagai produk serta hasil tanaman segar serta berkualiti tinggi dengan harga yang amat berpatutan.

Dengan ini, adalah diharapkan semua pihak dapat bersama-sama memanfaatkan objektif penganjuran karnival ini. Sekali lagi, sekalung penghargaan kepada Saudara Lay yang juga telah menyerahkan 300 hamper masing-masing bernilai RM60 kepada keluarga terpilih pada 16 April lalu yang sedikit sebanyak telah menyuntik kegembiraan Syawal kepada golongan berkenaan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang