MAJLIS PELANCARAN APLIKASI PEARL – ONE TOUCH PENANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN APLIKASI PEARL – ONE TOUCH PENANG

 

 28 APRIL 2023 (JUMAAT) | 10PAGI

DEWAN BANDARAN,

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

________________________________

Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Tuan Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran A/L P. Anthony

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berhormat ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Dihormati Ahli Majlis – Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Dihormati Dato’ Chew Chee Seng

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Managepay System Berhad (MPay)

Barisan Tetamu – Tetamu Kehormat

Ketua – Ketua Jabatan dan Pegawai – Pegawai

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Rakan – Rakan Media

Dato’ – Dato’, Datin – Datin, Tuan – Tuan dan Puan – Puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan saya yang beragama Islam.

Mengambil kesempatan ini juga, sekalung penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas undangan untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran aplikasi PEARL – One Touch Penang pada pagi yang bermakna ini.

Tahniah dan syabas kepada Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang selaku Datuk Bandar MBPP kerana di bawah kepimpinan beliau, MBPP telah mencatatkan banyak kejayaan, termasuk pelancaran aplikasi ini.

Aplikasi PEARL – One Touch Penang merupakan sebuah aplikasi mudah alih yang dilengkapi dengan ciri e-wallet tersendiri serta mempunyai komponen untuk mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan MBPP kepada rakyat di negeri ini.

Saya amat tertarik dengan aplikasi ini apatah lagi apabila ia melakar sejarah menjadi yang pertama dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara yang menawarkan ciri-ciri e-wallet tersendiri. Inisiatif MBPP ini sememangnya selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin sekalian,

Dalam mengorak transformasi untuk menjadi sebuah negeri yang pintar, saya percaya bahawa melalui kerjasama ManagePay System Berhad (MPay), aplikasi PEARL – One Touch Penang bakal menjadi batu loncatan terbaik untuk MBPP dan tepat pada waktunya untuk sama-sama bergerak seiringan dengan gagasan visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Aplikasi ini bertindak sebagai pusat sehenti maya dengan penyelesaian omni-channel yang direka khusus untuk memperkasakan perkhidmatan dalam talian MBPP kepada semua warga Pulau Pinang dan juga para pelawat ke negeri ini. Aplikasi mudah alih pintar ini merupakan penghubung semua perkhidmatan MBPP termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan yang turut dilengkapi dengan perkhidmatan e-wallet dan pasaran e-dagang berpusat (market-place) bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan untuk semua golongan rakyat di samping menjana ekonomi setempat serta menggalakkan transaksi tanpa tunai.

Perkhidmatan e-wallet tersendiri dalam aplikasi PEARL – One Touch Penang yang dikenali sebagai PEARL Wallet membolehkan pengguna melakukan pembayaran tanpa tunai hanya dengan menggunakan telefon pintar ketika berurusan dengan MBPP dan juga peniaga-peniaga yang menggunakan perkhidmatan ini.

Sebagai tambahan, PEARL Wallet ini turut dilengkapi dengan ciri Internet Payment Gateway dan FPX. Dalam masa terdekat, ia juga bakal dilengkapi dengan sistem pembayaran terbuka untuk semua jenis transaksi melibatkan kad kredit, debit atau kod QR yang terdapat di Malaysia. Sistem ini dikuasakan oleh DuitNow dengan kerjasama rakan bank, AmBank Malaysia serta perkhidmatan QR Link to Pay bersama rakan strategik, Mastercard.

Nilai tambah DuitNow ini akan membolehkan pengguna PEARL – One Touch Penang memindahkan wang hanya dengan butiran nombor telefon atau nombor kad pengenalan penerima. Kelebihan dan pengenalan sistem fintech ini ke dalam aplikasi Pearl akan menjadikan PEARL sebaris dengan perkhidmatan e-wallet yang terdapat dalam negara kita.

Saudara dan saudari sekalian,

Pelancaran aplikasi PEARL – One Touch Penang pada hari ini hanya merupakan Fasa Pertama yang mana mengikut roadmap yang dibentangkan oleh pihak MBPP dan MPay, ia adalah merangkumi ciri yang akan memudahkan aktiviti seharian penduduk Pulau Pinang. Antaranya, perkhidmatan pembayaran bil utiliti, tambah nilai telekomunikasi, tempahan Link Bike untuk kegunaan di George Town, akses mudah untuk perkhidmatan kecemasan seperti polis, bomba, hospital dan ambulans, lokasi AED serta ciri-ciri lain.

Fasa Kedua dan seterusnya akan dikemas kini secara berperingkat dan dimuatkan terus secara automatik ke dalam aplikasi ini dari semasa ke semasa, termasuk perkhidmatan letak kereta Penang Smart Parking.

Sebagai penutup kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada MBPP kerana berjaya menghasilkan aplikasi bersepadu untuk kegunaan penduduk, peniaga dan pengunjung Pulau Pinang.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sangat berbesar hati dan menyambut baik aplikasi PEARL – One Touch Penang ini sebagai sebahagian daripada kegunaan harian.

Dengan ini, saya menyeru semua pihak terutamanya penduduk Pulau Pinang supaya tidak melepaskan peluang untuk memuat turun aplikasi PEARL – One Touch Penang serta menyambut hasrat murni MBPP dalam melahirkan masyarakat yang celik teknologi dan negeri yang pintar.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang