MAJLIS RUMAH TERBUKA ADUN PANTAI JEREJAK DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN AKAUN SIMPAN SSPN PRIME DAN PERASMIAN PUSAT PENANG2030

UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA ADUN PANTAI JEREJAK DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN AKAUN SIMPAN SSPN PRIME DAN PERASMIAN PUSAT PENANG2030

 

28 APRIL 2023 (JUMAAT) | 430 PETANG

PERKARANGAN GIANT BAYAN BARU

Salam Sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan kesyukuran kerana kita dapat berada di Majlis Rumah Terbuka ADUN Pantai Jerejak, Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Perasmian Pusat Penang2030 pada petang ini.

Bersempena sambutan lebaran ini, saya ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan saya yang beragama Islam. Semoga sambutan mulia ini mengeratkan lagi ikatan keharmonian dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum selaras dengan konsep Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati serta meraikan kepelbagaian.

Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah juga kepada YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak merangkap Menteri Dalam Negeri serta YBrs. Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri (PPN) Pulau Pinang atas komitmen yang diberikan bagi merealisasikan usaha murni ini.

Sesungguhnya, inisiatif daripada Pejabat ADUN Pantai Jerejak dan PTPTN adalah amat bermakna dalam membantu para pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak bukan sahaja daripada segi beban kewangan malah juga pembangunan pendidikan demi memenuhi keperluan modal insan pembangunan negeri ini secara keseluruhan.

YB Datuk Seri, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Saya melihat sumbangan dan jasa PTPTN terhadap pembangunan pendidikan adalah amat signifikan. Melalui  pinjaman yang disediakan oleh PTPTN, ia telah membantu ramai pelajar terutama daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian tanpa dibebani oleh masalah kewangan.

Malah program seumpama ini juga dapat mengubah persepsi umum tentang peranan dan fungsi PTPTN yang bukan semata-mata memberi pinjaman tetapi juga membantu pelajar dalam apa jua keadaan termasuk memperkenalkan tabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Saya difahamkan melalui Simpan SSPN Prime iaitu salah satu produk PTPTN, pendeposit turut menerima ganjaran tambahan selain dividen tahunan sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang. Maka, simpanlah dari awal usia anak-anak, bak kata pepatah, “Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.” Saya yakin bahawa simpanan merupakan satu keperluan sebagai persediaan dalam menjamin masa depan.

Dalam mendepani peningkatan kos sara hidup, kos pengajian di menara gading juga semakin meningkat setiap tahun. Oleh itu, tabungan melalui SSPN Prime ini adalah langkah terbaik untuk membantu menampung kos pengajian sekali gus memastikan mereka dapat mencapai cita-cita dan impian. Paling menarik, simpanan ini turut dilengkapi dengan perlindungan takaful untuk melindungi para pendeposit.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PTPTN dan ADUN Pantai Jerejak atas sumbangan berjumlah RM10,000 dalam bentuk simpanan di akaun Simpan SSPN Prime yang bakal memberi manfaat kepada 200 pelajar di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) ini.

Justeru, manfaatkanlah sumbangan akaun Simpan SSPN Prime ini sebagai pendorong  untuk berusaha bersungguh-sungguh agar dapat melanjutkan pengajian ke menara gading dan mencapai cita-cita demi mengubah nasib keluarga kepada kehidupan yang lebih selesa. Saya ingin melihat anak-anak di hadapan saya ini berjaya pada satu hari nanti dan menjadi kebanggaan kepada ibu, bapa dan juga keluarga mereka.

Dalam pada itu, besar harapan saya agar usaha ini akan dicontohi oleh semua KADUN di Pulau Pinang demi memastikan kelestarian pendidikan tinggi anak-anak negeri ini.

YB Datuk Seri, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Majlis pada petang ini juga akan menyaksikan Perasmian Pusat Penang2030, yang mana setakat ini, sebanyak 22 buah Pusat Penang2030 telah mula beroperasi di negeri ini. Sasaran kita sudah semestinya kesemua 40 KADUN mempunyai Pusat Penang2030 di kawasan masing-masing.

Sebagaimana maklum, Pusat Penang2030 merupakan gagasan Kerajaan Negeri menerusi cetusan idea serta tekad ke arah merealisasikan Visi Penang2030. Diharapkan Pusat Penang2030 KADUN Pantai Jerejak ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya mengikut kreativiti serta kesesuaian, sekali gus merealisasikan objektif penubuhan asal dalam memperkasakan komuniti serta mewujudkan persekitaran yang lebih positif dan harmonis.

Saudara dan saudari sekalian,

Sebagaimana diketahui umum, semasa Pembentangan Bajet 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri 21 November 2022 lalu, saya telah menekankan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mengemudi negeri ini melalui perancangan serta pelaksanaan yang rapi bagi memastikan aspek pemulihan dan pembangunan ekonomi  terus menjadi agenda terpenting bagi membolehkan Pulau Pinang bangkit semula dan terus kekal menjadi negeri berdaya tahan pasca pandemik COVID-19 ini.

Antaranya, bagi tahun 2023, peruntukan yang disediakan kepada Jawatankuasa MMK Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan adalah sebanyak RM1.66 juta, dan hari ini, di bawah Program Peningkatan & Pemulihan Ekonomi (Bantuan Peralatan), seramai dua (2) usahawan bakal menerima bantuan peralatan. Program yang diperkenalkan sejak tahun 2008 berkaitan adalah bertujuan membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan, meningkatkan jumlah penghasilan atau produktiviti dan seterusnya meningkatkan taraf hidup.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada YB Datuk Seri Saifuddin Nasution, YB Tuan Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru dan Encik Muhammad Muhsin atas kejayaan merealisasikan majlis ini.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan kerjasama bagi melaksanakan majlis ini.

Akhir kata, semoga segala perancangan, inisiatif dan pelaksanaan program-program ini dapat berjalan dengan lancar serta mencapai objektif dan sasarannya yang tersendiri demi kelangsungan rakyat dan negeri tercinta kita.

Dengan ini, sukacitanya saya merasmikan Majlis Rumah Terbuka ADUN Pantai Jerejak, Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime dan Perasmian Pusat Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang