MAJLIS SANTAI AIDILFITRI PARLIMEN BATU KAWAN DAN KADUN BUKIT TAMBUN

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS SANTAI AIDILFITRI PARLIMEN BATU KAWAN DAN KADUN BUKIT TAMBUN

 

29 APRIL 2023 (SABTU) | 12 TENGAH HARI |

GELANGGANG BOLA KERANJANG, TAMAN TANGLING

________________________________________________

(SALUTASI)

 

> Terlebih dahulu, izinkan saya ucapkan Salam Aidilfitri kepada semua rakan-rakan saya yang beragama Islam. Gunakanlah kesempatan sambutan ini dengan sebaik-baiknya terutamanya dalam mengeratkan ikatan ukhuwah sedia terjalin dan silaturahim yang sekian lama tersemai;

> Sekalung penghargaan juga kepada pihak penganjur yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, YB Goh Choon Aik dan pasukan beliau yang berjaya menganjurkan majlis ini dengan jayanya;

> Sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan, saya sentiasa berusaha keras mendekati setiap lapisan rakyat dan salah satunya adalah platform penganjuran rumah terbuka seperti hari ini yang menjadi medan terbaik dalam mengeratkan ukhuwah serta ikatan silaturahim yang sedia terjalin;

> Sejak memegang amanah sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan, selain penganjuran program-program berbentuk komuniti yang memanfaat dan terus menyemai nilai keharmonian seluruh penduduk di sini, beberapa projek juga telah berjaya disiapkan di bawah pelbagai peruntukan antaranya:


 (i) Jambatan motosikal menghubungkan Taman Belibis dengan Taman Tempua (Peruntukan Khas Ketua Menteri) – selepas penantian selama 20 tahun;

(ii) Projek tebatan banjir di Lorong Belibis 32 (di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP);

(iii) Penaiktarafan gelanggang bola keranjang Taman Tangling – iaitu lokasi penganjuran majlis pada hari ini (menerusi peruntukan Kerajaan Negeri);

(iv) Penaiktarafan tiga persimpangan di sepanjang Jalan Bukit Tambun oleh Kerajaan Negeri, walaupun jalan tersebut di bawah Kerajaan Persekutuan.

> Bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh kurang daripada 100 hari, demi Pulau Pinang yang tercinta, kita sekali lagi perlu berganding bahu dan bersama-sama bergerak sebagai sebuah pasukan menempuh pertempuran yang dijangka sengit ini;

> Kekuatan kita adalah pencapaian yang telah kita catatkan selama 15 tahun sebelum ini meliputi pelbagai aspek demi manfaat seluruh penduduk negeri Pulau Pinang secara menyeluruh. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana individu di negeri ini, sebaliknya setiap pencapaian dan juga maanfaat dinikmati secara bersama sebagai rakyat Pulau Pinang; 

> Kita perlu ulangi semua pencapaian dan kemenangan yang telah kita ukir sebelum ini pada PRN akan datang, malah kita juga perlu bergerak serentak dan seriringan dengan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2023 serta Malaysia Madani yang diuar-uarkan;

> Hasil daripada lawatan Perdana Menteri Kesepuluh kita, YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim sebelum sambutan Syawal baru-baru ini, beliau memberi jaminan bahawa Pulau Pinang akan terus memperoleh perhatian daripada Kerajaan Persekutuan;

> Dalam pada itu juga, pada peringkat negeri, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus berusaha sepenuh hati dan komited meningkatkan sosial ekonomi rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang faham juga pelbagai peringkat usia;

> Sebagai penutup kata, sekali lagi syabas kepada YB Goh serta pasukan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun dan juga pusat khidmat saya - Pusat Khidmat Batu Kawan di atas penganjuran majlis hari ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

 Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang