MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DENGAN AGENSI ANGKASA MALAYSIA (MYSA)
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DENGAN AGENSI ANGKASA MALAYSIA (MYSA)
11 MEI 2023
HOTEL ST GILES WEMBLEY
________________________________
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan
Yang Berusaha Gs. Haji Azlikamil bin Napiah
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)
Yang Berbahagia Dato’ Seri Farizan bin Darus
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd
Ketua-Ketua Jabatan
Para Jemputan
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian
Selamat petang dan salam sejahtera.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah diatur pada petang yang berbahagia ini, di antara wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat atas komitmen serta kerjasama yang telah diberikan bagi merealisasikan majlis ini.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya, hari ini mencatatkan sejarah yang tersendiri kerana dengan termeterainya perjanjian berkaitan, ia membuka lembaran baharu dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membangun dan mengoperasikan sistem aplikasi serta pangkalan data bagi tujuan perancangan, pengurusan dan pemantauan projek serta aktiviti pembangunan di Pulau Pinang.
Seperti yang diketahui umum, MYSA adalah agensi yang menjalankan kajian dan pembangunan aplikasi teknologi angkasa, khususnya pembangunan sistem atau aplikasi berteraskan teknologi remote sensing (penderiaan jauh) angkasa serta teknologi-teknologi lain. Ia adalah untuk kegunaan agensi kerajaan dalam kerja perancangan dan pengurusan membabitkan pelbagai bidang seperti pertanian dan perikanan, sumber asli dan alam sekitar, bencana, kesihatan persekitaran, pembangunan tanah, penilaian dan pengurusan hartanah, pengauditan alam sekitar dan pembangunan fizikal, keselamatan serta pertahanan negara.
Melalui MoU ini, teknologi remote sensing angkasa dan lain-lain teknologi yang berkaitan seperti Geographical Information System (GIS) dan Information Communication Technology (ICT) akan digunakan oleh Kerajaan Negeri secara lebih efektif dalam perancangan, pengurusan dan pemantauan program, projek atau aktiviti pembangunan fizikal di Pulau Pinang, khususnya dalam melaksanakan beberapa projek berskala besar pada masa hadapan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Peranan MYSA dalam kerjasama ini termasuk membangun serta menyelenggara sistem aplikasi tersebut, menyediakan perkhidmatan berteraskan teknologi angkasa, memberi latihan penggunaan sistem aplikasi tersebut dan banyak lagi.
Manakala, peranan Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) pula termasuklah memberi input kepada MYSA untuk membangun dan mengoperasi sistem aplikasi, menyediakan perkakasan, perisian serta infrastruktur rangkaian komunikasi yang sesuai untuk kelancaran akses sistem aplikasi tersebut dan lain-lain.
Manfaat MoU ini adalah Kerajaan Negeri boleh memperoleh data dan maklumat daripada satelit secara terus daripada MYSA dalam memantau projek-projek infrastruktur yang akan dipersetujui bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dengan adanya sistem aplikasi dan pangkalan data ini, Kerajaan Negeri yakin segala kerja perancangan, pengurusan dan pemantauan akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta berkesan.
Di samping itu, kerjasama ini juga diharap akan meningkatkan kecekapan serta membantu usaha Kerajaan Negeri untuk memenuhi keperluan mengurus dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di Pulau Pinang seperti projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan juga Penang South Islands (PSI) yang dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat ini.
Imej-imej satelit yang diperoleh daripada MYSA dapat memantau status pembangunan fizikal di kawasan-kawasan berkaitan secara berterusan. Salah satu pemantauan yang diberi tumpuan oleh Kerajaan Negeri adalah aktiviti sewaktu tambakan berlangsung terutamanya dalam memantau aktiviti kapal-kapal menggorek dan menimbus.
Kerjasama dengan pihak MYSA ini secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada rakyat dan agensi-agensi pemantau untuk juga menyelaras tindakan terhadap kekhuatiran pelepasan sisa penggorekan di laut atau mana-mana kegiatan yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa melulus dalam projek-projek yang akan dijalankan. Ini adalah salah satu inisiatif yang Kerajaan Negeri telah usahakan dalam memberi jaminan agar projek-projek infrastruktur ini dipantau rapi.
Sekiranya kita mempunyai mata di langit, kerja-kerja perancangan dan pemantauan projek serta penyemakan maklumat pasti menjadi lebih mudah. Kita akan dapat mengesahkan data atau maklumat yang diperoleh di tapak dengan menyemak maklumat satelit MYSA.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis bersejarah pada hari ini.
Semoga dengan perkongsian kepakaran dan jalinan kerjasama erat ini dapat menghasilkan impak positif yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan juga masyarakat setempat.
Sekian, terima kasih.