SIDANG MEDIA MENGENAI PENANG SOUTH ISLANDS (PSI)

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI

PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA SIDANG MEDIA MENGENAI

PENANG SOUTH ISLANDS (PSI)

 

11 MEI 2023 (KHAMIS) | 11 PAGI |

BILIK GERAKAN, KOMTAR

_______________________________________

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Haji Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

YB Prof. Dr. P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II

YB Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YBrs Dato’ Seri Farizan Darus

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation

YBrs Dato’ Lim Hock Seng

Ketua Seksyen Pengangkutan

Encik Szeto Wai Loong

Pengarah Projek SRS

Encik Azmi bin Mohamad

Timbalan Pengarah Projek SRS

Pada 6 Mei 2023, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu Kerajaan Pulau Pinang menyegerakan projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) George Town - Bayan Lepas, dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan pembangunan ‘Pulau A’ atau ‘Silicon Island’ di bawah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI).

Beliau dengan itu meminta agar Kerajaan Negeri mengkaji supaya skop PSI diperkecilkan. Dengan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyahut seruan tersebut dengan beberapa pendekatan tersenarai:-

> ‘Silicon Island’ (Pulau A) seluas 2,300 ekar akan dilaksanakan dalam dua (2) fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan;

> Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar dan C (800 ekar) tidak diteruskan;

> Sebagai makluman semua, Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April 2023 adalah meliputi ketiga-tiga pulau seluas 4,500 ekar;

> Pengurangan daripada saiz asal seluas 4,500 ekar kepada 2,300 ekar iaitu ‘Silicon Island’ bermaksud pengurangan skala projek sebanyak 49 peratus - daripada keseluruhan tiga (3) pulau kepada sebuah pulau sahaja iaitu ‘Silicon Island’;

> ‘Silicon Island’ akan kekal sebagai tapak depoh LRT  dengan keluasan 60 ekar;

> Komponen ‘Green Tech Park’ (GTP) dan ‘Heart of the Island’ (HOTI) di ‘Silicon Island’ masing-masing akan menjadi pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu bagi negeri Pulau Pinang;

> Kini, hanya seramai 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan ‘Silicon Island’ bakal terlibat secara langsung berbanding 496 orang (dari empat unit nelayan) sebelum ini membabitkan ketiga-tiga pulau yang bakal dibangunkan;

> Fasa pertama ‘Silicon Island’ berkeluasan 1,300 ekar (termasuk tapak depoh LRT) dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan, dan hampir tidak akan memberi sebarang kesan kepada golongan nelayan yang keluar ke laut; Fasa kedua ‘Silicon Island’ adalah merangkumi keluasan 1,000 ekar;

> Secara keseluruhan, jangka masa pembangunan ‘Silicon Island’ termasuk bahagian ‘topside’ adalah selama 20 tahun. 

> Dengan perkembangan terbaru ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk golongan nelayan terlibat akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I dalam masa terdekat. 

Sekian, terima kasih. 

PSI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang