HARI KELUARGA ❤️PENANG 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
DI SIDANG MEDIA PENGUMUMAN HARI KELUARGA
❤️PENANG 2023

 

12 MEI 2023

BILIK GERAKAN, TINGKAT 28, KOMTAR

____________________________________________

YB Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

YB Lim Siew Khim

ADUN Sungai Pinang, merangkap Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC)

 

Puan Ong Bee Leng

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC)

Para Penaja dan Rakan-Rakan Strategik

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat tengah hari dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada sidang media yang diatur pada hari ini.

Sukacita diumumkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah MMK Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam sekali lagi akan menganjurkan salah satu acara tahunan di bawah portfolio berkaitan iaitu Sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sepertimana yang sedia maklum, program ini merupakan kempen tahunan yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang atau Penang Women's Development Corporation (PWDC) sebagai agensi pelaksana sejak tahun 2019.

Tahun ini merupakan tahun kelima (5) ia dijalankan, yang mana kesemua tema bagi kempen ini termasuk bagi tahun-tahun sebelum ini adalah berdasarkan elemen kekeluargaan iaitu selari dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Bagi penganjuran tahun ini, jawatankuasa penganjur telah menetapkan tema iaitu Bangkit Bersama ❤️Penang: Selamat, Cekal, Memupuk - bersesuaian dengan keadaan serta situasi semasa yang dilalui oleh kita semua pada masa kini.

Hari Keluarga ❤️Penang 2023 akan berlangsung pada 11 Jun 2023, hari Ahad bertempat di Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) dengan pelbagai aktiviti dan program menarik termasuk Sukaneka Hari Keluarga ❤️Penang yang bakal membabitkan penglibatan dan penyertaan seisi keluarga.

Tiga (3) objektif utama penganjuran program yang penuh bercirikan elemen kekeluargaan ini adalah:

  • Pertama: menyediakan platform kepada ahli keluarga untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan;
  • Kedua: merapatkan jurang antara generasi dalam kalangan keluarga dan komuniti;
  • Ketiga: mempertingkatkan kefahaman mengenai kepentingan institusi kekeluargaan dalam kalangan komuniti.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Kerajaan Negeri akan terus menyokong penyediaan persekitaran yang selamat untuk keluarga serta membantu keluarga agar lebih cekal untuk bangkit daripada situasi yang sukar serta memupuk kasih sayang antara semua ahli keluarga sekaligus dapat membentuk sebuah institusi kekeluargaan  yang harmoni dan makmur.

Kita percaya bahawa keluarga bukan sahaja memainkan peranan penting di dalam sesebuah masyarakat tetapi juga pembangunan negeri. Berdasarkan kajian daripada Clara E.Piano[1], keluarga merupakan satu institusi yang mana pembangunan negeri adalah bergantung kepada produktiviti setiap keluarga daripada segi pendapatan semasa dan akan datang.

Hal ini kerana, keluarga merupakan satu institusi yang penting dalam proses sosialisasi, mendidik, dan secara tidak langsung memberi sokongan dan sumbangan kepada masyarakat.

Sebuah unit keluarga berkualiti akan mendorong kepada pembentukan masyarakat yang lebih bertanggungjawab, produktif dan terdidik, sekaligus menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negeri yang tercinta ini.

Sebelum mengakhiri ucapan pada hari ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan strategik yang terdiri daripada Women’s Centre for Change Penang (WCC), The Learning Kingdom Education, Adventist Hospital, Rose Charity, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen serta dedikasi dalam merealisasikan acara penting ini.

 

Ayuh, Bangkit Bersama Keluarga Pulau Pinang!

Sekian, terima kasih.

 

[1] https://link.springer.com/article/10.1007/s11138-022-00572-1

LOVEPENANG

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang