UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERHUBUNG KEMPEN ❤️PENANG (LOVEPENANG)
UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERHUBUNG KEMPEN❤️PENANG (LOVEPENANG)
27 JUN 2022; 1 PETANG;
BILIK MESYUARAT BUNGA RAYA, ARAS 51, KOMTAR, GEORGE TOWN
_______________________________________
Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke sidang media ini bagi berkongsi dua (2) program yang dianjurkan di bawah kempen ❤️PENANG (LovePENANG). Sebagai makluman semua, kempen ❤️PENANG (LovePENANG) telah dilancarkan pada 10 Jun lalu.
(i) PROGRAM ‘FIRST RESPONDER’
‘First Responder’ merupakan inisiatif di bawah kempen ❤️PENANG (LovePENANG) yang dilaksanakan dengan tujuan untuk memberi maklum balas terhadap sebarang pertanyaan serta isu-isu yang dibangkitkan oleh umum terutamanya rakyat Pulau Pinang menerusi laman Facebookrasmi Ketua Menteri.
Umumnya, pasukan ‘First Responder’ adalah bertanggungjawab untuk memberi maklum balas berhubung pertanyaan dikemukakan umum melalui platform media sosial Ketua Menteri. Semua pertanyaan yang dibangkitkan akan dirujuk kepada jabatan atau agensi-agensi berkaitan sebagai tindakan lanjut. Pendekatan ini adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam konteks mempercepatkan penyampaian program serta pembaharuan institusi pentadbiran.
Menerusi pendekatan berkaitan, setiap pertanyaan tidak hanya bergantung kepada maklum balas pada tempoh waktu segera, sebaliknya, apa yang penting adalah memastikan ketelusan dan akauntabiliti maklumat yang dikongsi adalah sahih supaya dapat mengurangkan tersebarnya informasi-informasi palsu atau tidak benar.
Justeru, melalui inisiatif ‘First Responder’ ini juga, Kerajaan Negeri berharap ia dapat membantu mewujudkan lebih banyak platform untuk penglibatan awam terutamanya dalam aspek pembangunan sosial. Malah, saya yakin ia juga mampu meleraikan kerisauan dihadapi terutamanya dalam memperoleh maklumat yang sahih, dan bagi memastikan komunikasi dua hala yang lebih efektif.
(ii) PERTANDINGAN VIDEO MEDIA SOSIAL
Pertandingan ini bertujuan menggalakkan penglibatan orang ramai terutamanya generasi muda dalam berkongsi kreativiti menerusi penghasilan video pendek demi memupuk semangat patriotik golongan berkaitan terhadap negeri Pulau Pinang khasnya.
Pelaksanaan adalah secara dalam talian, sama ada menerusi platform laman Facebook, Instagrammahupun TikTok.
Penyertaan tidak hanya terbuka kepada penduduk Pulau Pinang, sebaliknya seluruh rakyat Malaysia adalah layak mengambil bahagian. Peserta hanya perlu menghasilkan video kreatif dengan mesej ❤️PENANG (LovePENANG).
Tempoh pertandingan adalah bermula pada hari ini (27 Jun 2022) sehingga 27 Julai 2022. Video yang mempunyai jumlah ‘Likes’ dan ‘Shares’ tertinggi akan dinilai dan barisan pemenang akan diumumkan menerusi laman Facebook❤️PENANG (LovePENANG).
Johan akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000.00 manakala naib johan (RM5,000.00) dan tempah ketiga (RM3,000.00). Hadiah cenderahati turut ditawarkan kepada hasil-hasil karya kreatif yang dipilih barisan juri profesional.
Dengan ini, saya menyeru semua pihak terutamanya rakyat Pulau Pinang supaya tidak melepaskan peluang ini demi menyemarakkan lagi semangat cintai negeri kita ini. Kita semua ❤️PENANG (LovePENANG). Bagi keterangan lanjut, sila layari laman web, LovePG.my.
Dengan pelaksanaan program-program menarik ini serta pengumuman yang bakal dibuat dari semasa ke semasa, ia diharap dapat memberi peluang kepada rakyat negeri ini khasnya untuk melibatkan diri secara menyeluruh sekaligus melahirkan masyarakat dan negeri yang berdaya huni serta mampan dengan lebih menyeluruh.
Sekian, terima kasih.