LOVEPENANG RUN 2023
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA LOVEPENANG RUN 2023
14 MEI 2023 (AHAD)
VISION PARK, KEPALA BATAS
YB Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
YB Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang
Ahli-Ahli Parlimen & Dewan Undangan Negeri
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berbahagia Dato' Ir. Rajendran a/l P. Anthony Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ahli Majlis- Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berbahagia Dato' Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)
Yang Berusaha Tuan Rosmin bin Yaakob
Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU)
Yang Berusaha Tuan Harry Chai Heng Hua
Pengarah, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP)
Yang Berusaha Tuan Mozakir bin Buyong Mokhtar
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Lim Choo Hooi
Pengerusi Penang Forward Sports Club
Ketua-Ketua Jabatan
Para Penaja
Para Peserta LovePENANG RUN 2023
Rakan-Rakan Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam LovePENANG!
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada 10,000 peserta yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dalam acara LovePENANG Run 2023 pada pagi yang nyaman ini.
Setelah kejayaan penganjuran pada tahun pertama yang diadakan pada 14 Ogos 2022 di bahagian pulau dengan catatan penyertaan juga lebih kurang 10,000 peserta, tahun ini kita memilih kawasan Seberang Perai bagi membuka peluang kepada rakyat di sekitar kawasan Seberang Perai pula untuk merasai dan menikmati keseronokan aktiviti riadah yang amat diminati dan popular pada masa kini.
Terima kasih sekali lagi kepada 10,000 peserta yang membanjiri Vision Park, Kepala Batas ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bersesuaian dengan objektif utama yang telah memberikan inspirasi kepada Kerajaan Negeri untuk melancarkan kempen LovePENANG iaitu untuk menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat pasca pandemik COVID-19, kita berharap penganjuran acara sulung pada tahun ini dapat merealisasikan hasrat dan impian ini.
Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri juga berharap agar keindahan dan kepelbagaian budaya yang menjadikan negeri ini unik dan istimewa dapat lebih dirasai dan dinikmati secara bersama.
Dengan pelaksanaan program-program menarik seperti ini serta pengumuman yang bakal dibuat dari semasa ke semasa, ia diharap dapat memberi peluang kepada rakyat dan pemimpin di negeri ini khasnya untuk melibatkan diri secara menyeluruh dalam aktiviti yang sihat serta kekeluargaan sejajar dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Serentak itu, ia juga adalah sebagai pendekatan dalam melahirkan sebuah masyarakat Madani yang mana rakyat hidup secara mampan, sejahtera, berdaya cipta, hormat-menghormati, berkeyakinan diri, ihsan antara satu sama lain dan Rahmah sebagaimana diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Kesepuluh kita, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Program pada hari ini secara kebetulan juga jatuh pada Hari Ibu. Sebagaimana semua sedia maklum, ibu memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan keluarga harmoni yang mensejahterakan komuniti secara keseluruhannya. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua ibu yang berada di sini. Semoga anda semua dapat menikmati program larian pagi ini.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur, agensi-agensi negeri dan persekutuan, rakan-rakan penaja, para sukarelawan dan semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam memastikan kelancaran program ini.
Bersama kita mencipta memori dan kenangan manis di Bertam, Kepala Batas ini.
Sekian, terima kasih.